Sunday, 30 November 2014

ASAM PEDAS IKAN TERUBUK

rsz_assam_pedas_ikan_terubuk
Assalammualaikum, salam Isnin. Asam pedas dengan orang Johor berpisah tiada. Tapi tu che mat lah, orang lain mungkin tidak. Asam pedas hidangan yang menggamit selera. Bila sebut asam pedas, ia sendiri telah memberi identiti pada masakan tersebut, ia itu mesti ada rasa masam dan pedas. Selain ikan parang yang punya tulang berselirat, ikan terubuk juga sama, tapi lebih halus. Selain dibakar atau digoreng, ikan terubuk sedap dibikin asam pedas. Che mat guna seekor ikan bersaiz sederhana yang dipotong pada 3 bahagian. Ikan perlu dibuang sisiknya, dibersihkan terutama dibahagian dalam perut ikan untuk mengelakkan rasa pahit (buang bahagian bewarna hitam dalam dinding perut ikan ketika mencuci). Kemudian perap dengan jus limau nipis 10 minit. Kali ni che mat masukkan terung, bendi dan kacang panjang. Kacang tu sebab berbaki 3 tangkai, dari menyemak, che mat lempo kan masuk dalam asam pedas...habis cerita. Ok kalau nak mencuba, resipi seperti berikut..

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 ekor ikan terubuk, saiz sederhana
4 batang bendi, cuci dan toskan
1 biji terung ungu saiz kecil
3 tangkai kacang panjang (optional)
1 kuntum bunga kantan, belah 2 setiap 1
1/2 kiub pati ikan bilis
1/2 camca besar pes asam jawa
1/4 camca teh lada hitam tumbuk
1 1/2 senduk nasi cili kisar
1/2 camca teh serbuk kunyit
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN KISAR HALUS :-)
5 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
1/2 inci belacan
1/2 inci halia

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan terubuk dibuang sisik, siang dan kerat 3. Perap dengan jus limau nipis selama 10 minit, kemudian cuci bersih dan toskan. Terung dibelah 2 dan potong pada 3 bahagian. Kacang panjang dikerat pendek. Bendi dikerat 2 (potong sebelum anda masukkan ke dalam asam pedas). Ketepikan..
  2. Panaskan 1/3 cawan minyak dalam periuk. Tumis bahan2 kisar halus hingga harum. Masukkan serbuk kunyit, kacau rata dan tambah cili kisar, kacau dan masak hingga cili garing dan naik minyak, guna api kecil dan kacau selalu.
  3. Tambah pes asam jawa dan kacau rata. Tuang air secukupnya (anggaran 800 ml), biar mendidih, masukkan kiub ikan bilis, bunga kantan, terung, kacang panjang dan bendi. Kacau dan boleh masukkan ikan. Biar mendidih. Perasakan dengan garam secukupnya, sedikit gula dan serbuk lada hitam. 
  4. Masak hingga sayur lembut dan ikan masak. Jika suka lebih kuah, boleh tambah sedikit air panas. Masak sekejap lagi dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi, telur dadar dan ulam2man.

JUS BUAH MARKISA ASAM BOI...

rsz_1jus_marqisa_asam_boi1

Assalammualaikum salam Ahad (dah berapa kali che mat lakukan kesilapan hari ini, pagi tadi kat status FB ku tulis pagi 'Sabtu'...dan nyaris2 juga nak tulis entri ni tadi 'salam Sabtu'...dah kenapa lah agaknya aku ni...hmmm). Entah lah che mat sendiri ada masa rasa kurang fokus, tulis entri tapi fikiran melilau ke arah lain. Hari ni tak masak sangat, tapi che mat masak asam pedas ikan terubuk. Macam mana lah tu, kata tak masak sangat, tapi masak asam pedas...hasihh..pening kepala kalau baca entri che mat ni. Anda tau apa itu buah markisar atau passion fruit sejenis tumbuhan menjalar dan memanjat. Buahnya ada yang berwarna ungu dan kuning. Yang ada kat rumah che mat ni bila masak, buah bertukar jadi ungu. Pokok buah markisa dalam kategori pokok yang mudah ditanam dan sesuai dengan iklim seperti Malaysia. 

rsz_jus_marqisa_asam_boi

Memandangkan buah yang agak banyak keluar, che mat petik dalam 13 biji buah markisa dan jadikan jus. Satu yang menariknya, warna jus markisa cukup cantik, saling tak tumpah seperti jus oren yang baru diperah. Rasanya masam2 manis dan baunya harum. Resipi jus ini che mat tak letak gula, cuma masukkan beberapa biji asam boi jenis putih dan perahkan beberapa biji limau kasturi. Cukup segar dan yang pastinya jus buah markisa banyak khasiatnya, yang tu anda boleh google dan cari di internet. Dan buah markisa juga sedap kalau anda drizzle kan atas pavlova, sebab rasa masam2 manisnya dapat menyimbangkan rasa manis pavlova. Jika rumah anda ada buah markisar, atau anda ada beli, apa kata cuba jus buah markisa asam boi ini, in sha Allah pasti tak cukup segelas....

rsz_jus_marqisa

(contoh isi buah markisa, yang mengandungi biji2 halus)

BAHAN-BAHANNYA :-)
13 biji buah markisar @ passion fruit yang masak
1 liter air mineral @ air masak
3 biji limau kasturi, perah jusnya
6 biji asam boi jenis putih
Ais kiub secukupnya

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Cuci buah markisa dan toskan. Belah 2 setiap sebiji dan korek keluar isinya menggunakan sudu. Asingkan dalam  camca besar isi buah markisa tadi untuk hiasan. Selebihnya anda masukkan ke dalam penapis dan pastikan tadah bawahnya dengan bekas. Tekan isi buah markisa tadi dengan belakang senduk hingga jusnya semua keluar. Buang bijinya.
  2. Tuang jus buah markisa dalam jug. Tambah air mineral atau air masak, kacau rata dan masukkan jus limau kasturi dan asam boi. Kacau lagi dan masukkan ais kiub secukupnya. Biar sejuk. Tambah isi buah markisa yang diasingkan tadi sebagai hiasan. Hidangkan segera.

Saturday, 29 November 2014

SELAMAT HARI LAHIR BEN ASHAARI


Ben Ashaari menyambut hari lahirnya hari ini (30hb November). Dan che mat hanya mampu mencoretkan entri sebagai kenangan, sapa tau mungkin ini tahun terakhir che mat wujud. Alhamdulillah, sepanjang 6 tahun che mat kenal Ben, dia telah mencapai kejayaan yang boleh dibanggakan melalui blognya. Walaupun itu hanya duniawi, tapi ia tetap ke arah kebaikkan yang mendatangkan haruman pahala. Sebenarnya takde apa nak tulis sangat, kalau tulis pun sama saja macam tahun2 lepas, cuma kali ni dengan beraninya che mat nak 'usik' Ben sikit...ehem...macam menakutkan aje bunyinya, yea dak..bawa bertenang semua...

Pesanan saya pada Ben, berbloglah dengan penuh semangat dan kekuatan, tak perlu terlampau bersusah payah untuk orang lain hingga ia menyebabkan anda terguris. Ada manusia umpama kacang lupakan kulit, cari bila perlu, lupa bila berjaya...bertabah lah, segala kebaikkan pasti ada ganjarannya, keikhlasan itu hak Allah swt, dan kita tetap berusaha ke arah itu. Ibarat kita memberi ubat pada luka orang lain, hingga lupa diri sendiri terluka. Satu lagi, berhati2lah dalam segala gerak geri penulisan agar ia tidak menjadi senjata senyap yang menikam diri kita kelak...

Dan sebagai penutup kalam, saya ucapkan selamat hari lahir, doa saya agar Ben diberi kesihatan, panjang usia, ketabahan dan rezeki melimpah ruah. Untuk anak2 Qhaliff dan Zahra, bila besar nanti banggalah di kau punya ayahanda sehebat Ben Ashaari yang menjaga mu dengan penuh limpahan kasih sayang yang tak terhingga. Moga Ben sekeluarga sentiasa dibawah rahmat Allah swt...aminn.....


Adnan Ibrahim @ Che Mat Gebu
(Ahad 30hb November 2014 bersamaan 7 Safar 1436 Hijrah)

Friday, 28 November 2014

ROTI BAKAR, TELUR 1/2 MASAK DAN KOPI...

rsz_roti_kopitiam1
Assalammualaikum salam Sabtu semua. Hari ni che mat bersiaran awal dan hanya selitkan entri sarapan. Cuti masak sebab ada jemputan kawin sedara kami di Lukut, Kota Tinggi Johor. Dan pagi tadi terpinga2 kat dapur, tatau nak bikin sarapan apa. Nampak kat wall FB teman che mat, Sue Joshua dia tayang cekodok pisang dan belebat (lepast) pisang, bikin teruja sangat. Tapi nak bikin takde pisang. Jadi kita sarapan yang mudah dan boleh kenyang sampai petang (err..ye ke petang, dah tengah hari kang ke majlis orang kawen, bukan melantak nasi ke?..haishh). Roti ni biasa2 saja, che mat guna roti paun dan hiris tebal sedikit kemudian bakar hingga perang. Dan telur setengah masak tu sebenarnya bahagian merah dia bulat cantik dan tak keras. Tapi masa che mat ambil gambar, dia tersenget dan telur merah dia pecah....huhu...dah jadi roti bakar banjir...grrr..kesilapan teknikal. Seperti biasa, anda boleh hidangkan bersama lada hitam dan kicap. Kopi jangan lupa. Untuk kali ini che mat kasi cara nak rebus telur untuk dapatkan telur merah yang gegar2 tapi putihnya kental.

