Tuesday, 31 March 2015

QUICHE SARDINE MUDAH

rsz_simple_sardine_quiche
Assalammualaikum, salam semua. Esok 1 April bermulalah GST, suka tak suka kena hadapai juga. Dikatakan barang akan jadi murah, entah lah nak percaya pun susah. Barang2 yang dikatakan tak kena gst, awal2 dah naik harga. Nak kata apa, ringgit makin mengecil, barang pulak makin mahal. Kita sebagai pengguna kena lah menyusun balik perbelanjaan dan kurangkan apa yang tidak perlu. Bertabah lah. Entri hari ini che mat saja nak kongsikan satu menu mudah untuk anda hidangkan sebagai cemilan watu minum petang. Benda ringkas dan dalam kategori mudah dibuat. Quiche sardine mudah ini che mat guna puff pastry sebagai 'pastry' nya. Ada juga yang komen, guna roti lagi senang. Tu memang betul, ikut kehendak masing2lah yea. Inikan resipi che mat, jadi ikut suka lah nak guna apa. kita cuma berkongsi idea selebihnya pandai2 lah situ. Dan ada bezanya kalau anda guna roti berbanding puff pastry, terutama sekali dari segi teksturenya..

QIUCHE SARDINE
Resipi ini akan menghasilkan 6 biji quiche sardine. Che mat guna sardine cap ayam saiz paling kecil. Seperti gambar rajah atas ni (maaf, gambar hanya guna kamera hp dan che mat dah share di instagram dan fb semalam). anda perlukan tin muffin sebagai  acuannya. Che mat masukkan 2 biji cilu padi siam yang dihiris halus untuk dapat rasa pedas. Kalau anda ada anak2 kecil, tak perlu taruk cili padi, gantikan dengan lada sulah pun boleh. Ok, kalau nak mencuba, resipi seperti beriku..

BAHAN-BAHANNYA :-)
6 keping puff pastry jenama KAWAN (saiz 4 inci x 4 inci)
2 biji telur gred A
100 ml whipping cream (boleh ganti dengan susu segar atau santan)
Parutan keju cheddar secukupnya 
Sedikit cincangan parsley (boleh ganti dengan daun bawang atau kucai)

BAHAN-BAHAN INTI :-)
1 tin kecil sardine (che mat guna cap ayam)
1 biji bawang besar, didadu
2 keping hirisan halis, cincang halus
2 ulas bawang putih, cincang halus
2 biji cili padi merah thai, cincang halus
Kicap cair secukup rasa
2 biji limau kasturi, perah jusnya (kalau saiz limau besar, guna sebiji)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK INTI QUICHE :- Panaskan 2 camca besar minyak masak. Tumis bawang besar, bawang putih, halia dan cili padi. Kacau rata. Masukkan sardine dan pecah2kan isinya. Masak hingga kering. Tambah kicap cair dan jus limau kasturi. Kacau rata dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Sejukkan untuk kegunaan kemudian.
  2. UNTUK PASTRY PUFF :- Keluarkan pastry puff dari freezer, biarkan pada suhu bilik selama 15 minit. Ambil sekeping dan tabukan dengan sedikit tepung. Buat potongan kurang lebih 1 inci pada setiap bucu pastry (seperti dalam gambar di atas). Lenser acuan muffin dengan sedikit mentega. Berhati2 masukkan puff pastry tadi ke dalamnya, dan bentukkan seperti dalam gambar. Kemaskan dan buat hingga siap.
  3. UNTUK QUICHE SARDINE MUDAH :- Panaskan oven pada suhu 190C. Bahagikan inti quiche kepada 6 bahagian sama banyak dan isikan ke dalam acuan beralas puff pastry tadi. Dalam satu bekas, satukan telur dan whipping cream, kacau hingga semua sebati. Kemudian tuang ke dalam puff pastry yang berisi inti tadi. Taburkan parutan keju dan sedikit cincangan pasley atau daun bawang. Bakar 20 - 25 minit atau hingga kuning keemasan. bergantung pada oven masing2. Keluarkan dari oven, biar sekejap dan boleh alihkan quiche ke atas jaringan. Hidangkan untuk minum petang.... Selamat mencuba!!.

