Assalammualaikum, salam Isnin. Hari ni che mat agak sibuk sikit dan yang anda lihat ini bukan lauk baru masak, tapi semalam punya. Atas permintaan Bak, maka pagi tu bonda dan che mat berganding bahu memasak gulai batang keladi sama ikan masin kembong. Kali ni tak guna ikan kurau. Ikan kembong masin bersaiz agak besar che mat beli di Pontian dan serius, memang sedap dan tak masin langsung. Anda juga boleh guna ikan kembong rebus jika suka, tapi pastikan ikan dimasukkan akhir sebab bimbang ikan akan hancur kalau dimasukkan terlalu awal. Che mat campur sedikit cili padi dalam 10 biji untuk mendapat rasa sedikit pedas. Pada mulanya nak letak daun selasih, tapi Bak kata tukar, tak mo letak daun selasih, ganti dengan serai dan daun kunyit.Takd masalah, lagi pun yang nak makan kan Bak, ikut lah selera dia. Che mat senang bela, semua ok, boleh telan, no worry punya...Ok jomm kita lihat resipi...
BAHAN-BAHANNYA :-)
1 pokok keladi sayur dengan isinya sekali (keladi minyak, kurang lebih 1 kg)
2 - 3 ekor ikan kembong masin saiz besar, cuci dan kerat 2 setiap 1
2 batang serai, diketuk
2 helai daun kunyit, disiat
1 keping asam gelugor
1200 ml santan cair
400 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa
BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
5 biji bawang merah kecil
3 ulas bawang putih
10 biji cili padi kampung (boleh tambah atau kurangkan)
2 biji cili merah
1 inci kunyit hidup
CARA MEMBUATNYA :-)
- Batang keladi disiat kulit luarnya, kerat pendek (kurang lebih 3 inci) cuci dan toskan. Kupas keladi, potong kiub pada saiz besar, cuci dan rebus hingga 3/4 empuk. Toskan. Kemudian celur batang keladi dengan asam gelugor selama 1 minit. Tos dan ketepikan.
- Masukkan bahan2 kisar halus, serai titik dan santan cair ke dalam periuk. Kacau rata dan masak hingga mendidih. Masukkan asam gelugor dan keladi tadi. Kalau kurang kuah, boleh tambah sedikit air panas. Masak sekejap dan masukkan ikan masin dan batang keladi. Tuang pati santan, perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula.
- Biar mendidih perlahan, tambah daun kunyit. Kacau perlahan. Masak sekejap dengan api sederhana hingga keladi empuk. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas dan lauk2 lain..
No comments:
Post a Comment