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 keping roti sandwich (che mat guna roti paun dan hiris sederhana tebal)
2 biji telur
Sedikit serbuk lada hitam (aji-shio_
Sedikit kicap lemak masin JALEN, jika suka

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan non-stick pan, kemudian bakar roti hingga perang pada kedua2 bahagian, angkat dan ketepikan. (sebab che mat guna roti paun dan saiznya agak besar, lepas bakar, che mat kerat 2 setiap sekeping).
  2. Didihkan air dalam periuk, kemudian masukkan telur (cuci dulu telur tadi) dan pastikan telur tenggelam dalam air mendidih, sederhanakan api dan rebus telur selama 2 minit. Kemudian angkat dan toskan. (pastikan anda rebus 2 minit, kalau lebih masa, anda berkemungkinan takkan dapat telur merah yang gegar2).
  3. Ambil roti dan susun dalam piring sesuai. Berhati2 pecahkan telur atas roti. Korek lebihan putih telur yang melekat pada kulitnya menggunakan sudu kecil. Tabur sedikit serbuk lada hitam dan jika suka boleh tuang sedikit kicap. Hidangkan segera...

Thursday, 27 November 2014

LAKSA NYONYA UNUTK MERAI TETAMU...

rsz_lazsalemaks
Assalammualaikum, salam Jumaat semua. Hari ni che mat tak masak (asyik cuti manjang sejak2 ni, maklumlah tua sudah, tak kuasa nak melenggang kangkung kat dapur sangat....penat). Dan entri yang anda lihat ni che mat bikin semalam. Kebetulan che mat menerima tetamu blogger tikam2 Marqis Careno (nama latin tapi orang melayu) bersama isteri dan anak mereka. Dia orang  singgah masa balik dari bercuti di Legoland. Terima kasih sudi datang ke Sedenak, walaupun Sedenak jauh di pendalaman hutan belantara...haha. Dan che mat pun idok leer masak apa sangat, setakat bikin laksa lemak @ laksa nyonya saja. Yang ringan2. Selain tu ada juga buat kek marble cikai2 dan agar2 santan @ agar2 seri kaya.
rsz_lazsalemak1
Che mat dah pernah buat laksa lemak sebelum ni, dan semalam rasa malas sangat nak ambik gambar untuk dijadikan entri, tapi petang tu tiba2 datang mood nak ambik juga gambar. Memandangkan jam dah 6 petang dan cuaca pun mula suram, Kenalah cari lokasi yang terang, alhamdulilah, walaupun gambar tak semedang, tapi masih ok, nampak klasik jugak kan nak2 bila guna pinggan antik tu..ehemm. Ada sedikit perbezaan dalam resipi kali ni. Che mat kisar kulit udang yang telah direbus dan tapis. Lepas jus dari kulit udang che mat masukkan ke dalam kuah laksa. Kalau guna udang saiz besar2 lagi bes, seperti udang galah atau udang kaki merah. Sesuai untuk dihidangkan di majlis2 atau untuk tetamu yang berkunjung atau untuk hidangan keluarga....Nak mencuba?....che mat tuliskan resipi....


BAHAN-BAHAN KUAH LAKSA :-)
1500 ml air rebusan tulang ayam

1500 ml air rebusan kulit udang
2 ulas bawang putih, cincang halus
250 ml pati santan
10 biji fish ball
10 biji tau pok, potong 2 setiap 1
20 ekor udang saiz besar, dibersihkan dan asingkan kulit dan kepalanya
1 genggam daun kesom
2 kuntum bunga kantan, belah 2 setiap 1
2-3 camca besar cili kisar
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN KISAR HALUS :-)
8 biji bawang merah kecil
3 ulas bawang putih
1/2 inci lengkuas
1 inci kunyit hidup
3 batang serai, hiris halus
4 biji buah keras
1 genggam udang kering, rendam 10 minit dan toskan
1 inci belacan, dibakar
3 biji cili merah

BAHAN-BAHAN ULAM :-)
Timun, hiris nipis dan mayang halus
Bawang besar, dihiris nipis2 dan leraikan
Taugeh secukupnya, dibuang ekor, cuci dan toskan
1 genggam daun kesom, dimayang halus
Bunga kantan, dihiris halus

BAHAN-BAHAN LAIN :-)
Mi laksa secukupnya (kalau guna yang kering, rendam dan rebus hingga lembut, toskan dan cuci bawah air paip)
Limau kasturi secukupnya, dibelah 2 setiap 1
Telur rebus, dibelah 2 setiap satu
Sambal belacan tumis secukupnya

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK AIR REBUSAN KULIT UDANG :- Panaskan 1 camca besar minyak masak. Tumis bawang putih yang dicincang hingga harum. Masukkan kulit udang dan masak hingga kulit udang berubah warna. Tuang air (1500ml), dan rebus 15 minit dengan api sederhana. Biar sejuk. Kemudian kisar dan tapis untuk mendapatkan stok rebusan udang. Ketepikan.
  2. UNTUK KUAH LAKSA LEMAK :- Panaskan minyak dalam periuk (kurang lebih 1/3 cawan atau lebih sedikit). Tumis bahan2 kisar halus hingga harum. Masukkan cili kisar dan masak hingga naik minyak dan bahan2 tadi garing. Tuang air rebusan kulit udang dan air rebusan tulang ayam. Kacau rata dan biar mendidih.
  3. Masukkan bunga kantan dan daun kesom. Kacau dan biar udang masak. Tambah fishball dan tuang pati santan. Kacau dan masak dengan api kecil hingga mendidih. Masukkan tau pok, perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula, Masak sekejap lagi dan rasa, jika ok boleh matikan api..
  4. UNTUK SAMBAL BELACAN TUMIS :- Yang ni amat mudah, anda perlukan 1 cawan cili kisar, 2 ulas bawang putih yang dicincang, 1 inci belacan yang dibakar dan dihancurkan dan 1 camca teh pes asam jawa. Gula dan garam secukup rasa. Tumis bawang putih hingga harum, masukkan cili kisar dan belacan (boleh juga dilarutkan dalam sedikit air), kacau rata dan masak hingga cili garing dan naik minyak. Tambah asam jawa, garam dan gula secukup rasa. Masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api.
  5. UNTUK LAKSA LEMAK@LAKSA NYONYA :- Masukkan secukupnya mi laksa ke dalam mangkuk sesuai. Tuang kuah laksa bersama isi2nya sekali (tauhu pok dan bebola ikan). Hias dengan ulam2man, 1/2 telur rebus, sambal belacan tumis dan perahkan jus limau kasturi sebelum anda nikmatinya....Selamat mencuba!!

Tuesday, 25 November 2014

SPAGHETTI WIF SCALLOP

rsz_spaghetti_scallop
Assalammualaikum, salam Rabu, che mat kongsikan dengan anda satu resipi mudah. Bosan gak makan mi goreng, mi hoon dan sebagainya. Sekali2 kita makan spaghetti pulak. Che mat bikin semalam untuk sarapan. Dalam entri lepas che mat ada cerita pasal scallop tu kan. Selain masak sambal hari tu, che mat ambik dan masak sama spaghetti. Tapi tu lah, spaghetti 'asli' takde che mat guna angel hair. Kalau anda buat guna spaghetti yang betul ok, baru comey, Yang halus ni pun boleh cuma kurang menyerlah, dah rupa mi hoon saja. Ini resipi senang cuba bahan2 tu lain sikit lah dari bahan2 yang anda guna untuk mi goreng, dah nama pun spaghetti yea dak...

rsz_spaghetti_scallop1
Mana che mat dapat idea ni?..Ok, sebenarnya dah lama juga skodeng blog Kak Azie Kitchen yang bukan saja anggun tapi hmmm, handal ok masak2. Tapi che mat tambah black olive atau buah zaitun hitam. Ada yang tanya mana nak cari buat zaitun/olive dan capers tu? Kat Tesco, Mydin, Giant, Aeon dan pasaraya2 besar in sha Allah ada. Dan memang sesuai kalau masukkan dalam spaghetti. Kalau bikin spaghetti olio, sedap masukkan buah zaitun hitam atau hijau. Jika ingin mencuba, che mat sharekan resipi seperti dibawah ini yea...jommm!!..