Monday, 30 March 2015

SERAWA PULUT DURIAN

rsz_durian_serawa
Assalammualaikum, selamat bertemu kembali bersama che mat. Semalam dalam sejarah che tak sentuh laptop selama satu hari, hehe..kalau lebih dari sehari tak sentuh (walaupun hari tu dok rumah terus, tu dah kes berat dan berprofile tinggi namanya). Hari ni che mat bikin serawa pulut durian atas permintaan bonda. Lagi pun bahan2 dah ada termasuk bahan utama, buah neraka di luar, syurga di dalam, iaitu buah durian. Tak musim durian kan sekarang ni, tapi tu lah kalau Allah dah kata ia rezeki kita, pasti ia akan jadi rezeki kita, boleh dapat durian pulak. Kali ni che mat buat sedikit kelainan pada pulutnya. Selalunya pulut untuk serawa durian, warna putih dan bila ambik gambar macam kurang menarik sangat, maka tadi ku campurkan dengan sedikit jus bunga telang untuk mendapat warna kebiru-biruan yang sungguh menawan. Bunga telang meluas digunakan oleh masyarakat baba nyonya sebagai pewarna dalam kuih muih mereka dan tak lupa dijadikan pewarna nasi kerabu di Kelantan. Tapi itu ikut anda, tak suka, tak perlu taruk, yea tak...toksah pening2 kepala, kan kita yang buat dia...Ok, jom che mat kongsikan resipi serawa pulut durian......

BAHAN-BAHAN KUAH SERAWA :-)
1 biji durian saiz besar, ambil isinya
1 liter santan segar
500 m air
1 ketul gula melaka, hiris halus (anggaran 1/2 cawan)*
1/2 cawan gula pasir*
1 cawan air*
1 helai daun pandan, disimpul*(*disatukan dan masak hingga gula larut, tapis dan sejukkan)
1 1/2 camca besar tepung gandum
3 camca besar air
Secubit garam
Gula, jika perlu

BAHAN-BAHAN PULUT :-)
1 kg beras pulut, cuci dan rendam 30 minit (che mat guna pulut susu)
700 ml santan cair
1 camca teh garam (atau secukup rasa)
1 camca teh minyak masak (che mat guna minyka kelapa)
1 helai daun pandan, disimpul
30 kuntum bunga telang, cuci dan toskan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK PULUT :- Panaskan kukus. Sediakan loyang 9 inci. Toskan beras pulut dan masukkan ke dalam loyang tadi. Masukkan garam dan minyak masak @ minyak kelapa ke dalam santan, kacau rata. Masukkan loyang berisi pulut ke dalam kukus. Tuang bancuhan santan dan masukkan daun pandan. Tutup kukus dan masak dengan api besar selama 20 minit. Sementara itu bunga telang ditumbuk dengan lesung batu hingga hancur. Perah jusnya dan tapis. 
  2. Selepas 20 minit, buka tutup kukus tadi dan sudukan jus bunga telang kepada beberapa bahagian pulut, sudukan secara bertompok2. Tutup kukus dan biar masak selama 5 minit. Kemudian gemburkan dengan chop stick dan sambung kukus untuk 5 - 7 minit lagi atau hingga pulut betul2 masak. Matikan api kukus dan biar sebentar.
  3. UNTUK KUAH SERAWA DURIAN :- Masukkan air gula ke dalam periuk bersama2 daun pandan, air dan santan. Kacau rata dan masak hingga mendidih. Tambah durian dan masukkan sedikit garam. Kacau rata dan masak sekejap. Sementara itu bancuh tepung gandum dengan 1/4 cawan air dan kacau rata. Tuang ke periuk, kacau rata dan masak dengan  api sederhana hingga kuah pekat. Rasa dan jika kurang manis anda boleh tambah sedikit lagi gula. Masak sekejap lagi dan boleh matikan api.
  4. UNTUK MENGHIDANG SERAWA PULUT DURIAN :- Cedok secukupnya pulut ke dalam bekas sesuai (seelok2nya guna mangkuk bersaiz kecil). Tuang secukupnya kuah serawa durian dan boleh hidangkan. Sedap dimakan sejuk. Kuah serawa durian juga anda boleh makan bersama roti kosong tanpa inti, lempeng pekak, roti jala dan kuih serabai....Selamat mencuba!!..

