Assalammualaikum, salam Jumaat semua. Malam semalam che mat mimpi dihidangkan masakan tradisi orang Negeri Sembilan yang menjadi identiti mereka. Apa lagi kalau bukan sambal tempoyak daun kayu. Pagi ni dengan begitu rajin sekali, pagi2 dah petik pucuk ubi dan pucuk2 lain yang boleh dimasukkan ke dalam resipi ini. Kalau ikut resipi yang betul2 asli, mereka guna bermacam jenis pucuk2 yang sukar nak dapat. Che mat guna beberapa jenis saja seperti pucuk ubi, pucuk kacang, daun kunyit, daun kaduk dan pucuk labu tak lupa petai (petai ni yang buatkan sambal tempoyak lebih terangkat). Tapi kalau dah darurat sangat, anda boleh guna pucuk ubi, petai dan daun kunyit saja, takde masalah, masih sedap. Untuk rencah che mat guna ikan bilis.
Semua pucuk2 kayu (sayur2an) dimayang halus seperti bunga rampai, tapi petai che mat belah 2 saja untuk nampak lebih comel bila dihidangkan. Anda boleh masak lebih, kemudian disimpan dalam peti sejuk. Kalau nak simpan lebih lama, boleh bekukan di freezer. Kalau ada menu macam ni, makan sama nasi panas, lepas tu goreng ikan...settle dah. Teringat cerita bonda, dulu masa dia kecil dan arwah nenek (uwan) kerap masak sambal tempoyak daun kayu, diisi dalam mangkuk tingkat bersama telur rebus, nasi dan ikan goreng sebagai bekal untuk dimakan dalam keretapi ketika balik kampung di Rembau. Kalau anda ingin mencuba, che mat kongsikan resipi seperti berikut...
BAHAN-BAHANNYA :-)
1 cekak pucuk ubi, asingkan dari tangkainya
5 batang pucuk labu, ambil daunnya
10 tangkai pucuk kacang panjang
10 helai daun kadok
5 helai daun kunyit
4 papan petai
2 genggam ikan bilis, dibersihkan dan rendam sekejap
1 keping asam gelugor
3 camca besar penuh tempoyak
1 liter santan (dari sebiji kelapa)
Garam secukup rasa (dan secubit gula)
BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
30 biji cili padi kampung (boleh kurangkan)
1 1/2 inci kunyit hidup
5 batang serai, hiris halus
CARA MEMBUATNYA :-)
- Pucuk ubi, pucuk labu, pucuk kacang panjang, daun kadok dan daun kunyit, dimayang halus seperti bunga rampai. Kemudian cuci dan toskan, perah sedikit. Petai diambil isinya, kemudian belah dua setiap satu. Ikan bilis ditoskan, perah dan tumbuk sedikit, tak perlu hancur, cuma pecah2kan saja. Ketepikan.
- Masukkan bahan2 kisar halus ke dalam kuali bersama2 tempoyak, ikan bilis, petai dan asam gelugor. Kacau rata dan tuang santan. Kacau dan masak hingga mendidih dan pekat sedikit. Masukkan kesemua daun2 yang dimayang tadi. Gaul rata hingga mesra.
- Masak hingga pekat, perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas dan ikan goreng..
No comments:
Post a Comment