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 cekak spaghetti
10 biji scallop segar (atau ikut suka)*
1/2 camca teh serbuk lada hitam*
Secubit garam*(*disatukan dan perap sekejap)
1 biji bawang holland, didadu
2 ulas bawang putih, cincang halus
8 biji black olive
10 biji tomato ceri, belah 2 setiap 1
1/2 caca teh herba oregano kering
1 camca teh chili flakes
1 camca besar mentega
1 camca besar cincangan daun parsley
Garam secukup rasa
Minyak zaitun untuk menumis

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Didihkan air, kemudian masukkan 1/2 camca teh garam. Kemudian masukkan spaghetti dan rebus hingga lembut. Toskan (simpan sedikit air rebusan spaghetti tadi) dan gaul spaghetti dengan minyak zaitun, ketepikan
  2. Panaskan 1 camca besar minyak zaitun dalam kuali non-stick. Masukkan scallop tadi dan goreng atau 'saute' dengan api sederhana hingga perang keemasan pada kedua2 belah (kurang lebih 1- 2 minit, jangan lama2 nanti scallop jadi liat). Angkat dan ketepikan.
  3. Masukkan mentega dalam non-stick pan (pan yang sama untuk anda saute scallop tadi), kacau rata. Kemudian tumis bawang besar, bawang putih dan tomato ceri hingga layu dan perang. Masukkan chili flakes dan oregano, kacau rata. Masukkan spaghetti dan gaul rata, tambah sedikit air rebusan spaghetti (dalam 2-3 camca besar). Kacau rata.
  4. Tambah garam secukup rasa dan masukkan scallop, gaul rata dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Masukkan daun parsley, gaul rata dan boleh hidangkan segera... Selamat mencuba!!.

TELUR SOTONG TUMIS SAMA LOKIO..

rsz_telur_sotong_lokio
Salam semua, menu kali ini che mat masak telur sotong...errr telur sotong?..macam aneh aje, mana nak dapat telur sotong tu, berapa kilo nak kena beli sotong baru dapat?..Mula2 che mat pun fikir macam tu juga. Bukan tak pernah jumpa telur sotong tapi tak banyak selain saiz yang kecil, bukan semua sotong kita beli ada telur. Memang che mat ada stok telur sotong kat rumah dan hari ni kita mulakan operasi memasak telur sotong. Sedap ke atau sebaliknya, kalau dah masak jadi macam mana?..susah ke nak dapat?..semua soalan itu bermain difikiran setiap orang yang mendengar nama telur sotong. Dan satu lagi, telur sotong ni sedap masak apa?..haaa yang tu pun che mat dok fikir gak, sebab pertama kali masak, kita cuba yang mudah dan simple dulu yea..

rsz_telur_sotong_lokio1
Che mat goreng telur sotong tadi dengan lokio...err apa tu lokio?..Lokio sejenis pokok bebawang dan daunnya panjang seperti daun bawang tapi lebih kecil dan bulat, rasa seakan2 kucai, tapi kucai daunnya leper. Untuk lokio kita lebihkan pada isinya yang manis dan wangi. Kalau tak dapat nak bayangkan, che mat share gambarnya di sini. Selalunya che mat akan tumis sama udang atau pun cencalok, tapi kali ni kita guna telur sotong pulak. Menu ini sedikit kering dan telur sotong agak menyerap air dan satu lagi anda jangan masak terlalu lama. Sebab saiznya agak besar, che mat potong pada beberapa bahagain...Mana nak dapatkan telur sotong ni?...Boleh rujuk entri yang ini. Resipi seperti berikut..

BAHAN-BAHANNYA :-)
250 gram telur sotong (kurang lebih)
1 camca teh serbuk kunyit
1 cekak lokio
2 biji cili hijau, hiris
1 biji cili merah, hiris
1 biji bawang besar, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
1 camca besar sos tiram
Sos ikan secukup rasa
Sedikit air

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Letak telur sotong dalam tapis, dan lalukan bawah air paip, toskan. Potong pada saiz sederhana dan gaul dengan serbuk kuyit dan sedikit garam (gaul dengan sudu). Lokio dicuci dan toskan. Asingkan bawang dan daunnya. Buang akar pada bawangnya.  Daunnya dipotong kecil. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 3 camca besar). Tumis bawang besar, bawang putih, cili hijau dan cili merah hingga layu. Masukkan sos tiram, kacau rata dan masukkan telur sotong, kacau rata dan tuang sedikit air (anggaran 1/3 cawan). Biar mendidih.
  3. Tambah bawang lokio, kacau rata dan bila bawang lokio lembut, masukkan daunnya, kacau dan tambah sos ikan secukup rasa. Masak sekejap dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan panas bersama nasi, sambal belacan dan ikan goreng.

Monday, 24 November 2014

SAMBAL TUMIS KANTAN SCALLOP...

rsz_scallop_sambal

Assalammualaikum, salam Selasa. Hari ni che mat masak scallop atau kekapis. Mana dapat tu?..Kebetulan Jumaat lepas masa ke Benut, che mat singgah pasar, sekali nampak orang ni jual scallop yang masih berkulit, sekilo hanya RM 4 saja, sebelum tu nampak orang jual di pasar pagi Simpang Renggam RM 12 sekilo!!...maha gilerrr, nasib baik tak beli. Che mat pernah beli dulu tapi lama dah, sebab scallop segar bukan selalu ada, kadang2 aje jumpa. Bila dah beli masa tu, tak reti nak bersihkan macam mana, tapi che mat tau scallop memang kita ambik isi yang yang seketul tu saja. Nasib baik ada you tube, che mat pun google dan alhamdulillah, amat2 membantu sangat....

rsz_scallop_sambal1

Hari ini che mat bikin sambal tumis kantan scallop dan selain tu ada juga yang dimasak sama spaghetti ala2 olio (yang tu nanti che mat share). Satu petua masak scallop, anda toksah masak lama sangat nanti jadi liat, Macam bikin sambal ni, che mat letak last sekali, masak dalam 2 minit lepas tu dah boleh matikan api. Rasa scallop ni sedap, manis dan kenyal2. Teman2 fb banyak juga kongsi idea tadi, dia orang kata kalau tumis dengan mentega pun sedap. Scallop memang dah sedia kala sedap, jadi tak perlu nak diberi perisa terlampau sangat. Setakat season dengan dengan lada hitam dan garam pun dah memadai....Jomm che mat sharekan resipi..

SCALLOP SEGAR
Isi scallop yang telah dibersihkan....


BAHAN-BAHANNYA :-)
1 cawan isi scallop, kalau saiz agak tebal, anda boleh kerat dua
1 biji bawang besar, hiris bulat dan leraikan
2 ulas bawang putih, cincang halus
1 inci halia, diketuk
1 kuntum bunga kantan, hiris halus
1 1/2 senduk nasi cili kisar
2 camca besar sos cili JALEN
1/2 kiub pati ikan bilis, hancurkan
1/2 camca besar pes asam jawa
Garam dan gula secukup rasa
Sedikit air

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 1/3 cawan), tumis bawang putih dan halia hingga harum, masukkan cili kisar dan kacau rata. Tambah kiub ikan bilis dan sos cili, kacau dan masak hingga garing dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau selalu.
  2. Masukkan pes asam jawa dan hirisan bunga kantan, kacau rata dan masak hingga pekat. Tambah bawang besar dan scallop. Gaul rata dan masak 1-2 minit, perasakan dengan garam secukup rasa dan sedikit gula. Masak sekejap lagi dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi atau roti..

PES REMPAH TERBAIK DARI 'TOK MOMMY'S KITCHEN'...

rsz_tok_mommy

Salam semua. Masak apa hari ni?..Macam tu lah soalan untuk orang dapur tak kira lah anda wanita atau pun lelaki. Che mat sendiri pun ada masa buntu nak masak. Lagi2 kalau ada menu permintaan yang agak rumit. Walaupun hari2 masak, tapi ada masa nak dapat rasa yang standard agak sukar dan tetap ada lari sikit. Tapi kini satu jalan penyelesaian. Pes rempah sedia guna Tok Mommy penyelamat masalah anda?..Kenapa che mat kata macam tu...ehemm...selain mudah, rasanya juga 'asli' dan sama macam masakan di rumah.,,ye ke ni?...Mestilah yea, sebab che mat dah cuba dan dah rasa...memang sedap....Masih tak percaya?..Pes rempah Tok Mommy ialah pes rempah segera yang cepat dimasak, sesuai untuk golongan bekerja yang tidak punya cukup masa, tapi suka makan di rumah bersama keluarga. Setakat ini ada 4 pes rempah siap guna, iaitu pes asam pedas, pes kari kepala ikan, pes ayam masak merah dan pes mi bandung muar....jomm kita cerita satu per satu...

rsz_tok_kari_kepala_ikan

Pes rempah kari ikan Tok Mommy yang begitu mudah digunakan, cuma masukkan pes rempah ke dalam periuk, tuang air secukupnya (kalau nak lemak sikit anda boleh tambah santan). Kacau dan bila mendidih masukkan kepala ikan yang telah siap dicuci dan ditoskan. Tambah tomato, bendi atau terung. Masak sekejap hingga sayur lembut dan ikan masak. Ok dah siap..rasanya dah cukup lengkap. Tak perlu tambah garam, atau asam (tapi kalau anda rasa kurang masin, tambah yea).. 10 - 15 minit dah siap masak...sedap pun sedap, cepat pun yea juga. 1 paket hidangan untuk 4 - 5 orang..