Saturday, 28 March 2015

PARU GORENG BERLADO...

rsz_1patu_berladdoo
Assalammualaikum, salam semua..hari ni kongsi resipi mudah. Tapi sebelum tu nak ucapkan selamat pengantin baru pada kenalan che mat Cikgu Azlinda Md Talib yang melangsungkan majlis perkahwinannya tadi. Moga berkekalan hingga ke akhir hayat dan dianugerahkan zuriat yang comel, gebu, soleh dan solehah...amin.. Ok, sambung cerita menu hari ni. Ingat tak che mat tu hari ada masak sambal goreng campur paru?...Baki lagi 500 gram ku jadikan paru berlado. Ini satu resipi mudah dan sedap. Untuk sambal tu memang style dia agak kasar2 dan cili pun rupa macam orang sakit tenat yang menumbuk, tak hancur dan nampak bersepai aje. Sedap dimakan bersama nasi panas atau dihidangkan sekali dengan nasi lemak, ketupat atau pun lontong. Tak mo cerita macam2, jomm kita lihat resipi mudah ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
500 gram paru, cuci dan toskan*
1 inci halia, diketuk*
3 ulas bawang putih, diketuk*
Air secukupnya*(*disatukan dalam periuk dan rebus hingga paru empuk)
1 camca teh pes asam jawa
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN TUMBUK HANCUR :-)
5 biji cili merah
6 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
3 biji buah keras
1 batang serai, hiris halus

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Paru yang telah direbus empuk dan disejukkan, dihiris nipis. Kemudian gaul dengan 3/4 camca teh serbuk kunyit dan 1/2 camca teh garam hingga rata. Kemudian goreng hingga garing, angkat dan toskan.
  2. Cedok keluar minyak dan tinggalkan kurang lebih 3 camca besar. Tumis bahan2 tumbuk hancur hingga harum, kacau selalu dan gunakan api kecil. Masukkan pes asam jawa, gula dan garam secukup rasa. Kacau dan masak hingga garing.
  3. Masukkan paru yang telah digoreng tadi. Gaul rata dan masak hingga kering dan sambal melekat pada keseluruhan paru goreng. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih, nasi lemak atau nasi impit.

Thursday, 26 March 2015

SAMBAL TEMPOYAK DAUN KAYU...RESIPI WARISAN

rsz_tempoyak_daun_kayu
Assalammualaikum, salam Jumaat semua. Malam semalam che mat mimpi dihidangkan masakan tradisi orang Negeri Sembilan yang menjadi identiti mereka. Apa lagi kalau bukan sambal tempoyak daun kayu. Pagi ni dengan begitu rajin sekali, pagi2 dah petik pucuk ubi dan pucuk2 lain yang boleh dimasukkan ke dalam resipi ini. Kalau ikut resipi yang betul2 asli, mereka guna bermacam jenis pucuk2 yang sukar nak dapat. Che mat guna beberapa jenis saja seperti pucuk ubi, pucuk kacang, daun kunyit, daun kaduk dan pucuk labu tak  lupa petai (petai ni yang buatkan sambal tempoyak lebih terangkat). Tapi kalau dah darurat sangat, anda boleh guna pucuk ubi, petai dan daun kunyit saja, takde masalah, masih sedap. Untuk rencah che mat guna ikan bilis.

tempoyak daun kayu1
Semua pucuk2 kayu (sayur2an) dimayang halus seperti bunga rampai, tapi petai che mat belah 2 saja untuk nampak lebih comel bila dihidangkan. Anda boleh masak lebih, kemudian disimpan dalam peti sejuk. Kalau nak simpan lebih lama, boleh bekukan di freezer. Kalau ada menu macam ni, makan sama nasi panas, lepas tu goreng ikan...settle dah. Teringat cerita bonda, dulu masa dia kecil dan arwah nenek (uwan) kerap masak sambal tempoyak daun kayu, diisi dalam mangkuk tingkat bersama telur rebus, nasi dan ikan goreng sebagai bekal untuk dimakan dalam keretapi ketika balik kampung di Rembau. Kalau anda ingin mencuba, che mat kongsikan resipi seperti berikut...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 cekak pucuk ubi, asingkan dari tangkainya
5 batang pucuk labu, ambil daunnya
10 tangkai pucuk kacang panjang
10 helai daun kadok
5 helai daun kunyit
4 papan petai
2 genggam ikan bilis, dibersihkan dan rendam sekejap
1 keping asam gelugor
3 camca besar penuh tempoyak
1 liter santan (dari sebiji kelapa)
Garam secukup rasa (dan secubit gula)