rsz_tok_masak_merah

Pes rempah ayam masak merah ini menarik dan cukup mudah disediakan. Pasti anak2 anda suka. Tak pedas dan rasa dia macam masak merah Johor. Cuma kalau anda suka manis, boleh lah tambah sedikit gula. Buatnya pun mudah. anda goreng ayam tapi jangan sampai garing, goreng lembap2. Kemudian panaskan pes rempah ayam masak merah hingga mendidih, tuang air dalam 2 cawan, biar mendidih dan masukkan ayam. Gaul dan masak hingga pekat. Tambah hirisan bawang besar dan hias dengan kacang pis sebelum dihidangkan bersama nasi, nasi minyak atau roti. Sedapp okeh..tak tipu. 1 paket hidangan untuk 4 -5 orang.

rsz_tok_asam_pedas_ikan

Pes asam pedas ikan. Dan yang ni che mat memang syorkan pada mereka yang gemar makan asam pedas tapi tak reti nak masak, atau kurang yakin, risau takut tak dapat rasa asam pedas yang menepati citarasa. Anda boleh cuba yang ni. Cuma masukkan pes dalam periuk, tambah air secukupnya, kacau dan bila mendidih, masukkan ikan pilihan ada. Kalau suka aroma lebih boleh tambah bunga kantan. Daun kesom memang dah ada dalam pes rempah. Boleh masukkan terung. bendi dan tomato jika suka. Sedap makan panas2 sama nasi...dan pes ini juga anda boleh jadikan kuah laksa asam, janji anda kreatif....sedap ke? Kenalah.cuba baru tau. 1 paket hidangan untuk 4 - 5 orang...

rsz_tok_mi_bandung

Pes mee bandung Muar dan yang ni pes paling bess. Berapa orang yang suka makan mi bandung, tapi tak reti nak bikin? Pes ini sedap...kalau anda buat untuk suami dan anak2 atau tetamu, sah2 mereka ingat kan anda sampai bila2..betul. Nak sedap buat macam che mat, tambah hirisan daging dan udang (kalau ada sotong pun boleh masukkan). Pes tu anda cuma tuang dalam periuk atau kuali, masukkan air secukupnya, kacau dan bila mendidih, masukkan daging. Kecilkan api, pecahkan telur dan biar masak. Tambah udang dan masak sekejap. Masukkan mi kuning, tambah tomato dan sawi. Masak sekejap dan boleh hidangkan. Rasa dah cukup sempurna pada che mat....Selain itu pes ini juga boleh anda gunakan untuk goreng kue teow, mi hoon dan mi kuning...1 paket untuk hidangan 4 - 5 orang bergantung pada penggunaannya... Jangan lupa LIKE page FB TOK MOMMY'S KITCHEN untuk memudahkan anda bertanya sebarang maklumat. Untuk senarai harga anda boleh rujuk gambar di bawah ini...



LEMAK CILI PADI BABAT SAMA REBUNG..

rsz_babat_and_rebung
Assalammualaikum, salam semua. Mula2 malas dah nak buat entri yang ni, sebab dah selalu sangat buat. Dah berpuluh kali jadi entri blog. Tapi kalau nak tunggu menu yang lain, memang entah bila lah baru boleh update. Dah blog memang diisi dengan menu2 harian, jadi tak mustahillah ia berulangkali ditayangkan (tapi bukan ulang tayang gambar lama, yang ni baru masak). Ada yang tak biasa makan babat dan rasa pelik, boleh ke masak sama rebung. Che mat dulu pun tak biasa makan, tapi sebab tengok bonda selalu masak, maka kebiasaan itu telah ada. Rasanya sedap, kenyal2 lembut tapi anda kena lah rebus dulu, kemudian baru boleh dimasak sama rebung. Dan, anda ada pilihan samada nak guna rebung jeruk atau rebung segar. Kalau rebung jeruk, toskan dulu, kemudian cuci bersih dan rebung jeruk selain ada rasa masam, bau dia juga agak boleh memingsankan, tapi sedap..ehemmm..ok jom kita lihat resipi...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 kg babat lembu @ perot tuala, cuci bersih*
1 inci halia, diketuk*
3 ulas bawang putih*(*disatukan dan rebus hingga babat lembut, tos dan sejukkan)
800 gram rebung yang telah siap direbus dan toskan
3 btang serai, diketuk
2 helai daun kunyit, disiat
1 keping asam gelugor
1500 ml santan cair
500 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
1/3 cawan cili padi kampung, kaler hijau
2 inci kunyit hidup
1 inci halia
6 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Babat yang telah sejuk dipotong kecil dan masukkan ke dalam periuk bersama rebung, serai, bahan2 kisar halus dan santan cair. Kacau rata dan masak hingga mendidih. Masak hingga rebung lembut.
  2. Masukkan asam gelugor dan tuang pati santan. Kacau rata dan masak dengan api kecil hingga mendidih. Perasakan dengan garam secukup rasa dan sedikit gula. Masukkan daun kunyit, kacau rata dan masak sekejap lagi. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas dan lauk2 lain..

Friday, 21 November 2014

TRIO MARBLE CAKE DARI CHE MAT...

rsz_trio_m_cake
Assalammualaikum, salam semua. Entri kek hari ni dan kek yang che mat buat kali memang sinonim dengan 'mat gebu' itu sendiri. Ehhh, bukan che mat cakap tapi orang yang cakap. Kek ini antara resipi dari che mat yang termuat dalam laman web MyResipi. Masa tu che mat takde blog lagi dan kat situlah ku sumbang sumbingkan serba sedikit resipi yang dimasak. Kek marble trio ini telah dicuba oleh ramai orang dan alhamdulillah komen semua positif. Bila anda buat kek, kena ikut sukatan yang betul dan jangan pandai2 ubah kecuali anda memang dah pakar. Kalau setakat nak tukar perisa tu tak jadi masalah. Bukan apa, che mat sendiri dulu masa mula berjinak2 bikin kek, tak pernah ubah apa2. Bila dah konfiden baru berani ubah suai sikit2. Itu pun setakat kurangkan gula atau gantikan air dengan susu...

rsz_trio_m_cake2
Kek ini lembut dan lembap. Cara membuatnya juga berbeza dan bagi anda yang pernah buat, anda tau apa maksud che mat. Kali ini che mat buat dalam 2 acuan berukuran 8 inci x 4 inci x 3 inci. Anda boleh buat dalam acuan bulat 9 inci, atau acuan bunt-pan. Satu lagi, jika anda nak plain butter cake, boleh guna resipi ini. Seperti che mat tulis tadi, perisa anda boleh tukar, macam dalam gambar che mat gandingkan vanilla, mocha dan stoberi. Kalau coklat - pandan - vanilla atau stoberi juga ngan. Kalau nak lebih berani boleh cuba vanilla - coklat - peppermint. Semua selera anda, cuma jangan nasihat che mat kalau guna perisa pudina atau peppermint tu jangan letak banyak2, 4 - 5 titik dah cukup, kita nak aroma dia saja bukan nak rasa seperti ubat gigi. Oh yea, bagi anda wanita2 jelita diluar sana, ingin shopping dengan lebih mudah, hanya menggunakan telefon pintar anda?...apa kata anda lihat kat sini, mesti anda teruja..che mat teruja juga cuma tak sesuai....hehe..

BAHAN-BAHANNYA :-)
300 gram mentega berkualiti tinggi (anchor, scs, emborg)
230 gram gula kastor
280 gram tepung gandum*
1 camca besar penuh susu tepung*
1 camca teh baking powder*(*disatukan dan diayak)
5 biji telur gred A
1 camca besar ovallate
30 ml gliserin
20 ml air
1 camca besar serbuk koko*
1/2 camca teh perisa mocha*
2 camca besar air panas*(*disatukan dan kacau rata hingga jadi pes)
1 camca teh stoberi emulco
1 camca teh esen vanilla
Badam cincang untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan oven pada suhu 170C, lenser 2 tin berukuran 8 inci x 4 inci x 3 inci dengan mentega dan alas dasar tin dengan kertas minyak. Lenser juga kertas tadi. (anda boleh guna tin bulat berukuran 9 inci). Ketepikan.
  2. Putar mentega hingga kembang. Pada kelajuan perlahan, masukkan tepung yang telah diayak sedikit demi sedikit hingga habis, putar rata dan ketepikan sebentar.
  3. Dalam mangkuk yang bersih, putar gula kastor dan ovallate hingga rata. Masukkan telur (semua sekali) dan putar hingga rata. Tukar pada kelajuan tinggi dan putar hingga adunan kembang dan pekat seperti adunan kuih baulu. 
  4. Perlahankan kelajuan dan masukkan adunan mentega sedikit demi sedikit hingga habis diikuti gliserin dan air, putar hingga sebati dan off kan mesin. Cedok keluar 5 camca besar adunan, masukkan pes coklat dan kacau rata. Cedok lagi 5 camca besar dan masukkan stoberi emulco dan kacau rata. Baki adunan dimasukkan esen vanilla dan kacau rata.
  5. Tuang 1/4 adunan vanilla ke dalam tin (sebab che mat buat dalam 2 tin), sudukan 1/4 bahagian adunan coklat, kemudian 1/4 adunan stoberi (pastikan adunan stoberi atas adunan coklat). Tutup dengan 1/4 lagi adunan vanilla, sudukan 1/4 adunan coklat dan 1/4 adunan stoberi. Goyang2kan tin agar adunan sekata. Kemudian gunakan chopstick atau hujung pisau kecil, buat beberapa pusingan agar bancuhan bercorak seperti marble dan tabur badam cincang untuk hiasan. Buat kaedah sama untuk baki adunan dalam tin satu lagi.
  6. Bakar selama 55 minit atau hingga masak. Uji kek dengan mencucuk lidi sate ditengah2 kek, dan jika keluar bersih tanda kek anda telah masak. Keluarkan dari oven, biar 5 minit dan keluarkan dari tin. Sejukkan atas jaringan sebelum dipotong. Boleh hidangkan..

Thursday, 20 November 2014

SAMBAL GORENG KUPANG

rsz_sambal_goreng_kupang

Assalammualaikum salam Jumaat. Masak apa ni hari?..Rasanya sejak che mat mula2 berblog dulu waimah sejak mula berkongsi resipi di laman web MyResipi, che mat amat2 jarang cuti masak. Dan di MyResipi saja ada 100 resipi dari che mat, dan guna yang sama 'mat gebu'. Bila anda suka memasak, ia merupakan satu 'pemberian'. Che mat sendiri bukan pandai, cuma 'boleh' memasak saja. Jadi banyak kekurangan dari kelebihan, tapi kekurangan itu bukan bermakna kita tidak boleh berkongsi idea dengan sahabat2 blogger masakan yang lain. Kita saling lengkap melengkapkan, apa yang kita tau mungkin orang lain tak tau, begitu juga sebaliknya. Macam resipi yang che mat share ni hari...

rsz_sambal_goreng_kupang1

Sambal goreng kupang, antara yang Bak suka. Guna kupang segar yang direbus, kemudian ambik isinya. Bahan2 lain seperti anda membuat sambal goreng, tak banyak beza. Cuma che mat tak letak belacan saja. Sesuai dimakan bersama nasi putih atau ketupat. Kalau diratah macam tu saja pun sedap. Boleh juga anda buat lebih, kemudian dibekukn dalam freezer untuk jangka hayat yang lebih lama. Kalau anda suka petai, boleh masukkan sekali dalam sambal goreng, pasti bertambah enak. Ok sebelum kita lihat resipi, jomm singgah sini dulu...terima kasih..

BAHAN-BAHANNYA :-)
4 tangkai kacang panjang, cuci, toskan dan hiris serong
3 kelopak kobis bulat, hiris halus, cuci dan toskan
2 keping tauhu, didadu dan goreng, toskan
3 keping tempe bungkus daun, didadu, goreng dan toskan
1 cawan isi kupang segar, gaul dengan sedikit kunyit dan goreng sekejap, toskan
3 tangkai cili kering, hiris kecil dan rendam
1 cekak, soo hoon, potong pendek dan rendam
30 gram fucuk @ tauhu kering, potong kecil dan rendam
5 biji bawang merah, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
1 camca besar sos tiram JALEN
2 camca besar kicap lemak manis JALEN
Garam jika perlu
Sedikit air

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Panaskn 3 camca besar minyak masak. Tumis bawang merah, bawang putih dan cili kering hingga harum. Masukkan sos tiram dan kicap lemak manis, kacau rata. Tambah kupang, tauhu, tempe dan fucuk (toskan dulu). Kacau dan tuang sedikit air. Masak hingga fucuk lembut.
  2. Masukkan kacang panjang dan kobis. Gaul rata dan masak hingga kacang lembut. Masukkan soo hoon (toskan), gaul rata dan masak hingga kering. Rasa dan jika kurang masin, tambah sedikit garam (atau kicap masin). Masak sekejap lagi dan boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi atau ketupat. Selamat mencuba!!.

INGIN MERASAI KEENAKAN TELUR SOTONG DAN......

Siapa pernah makan telur sotong?..Che mat sendiri pun jarang2 makan, kalau ada pun secara kebetulan ketika beli sotong. Tapi kalau nak dapat makan sampai puas tu takde lah, setakat merasa macam tu saja. Lagi pun saiz sotong tak besar mana, telur dia pun kiut2 aje. Tapi sekarang ni anda mengidam nak makan telur sotong, tak perlu pening2 kepala dan tak perlu ke pasar beli sotong 2-3 kilo semata2 nak kutip telur dia. Macam mana pulak tu?...ehemm..ada cara mudah dan senang...Nampak gambar atas tu..pelbagai gambar masakan berasaskan telur sotong dan terselit juga gambar ketam kulit lembut masak sama telur asin....hmm, nampak sedap kan...

 ...Dari mana che mat dapat?..dah tentu dari FIZA FROZEN FOOD (FFF), yang menjual bukan setakat telur sotong tapi pelbagai lagi frozen food, nanti che mat senaraikan produk2 dari FFF tu. Telur ikan tuna pun ada, pendek kata kalau mengidam tak perlu nak tunggu sampai musim ikan 'ngandung'. Beli yang ni dan simpan beku dalam freezer, rasa nak makan je boleh masak. Resipi?..macam2 boleh, kari, asam pedas, lemak cili padi, sambal dan sebagainya, ikut kreativiti anda..

..Dalam gambar atas ni, ada isi udang lipan yang begitu segar. Dan tengok saiz telur sotong tu. besar giler, mana lah nak dapat telur bersar macam tu kalau anda beli sotong saiz biasa. Tak lupa ada juga 'unagi' atau belut Jepun salai (yang biasa letak atas sushi) dan pepahat....Mesti ada yang tak sabar nak cuba..ok..meh che mat senaraikan produk2 dari FIZA FROZEN FOOD (FFF), antaranya ialah..

  1. TELUR SOTONG
  2. TELUR IKAN TUNA
  3. SIPUT BULUH @ PEPAHAT
  4. UDANG LIPAN
  5. SOFT CRAB @ KETAM KULIT LEMBUT
  6. AYAM PANDAN PERASA SATE
  7. AYAM PANDAN PERASA HOT & SPICY
Sebarang pertanyaan, harga, lokasi agen terdekat dengan kawasan anda dan sebagainya, anda boleh call, wassap no berikut..

PUAN SALINA SAAD : 013 - 333 6758

PUAN XEETA RK : 011 - 2200 4392

PUAN SALMAH : 012 - 372 2372



SAMBAL REBUNG CILI HIJAU...

rsz_rebung_cili_hijau
Salam semua, entri kali ni yang mudah dan che mat kasi tau awal2, ini bukan che mat yang masak tapi bonda yang masak. Heran kan, kalau mak kita masak, campak2 aje pun dah sedap, tapi sempat juga lah memerhatikan cara memasaknya. Memandangkan stok rebung madu masih ada, dan kalau nak masak lemak, rasa jemu jugak, boring. Jadi apa kata kita oter jadikan ia sambal cili hijau. Cili hijau tu pun bukan beli, tapi petik kat pokok. Saiz cili dia kecil2 dan panjang, kata orang ini cili akar, dah jimat duit. Untuk perencah bonda guna ikan bilis tamban yang telah dibersihkan terlebih dahulu, pastikan tulang bahagian tengahnya dibuang. Kalau anda suka pedas, boleh tambah beberapa biji cili padi. Sedap dimakan dengan nasi panas. Teringat dulu, kata bonda, menu macam ni lah yang selalu arwah datuk bawak bekal ke kebun. Resipi senang dan katalah takde rebung, anda boleh ganti dengan sengkuang atau kentang. Sebelum tu sudi2 singgah dulu ke blog pilihan DTS di sini...Terima kasih..

BAHAN-BAHANNYA :-)
300 gram rebung madu yang telah siap direbus
4-5 biji cili hijau, hiris kasar
1 genggam ikan bilis tamban, direndam
1 biji bawang besar, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
1/2 inci belacan, dibancuh dengan sedikit air
1/2 camca teh pes asam jawa
Garam dan gula secukup rasa
Sedikit air

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 3 camca besar, kata bonda nak sedap guna minyak yang telah anda guna untuk goreng ikan atau ikan masin, tapi bukan yang dah hitam legam tu yea). Tumis bawang besar, bawang putih dan cili hijau hingga harum dan bawang layu.
  2. Masukkan ikan bilis tamban (pastikan ikan bilis tamban anda rendam terlebih dahulu, buang sisiknya, belah dua dan buang tulang tengahnya). Gaul rata dan masukkan bancuhan belacan dan pes asam jawa. Kacau rata.
  3. Masukkan rebung dan tuang sedikit air (anggaran 1/3 cawan), kacau dan masak hingga kering sedikit. Perasakan dengan garam secukup rasa dan sedikit gula (kalau anda guna serbuk perasa, tak perlu letak gula). Kacau rata, masak sekejap dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas dan lauk2 lain.

Wednesday, 19 November 2014

PUCUK UBI MASAK LEMAK SAMA KUPANG...

rsz_pucuk_ubi_kupang

Assalammualaikum, salam Khamis semua. Menu yang che mat kongsikan dengan anda hari ni adalah antara menu kegemaran Bak. Pucuk ubi dimasak lemak sama kupang atau pun kerang. Dan pastikan kerang segar (kupang tu beli yang segar, rebus dan ambik isinya dan boleh masak sama pucuk ubi). Che mat guna pucuk ubi jenis halus2 atau orang panggil pucuk ubi pulut. Pucuk ubi biasa pun boleh. Tapi pastikan yang lembut. Sering che mat tulis petua orang dulu2 petik pucuk ubi. Kata mereka, kalau petik pucuk ubi, hanya petik daun hingga ke ruas no 3 dari atas pucuk. Dan ada juga yang kata hujung pucuk ubi dibuang untuk mengelakkan sakit kepala...errr. part sakit kepala tu che mat tak pasti betul ke tak, sebab tak pernah buat macam tu lagi. Ok sebelum kita lihat resipi, singgah dulu di sini untuk blog pilihan DTS...terima kasih...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 cekak pucuk ubi pulut
1 cawan isi kupang (rebus kupang segar, dan ambik isinya)
2 batang serai, diketuk
1 keping asam gelugor
1/2 kiub pati ikan bilis (optional)
1200 ml santan cair
400 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
3 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
15 biji cili padi kampung, kaler hijau
1/2 inci belacan

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Pucuk ubi diasingkan dari tangkainya, kemudian rebus hingga lembut sedikit. Toskan dan perah (tekan2 dengan belakang senduk). Kemudian hiris kecil dan masukkan ke dalam periuk bersama bahan2 kisar halus, isi kupang dan serai. Gaul rata.
  2. Tuang santan cair, kacau dan masak hingga mendidih. Tambah asam gelugor dan kiub ikan bilis (jika guna). Masak hingga pucuk ubi empuk. Tuang pati santan, dan perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Masak dengan api kecil hingga mendidih dan kacau sentiasa. Masak sekejap lagi dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama sambal belacan, ikan goreng, telur dadar dan nasi panas...ehemm.

SUP SAYUR, UDANG DAN BEBOLA IKAN...

rsz_sop_sayur
Salam semua, entri kali ni yang paling mudah, yang ringan2 saja. Selain sedap dimakan bersama nasi, sup sayur macam ni juga enak dihirup begitu saja. Ini che mat masak untuk che mat saja, sebab ada yang tak nak. Maklumlah, sedap di tekak kita, mungkin tidak di tekak orang lain. Tapi kan, masa makan, laku pulak menu che mat ni....ehem...ehem, jadi jangan lah pandang rendah pada menu2 sempoi macam ni, Che mat guna sawi yang batangnya putih dalam 400+ gram macam tu, selain 10 biji bebola ikan dan beberapa ekor udang bersaiz sederhana. Kulit udang che mat rebus dan ambik airnya untuk kuah sup sayur. Tambah lada hitam serbuk dan beberapa titik minyak bijan, part minyak bijan ni tak yah letak pun takpe. optional....Ok bagi yang tatau nak masak sup sayur style che mat ni, meh kita lihat resipi dan jangan lupa singgah di blog pilihan DTS, di sini...Terima kasih..

BAHAN-BAHANNYA :-)
400 gram sawi putih (batang warna putih)
15 ekor udang saiz sederhana
10 biji bebola ikan (che mat guna jenama "Mushroom")
4 biji bawang merah kecil, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
1/2 kiub pati ikan bilis (optional)
1/2 camca teh serbuk lada hitam (aji-shio)
Beberapa titik minyak bijan (optional)
Garam secukup rasa
Air secukupnya
Hirisan daun bawang, untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Udang dikupas kulitnya, cuci dan toskan. Kulit udang dicuci, tos dan masukkan ke dalam periuk. Tuang 1 liter air dan rebus selama 10 minit kemudian tapis. Sawi di cuci, kemudian siang berasingan batang dan daunnya. Bebola ikan dibelah 2 setiap satu (kalau anda nak guna sebiji2 pun boleh). Ketepikan.
  2. Panaskan 2 camca besar minyak masak dalam periuk. Tumis hirisan bawang merah dan putih hingga harum, masukkan udang, kacau rata dan tuang air rebusan kulit udang tadi. Kacau dan biar mendidih. Jika perlu boleh tambah sedikit lagi air.
  3. Masukkan batang sawi, bebola ikan dan kiub ikan bilis (jika guna), masak sekejap dan tambah daun sawi. Perasakan dengan garam secukup rasa dan lada hitam serbuk. Masak sekejap dan rasa, jika ok boleh matikan api. Taburkan hirisan daun bawang dan tititkkan beberapa titis minyak bijan sebelum dihidangkan bersama nasi atau dimakan begitu sahaja.

IKAN TENGGIRI MASAK TAUCO..

rsz_tenggiri_taucho1
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni mood che mat ke laut, mood tenggelam timbul, ala2 mabuk laut macan tu, rasa tak berapa nak rajin. Tapi aktiviti memasak tetap kena buat. Dan bila anda rasa malas teramat tapi kena masak, maka menu pun yang ringkas, jenis campak2 dan cepat siap. Satu lagi che mat masak menu yang semua orang boleh makan terutama Bak. Ikan masak tauco antara kegemaran Bak sejak dulu lagi dan style masakan untuk Bak agak ringkas dan bahan2 amat minima. Paling penting jangan pedas (tapi che mat masukkan juga 3-4 biji cili padi..hehe). Ikan jenis banyak isi lebih sedap dimasak tauco. Biasanya che mat guna ikan kembong atau kerisi. Kali ni guna ikan tenggiri dalam 5 keping (tapi kalau kepingan ikan anda saiz besar, 3 sudah cukup, bergantung pada berapa ramai yang nak makan). Resipi cukup mudah....tapi nak ambik gambar secantik ini, belum pasti mudah..hmmm..

BAHAN-BAHANNYA :-)
5 keping ikan tenggiri saiz sederhana, cuci dan toskan*
1/2 camca teh serbuk kunyit*
1/2 camca teh garam*(*disatukan, gaul rata dan perap sekejap)
1 biji bawang besar, hiris bulat dan leraikan
2 ulas bawang putih, hiris
4 - 5 biji cili padi, diketuk
1 1/2 camca besar tauco
1 camca besar sos tiram
Sedikit gula
Air secukupnya
Hirisan daun bawang untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan digoreng, tapi jangan sampai garing, goreng lembap2 saja, angkat dan toskan. Panaskan 3 camca besar minyak masak. Tumis bawang putih hingga harum, masukkanmasukkan tauco dan sos tiram, kacau rata dan tuang air secukupnya (anggaran 1 1/2 cawan). Biar mendidih.
  2. Masukkan ikan dan bawang besar. Gaul perlahan dan masak hingga bawang lembut. Tambah sedikit gula dan rasa, jika kurang masin anda boleh tambah sedikit garam atau sos ikan (che mat tak letak, sebab tauco dan sos tiram dah masin). Rasa dan jika ok boleh matikan api. Tabur hirisan daun bawang dan hidangkan segera bersama nasi panas..

Tuesday, 18 November 2014

MINI POUND MARBLE CAKE

rsz_mini_pound_cake
Salam semua. Lama juga che mat tak buat kek. Ni musim cuti sekolah boleh lah kerap mengadun kek. Kadang2 gian gak nak membaking kek, tapi nanti tak sapa nak makan, lagi pun bila usia kita dah bertambah 'muda', kena lah jaga bab2 makan bergula, takut kandungan gula naik nanti...seremm. Ada yang tanya che mat, kenapa saya buat kek jadi macam ni...jadi macam tu?..dan bila che mat tanya, puan guna resipi dari blog saya ke?. Dia kata bukan, dan minta maaf banyak2, sebab kalau resipi dari blog lain, che mat tak boleh nak komen apa2 sebab che mat sendiri tak pernah buat. Anda kena lah tanya sendiri pada pemilik blog atau pemilik resipi yang anda cuba tu.

rsz_mini_poun_cake1
Resipi kek ini mudah dan che mat pernah buat sebelum ini. Jika anda simpan semalaman, kek akan jadi lagi sedap, lembut dan lembap. Untuk resipi ini anda boleh bakar dalam tin bulat kecil berukuran 6 1/2 inci atau 7 inci. Che mat bakar dalam loyang kek bentuk bentuk loaf kecil2 (satu loyang tu ada 8 bekas), dan dapat 6 biji kek. Untuk marble tu anda boleh tukar pada perisa lain jika suka. Che mat campurkan serbuk koko yang dibancuh dengan sedikit air dan tambahkan perisa mocha. Kalau anda nak guna lenih dari satu perisa pun boleh, guna stoberi atau pandan. Kombinasi coklat, pandan dan vanilla juga sedap. Atau vanilla, stoberi dan coklat/mocha. Apa2 pun semuanya atas pilihan anda, cuma dia ni saja tak boleh kasi pilihan...ehhh..

BAHAN-BAHANNYA :-)
125 gram mentega (SCS, Anchor, Emborg)
60 gram gula kastor
2 biji telur gred A
125 gram tepung berserbuk penaik
1/4 cawan susu pekat manis
1 camca teh esen vanilla
Badam cincang untuk hiasan
Kelapa parut panggang, untuk hiasan
1 camca besar penuh serbuk koko*
1/2 camca teh perisa mocha*
2 1/2 camca besar air panas*(*disatukan dan kacau rata)

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Panaskan oven pada suhu 170C, lenser acuan bulat berukuran 6.5 atau 7 inci dengan mentega dan alas dasar tin dengan kertas minyak. Che mat guna tin kek yang ada 8 acuan bebentuk loaf (bentuk comel), dan dilenser dengan mentega, tak perlu alas dengan kertas minyak. Ketepikan.
  2. Putar mentega dan gula kastor hingga pucat. Masukkan telur satu persatu dan putar hingga kembang, perlahankan kelajuan, masukkan tepung sedikit demi sedikit hingga habis, putar hingga rata.
  3. Masukkan susu pekat manis, esen vanilla, kacau rata dan matikan mesin, Cedok keluar 1/3 adunan dan masukkan bancuan koko (*) dan kacau rata. Sudukan adunan kek tanpa warna ke dalam acuan 1/2 penuh. Tambahlan adunan koko atasnya (kurang lebih 2 camca teh penuh) dan lorekkan menjadi corak marble. Buat hingga siap.
  4. Tabur badam cincang dan kelapa parut panggang atasnya dan bakar 25 minit atau hingga masak. Sejukkan sekejap, keluarkan dari acuan dan sejukkan atas jaringan. Boleh hidangkan untuk minum petang...

Monday, 17 November 2014

TERUNG GORENG KICAP SAMA NASI PANAS?..

rsz_terung_kicap (1)
Assalammualaikum, salam Selasa. Pagi2 dah hujan, tak sempat baju nak kering dah. Bila hujan, mood masak pun mula lah lemau dan nak masak yang mudah2 saja. Dan che mat ambik keputudan kita masak terung goreng kicap, resipi mudah senang dan sedap. Terung antara sayur/buahan yang menjadi kegemaran che mat. Terung ungu panjang tu omputeh panggil brinjal kan. Payah nau ikut style omputeh, kalau kita senang, terung bulat, terung panjang, terung hijau. Kalau dia orang, ada nama egg plant lah, aubergine lah dan ntah apa lagi...pening, tapi semua tu sebenarnya terung aje. Terung goreng kicap ni resipi biasa2 aje. Tapi tak semua yang biasa buat. Ada juga pelbagai cara nak membuatnya. Kira menu ni sesuai untuk orang bujang dan kalau makan sama nasi panas, ikan goreng dan sambal belacan, pergh..pengsann okeh. Sebelum che mat tuliskan resipi apa kata kita singgah dulu di blog pilihan, juga seorang bujang...di sini...ehemmm...

BAHAN-BAHANNYA :-)
3 biji terung ungu, saiz sederhana
1 batang leek
1 genggam ikan bilis, dibersihkan dan rendam sekejap
1 biji bawang besar hiris
2 ulas bawang putih, hiris
6 biji cili padi thai jenis merah, diketuk
1 camca besar sos tiram JALEN
3 camca besar kicap lemak manis JALEN
1 camca teh kicap pekat JALEN
Hirisan daun bawang secukupnya
Sedikit air

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Terung dihiris serong sederhana tebal dan rendam (kalau suka boleh buang sdikit kulit terung). Leek dikerat pendek dan rendam. Ikan bilis ditoskan, kemudian goreng sampai garing, angkat dan ketepikan.
  2. Panaskan 2 camca besar minyak masak, tumis hirisan bawang besar, bawang putih dan cili padi hingga harum, masukkan sos tiram, kacau rata dan tambah kicap lemak manis dan sedikit air. Toskan terung dan masukkan ke dalam kuali bersama2 leek (toskan). Kacau rata.
  3. Masak hingga terung lembut. Tambah ikan bilis, gaul rata dan rasa, jika ok boleh matikan api. Tabur hirisan daun bawang dan hidangkan. Sedap dimakan bersama nasi panas yang dimasak lembut...ehemm.

Sunday, 16 November 2014

ASAM PEDAS TENGGIRI SAWI JERUK..

rsz_tenggiri_asam_pedas

Assalammualaikum, salam Isnin. Menu asam pedas memang tak menjemukan. Dan bagi che mat secara peribadi, asam pedas menjadi hidangan kegemaran sejak dulu lagi. Teringat masa kecik dulu, masa tu bonda che mat suka masak asam pedas ikan cekik leher atau ikan selar kuning, dan kalau masak mesti bonda akan masukkan nenas. Masa tu che mat tak suka kalau asam pedas ada daun kesom, suka asam pedas tanpa daun kesom atau pun bunga kantan. Pernah satu hari, kuah asam pedas kering asyik kena punggah saja. Sampai che mat nangis okeh, merajuk..masa tu merajuk memang comel sangat, kalau sekarang ni merajuk macam tu, buruk gilerrr...

rsz_tenggiri_asam_pedas1
Ikan tenggiri antara ikan yang che mat suka dan memang molek dimasak asam pedas. Sawi jeruk memang gandingan serasi untuk asam pedas. Ia menjadi kebiasaan di Johor kalau masak asam pedas dicampur dengan sawi jeruk. Che mat lebih gemar sawi jeruk yang dipotong kasar. Bagi masyarakat Bugis, asam pedas antara hidangan yang mereka masak ketika perayaan, biasanya asam pedas ikan parang dan dihidangkan bersama burasak dan lepat loi....betul kan orang Bugis sekelian...ehem...tapi dia ni che mat tatau lah ada keturunan Bugis ke tidak...Jomm kita masak asam pedas..

BAHAN-BAHANNYA :-)
5 keping ikan tenggiri, cuci bersih dan toskam
Sawi jeruk secukupnya, potong kasar dan rendam
1 kuntum bunga kantan, belah 2
1 genggam daun kesom
3/4 camca besar pes asam jawa
1 1/2 senduk nasi cili kisar
1/2 camca teh serbuk kunyit
1 kiub pati ikan bilis (optional)
1/2 camca teh serbuk lada hitam
3 biji bawang merah, hiris
1 ulas bawang putih, hiris
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
7 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1/2 inci belacan

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Panaskankan 1/3 cawan minyak masak. Tumis bawang merah dan bawang putih hiris hingga harum dan bawang perang. Masukkan bahan2 kisar halus dan serbuk kunyit. Kacau rata dan masak hingga wangi. Tambah cili kisar dan masak hingga cili garing dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
  2. Masukkan pes asam jawa, kacau rata dan tuang air secukupnya (anggaran 1200 ml). Kacau dan biar mendidih. Masukkan sawi jeruk (tos dan perah), bunga kantan dan kiub ikan bilis, jika guna. Kacau rata dan masak sekejap.
  3. Tambah ikan dan kacau perlahan. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya. Masukkan serbuk lada hitam dan daun kesom. Kacau dan masak hingga ikan masak. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi, telur dadar dan ulam2man..

KETUPAT GORENG @ LONTONG GORENG..

rsz_ketupats_gorengs

Assalammualaikum, salam semua. Lewat sangat ke entri che mat hari ni? Nak kata apa, menu berderet menunggu  giliran tapi mood nak menulis entri cukup2 takde, rasa blurr aje. Cuaca pun menganjak ke tengah hari dah mula mendung, masa tu bekejar2 nak settlekan photo shooting, maklumlah kita blogger masak2 ni ambik gambar kan guna cahaya semulajadi. Kalau hari mendung dan gelap, sukar lah nak ambik gambar. Kalau ambik pun hasilnya kurang memuaskan, macam malap aje. Ketupat goreng ini baki dari dari ketupat yang che mat rebus Jumaat lepas. Dan che mat goreng guna dalam 6 biji ketupat (ketupat segera NONA). Untuk rencah che mat masukkan udang, ayam dan dalam peti sejuk ada bebola ikan dan baki 3 batang jejari ketam. Semua ku masukkan sekali. Kalau suka pedas boleh tumbukkan 3-4 biji cili padi, tapi che mat guna cili kisar saja. Sedap dimakan panas dan sesuai setiap masa bila teringin seperti budak ini, memang kuat teringin manjang...ehemmm..

BAHAN-BAHANNYA :-)
6 biji ketupat segera (che mat guna ketupat NONA)
10 ekor udang saiz sederhana, dibersihkan
1/2 keping dada ayam, hiris memanjang*
1/2 camca teh lada hitam*(*digaul rata dan perap)
8 biji bebola ikan, belah 2 setiap 1
3 batang jejari ketam, potong 3 setiap 1
2 biji telur, dipukul sedikit
2 camca besar cili kisar
1 camca besar sos cili JALEN
1 camca besar sos tiram JALEN
2 camca besar lemak manis JALEN secukup rasa
2 pelepah sawi putih, siang berasingan batang dan daunnya
1 genggam taugeh, dibersih
5 biji bawang merah, hiris
2 ulas bawang putih, cincang halus
Sedikit air
Hirisan daun bawang, untuk hiasan
Hirisan cili merah, untuk hiasan
Bawang goreng, untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Ketupat dipotong kecil, ketepikan. Panaskan 3 camca besar minyak masak. Tumis bawang merah dan bawang putih hingga harum dan bawang layu. Masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing. Tambah sos cili, sos tiram dan kacau rata, masak sekejap. Guna api kecil.
  2. Tambah ayam dan masak hingga ayam berubah warna, boleh masukkan sedikit air. Kemudian masukkan udang, bebola ikan dan jejari ketam. Kacau rata.
  3. Tambah kicap lemak manis dan batang sawi, kacau rata. Masukkan ketupat, gaul hingga rata. Tolak ke tepi kuali, masukkan sedikit minyak dan tuang telur. Biar telur kental, kemudian kacau rata bersama ketupat tadi. 
  4. Tambah daun sawi dan taugeh, kacau dan masak sekejap. Rasa jika kurang masin anda boleh tambah sedikit lagi kicap lemak manis. Matikan api, dan tabur hirisan daun bawang, cili merah dan bawang goreng sebelum dihidangkan. Sedap dimakan panas.

Saturday, 15 November 2014

TUNA SANDWICH, MENU ORANG MALAS...

rsz_tunaa_sandwich
Salam semua, kalau che mat kata ini menu orang malas, mesti ramai yang tak setuju. Tapi pada che mat memang ini menu orang malas, sebab apa? Sebab ia memang senang gilerrr nak buat. Semua bahan2 ready made dan sedikit sayur2 segar. Tapi itu pun ada yang mengeluh bila nak buat. Nak mak juga yang buatkan, walhal boleh saja buat sendiri. Ni pendapat che mat lah..anak2 tak salah kita didik buat benda2 mudah, seperti sandwich ni. Jangan leer nko ajo buat cekodok kalau budak2 tu masih belom mampu, yang tu saja nak cederakan diaorang..Minyak panas weyy!!!, jangan memain. Che mat kalau ada anak dara, takde dee nak kasi dia buat2 cekodok sangat, buatnya kena minyak kat jari mulus dia nanti, dah tak cantik masa nak sarung cincin, mengerutu semacam. Tapi kalau dah besar melunjai tu takpe lah, buat guna sudu...jangan guna tanganm ok. Sandwich pun perlu ke nak resipi?..Eh..eh..ehh..mestilah...nak2 budak ini, kalau tak kasi resipi...tah hapa2 jadinya..

BAHAN-BAHANNYA :-)
4 keping roti sandwich (che mat guna loaf bread, kemudian potong 4 keping)
4 helai daun salad 'butterhead', cuci dan toskan. Hiris kasar
2 keping keju cheesedale atau keju pilihan anda
8 keping hirisan tomato
8 keping hirisan timun
Sedikit hirisan bawang besar untuk hiasan
1 tin tuna dalam tin, ditos dan hancurkan*
2 biji jeruk gherkins, cincang halus*
1 ulas bawang putih, cincang halus*
1/4 camca teh lada hitam kisar*
3 camca besar mayonnaise*
1 biji limau kasturi, perah jusnya*(*disatukan dan gaul rata)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ambil sekeping roti, Salad butterhead yang dihiris tadi, dibahagi dua bahagian. Susun sebahagian salad atas roti. Ambil sekeping keju potong dua dan susun atas salad tadi. Kemudian susun pula hirisan tomato sebanyak 4 keping.
  2. Tambah hirisan timun atas tomato, juga 4 keping. Kemudian sudukan bancuhan tuna atasnya, yang ni ikut suka anda, nak banyak mana. Akhir sekali tabur bawang besar yang dihiris kecil, tutup dengan sekeping roti lagi. Buat kaedah sama untuk baki roti dan bahan2. Sedia untuk dihidangkan..

Friday, 14 November 2014

ASAM PEDAS SARDINE, BERANI MENCUBA?...

rsz_asam_pedas_sardine
Assalammualaikum, salam semua. Lambat sikit dapat bersiaran hari ni, maklumlah sibuk..dan menyibuk...ehem.. Anda masak apa ni hari?. Che mat masak asam pedas sardine. Memang dua tiga hari lepas mengidam nak makan sardine (dah kenapa si mat tu, asyik mengidam tak habis...mushkil gak nih..hmmm). Hari ni che mat masak sardine, tapi bukan goreng macam biasa atau masak kicap, tapi kita jadikan sardine tadi asam pedas, pernah cuba? Rasa2nya che mat sendiri pertama kali cuba, kalau bikin kari sama kentang tu dah normal sangat, dah selalu bikin. Sambal tumis pun sama juga. Kadang2 bila ada sardine asyik2 masak yang sama, bosan juga. Sekali2 kalau kita bereksperimentasi dengan benda2 segera ni bes juga, dapat hasilkan satu menu baru yang lebih menarik..

rsz_asam_pedas_sardine1

Resipi ini tak susah, guna bahan2 biasa seperti anda nak masak asam pedas. Che mat guna 1 tin besar sardine cap AYAM. Dan pastikan anda ada bunga kantan, daun kesom atau daun limau purut sebagai penambah aroma asam pedas. Che mat campurkan juga nenas madu. Ok kenapa perlu ada bau2an aroma untuk asam pedas sardine ni? Ini kerana sardine kan bau dia agak kuat dan bila ada daun kesom atau daun limau purut dan bunga kantan, dapat lah mengurangkan bau sardine tadi. Kali ni che mat masukkan sekali sos ikan sardine. Sedap dimakan bersama nasi, atau dicicah lempeng. Pstt che mat makan sama ketupat tadi, perghh merbeless okeh, curah pulak sedikit kicap lemak manis JALEN, lagi lahh terangkat kesedapannya....sebelum tu sudi2kan lah singgah di blog pilihan di sini.. Terima kasih...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 tin besar sardine pilihan anda (che mat guna sardine cap AYAM)
1/2 biji kecil nenas madu, dibersihkan dan hiris nipis
1 kuntum bunga kantan, belah 2
2 helai daun limau purut (boleh ganti dengan daun kesom)
1/2 camca besar pes asam jawa
1 senduk nasi penuh cili kisar
1/2 kiub pati ikan bilis (optional)
1/2 camca teh lada hitam, tumbuk halus
Garam dan gula secukup rasa
Air scukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
5 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci kunyit hidup
1 inci halia
2 keping hirisan lengkuas
Secubit belacan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Asingkan ikan sardine dan sosnya. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/3 cawan). Tumis bahan kisar halus hingga harum, masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing. Tambah sos ikan sardine, kacau rata dan masak hingga naik minyak. Guna api kecil dan kacau selalu.
  2. Tambah pes asam jawa, kacau rata dan masukkan nenas. Gaul rata dan masak sekejap. Tuang air secukupnya (anggaran 1 liter), kacau dan biar mendidih. Masukkan bunga kantan, daun limau purut (atau daun kesom) dan kiub ikan bilis. 
  3. Perlahan2, masuk ikan sardine. Tambah serbuk lada hitam, perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau perlahan dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi dan lauk2 lain..

Wednesday, 12 November 2014

'RASAM' MENGHANGATKAN BADAN....

rsz_rassam
Pernah makan rasam?...apa tu rasam?....Rasam sejenis sup berasal dari India. Rasanya masam2 hangat dan beraroma rempah ratus. Masam dari penggunaan asam jawa, hangat dari lada hitam dan cili kering manakala beraroma dari rempah jintan manis dan sedikit halba. Sesuai jika anda tidak sedap tekak, selsema atau demam. Boleh dimakan bersama nasi atau dihirup seperti sup biasa. Kalau diperhatikan, ia sama seakan2 singgang asam jawa, cuma tak taruk ikan. Buatnya juga mudah dan che mat masukkan tomato dan sebiji bawang besar yang dibelah. Sebelum dihidangkan, tabur hirisan daun ketumbar (che mat tabur hirisan daun sup)....Nak mencuba, resipi seperti berikut dan kira singgah dulu di sini sebelum kita lihat resipi...

BAHAN-BAHANNYA :-)
4 biji bawang merah kecil, hiris
3 ulas bawang putih, diketuk
5 tangkai cili kering, potong 2 atau 3, cuci dan toskan
1 tangkai daun kari
2 biji tomato, belah 4 setiap 1
3/4 camca besar lada hitam, tumbuk halus
1/3 camca teh serbuk kunyit
1 camca besar pes asam jawa*
3 cawan air*(*bancuh dan kacau rata)
1/2 camca teh jintan manis
1/2 camca teh biji sawi
10 biji halba
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya
Hirisan daun ketumbar untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 3 camca besar), tumis daun kari, halba, jintan manis, biji sawi, bawang merah kecil, bawang putih dan cili kering (toskan dan perah)hingga harum dan layu. Masukkan serbuk kunyit dan kacau rata. Tuang jus asam jawa dan tambah air secukupnya (dalam 1 liter). Kacau dan biar mendidih.
  2. Masukkan lada hitam, perasakan dengan garam dan gula secukupnya. Akhir sekali masukkan tomato. Kacau dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Tabur hirisan daun ketumbar sebelum dihidangkan bersama nasi atau dimakan begitu sahaja...