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
30 biji cili padi kampung (boleh kurangkan)
1 1/2 inci kunyit hidup
5 batang serai, hiris halus

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Pucuk ubi, pucuk labu, pucuk kacang panjang, daun kadok dan daun kunyit, dimayang halus seperti bunga rampai. Kemudian cuci dan toskan, perah sedikit. Petai diambil isinya, kemudian belah dua setiap satu. Ikan bilis ditoskan, perah dan tumbuk sedikit, tak perlu hancur, cuma pecah2kan saja. Ketepikan.
  2. Masukkan bahan2 kisar halus ke dalam kuali bersama2 tempoyak, ikan bilis, petai dan asam gelugor. Kacau rata dan tuang santan. Kacau dan masak hingga mendidih dan pekat sedikit. Masukkan kesemua daun2 yang dimayang tadi. Gaul rata hingga mesra.
  3. Masak hingga pekat, perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas dan ikan goreng..

SAMBAL GORENG CAMPUR PARU...

rsz_sambal_paru_goeng
Salam semua, tempoh hari masa che mat ke satu majlis kenduri kawin. Ada hidangan sambal goreng yang begitu ringkas. Ada paru, tempe, kentang dan tauhu serta soo hoon. Cukup sedap ditekak che mat. Jadi tu hari masa ke MyDin, che mat beli paru dan memang bertujuan nak bikin sambal goreng campur paru. Tapi che mat tambahkan satu bahan lagi iaitu kacang panjang. Buat dia mudah dan sebab Bak tak nak pedas, che mat tak taruk cili kisar. Tapi kalau anda buat dan suka pedas, masukkan cili kisar dalam 2 camca besar. Ada yang suka masukkan sedikit santan untuk dapat rasa lemak. Ini terpulang pada anda. Sambal goreng che mat versi guna kicap, maka ia kelihatan sedikit 'gerhana'. Kalau anda ingin mencuba, che mat kongsikan resipinya seperti berikut..

BAHAN-BAHANNYA :-)
500 gram paru lembu. dipotong 3 bahagian*
1/2 inci halia, hiris halus*
3 ulas bawang putih*
1 camca teh penuh garam*
Air secukupnya*(*disatukan dalam periuk dan rebus hingga paru empuk, toskan dan biar sejuk)
1 keping tempe berbungkus plastik, didadu dan goreng
2 keping tauhu, potong dadu dan digoreng
2 biji kentang saiz sederhana, kupas, dipotong dadu dan digoreng
6 tangkai kacang panjang, hiris serong dan digoreng sekejap
1 cekak soo hoon, potong pendek dan rendam hingga lembut
2 camca besar kicap lemak manis JALEN
1/2 camca teh pes asam jawa
6 biji bawang merah, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
1 batang serai, diketuk
2 biji cili merah, hiris
2 biji cili hijau, hiris
1 camca besar cili kisar 
Garam secukup rasa
Sedikit air

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Paru yang telah direbus dan disejukkan tadi, dipotong kiub pada saiz sederhana. Kemudian goreng hingga perang, angkat dan toskan. Panaskan 1/4 cawan minyak dalam kuali, tumis hirisan bawang merah, bawang putih, serai hingga harum, masukkan cili kisar (jika guna) dan pes asam jawa. Kacau rata dan masak hingga cili garing, guna api kecil dan kacau selalu.
  2. Masukkan paru goreng, tempe goreng, tauhu goreng dan kentang goreng. Gaul rata, masukkan kicap lemak manis dan kacang panjang goreng. Masukkan sedikit air dan tambah soo hoon (toskan dahulu), hirisan cili merah dan cili hijau. kacau hingga rata.
  3. Tambah garam secukup rasa. Masak sekejap hingga kering dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih atau ketupat dan lauk2 lain. Boleh juga dimakan bersama ketupat atau nasi impit. Selamat mencuba!..

Tuesday, 24 March 2015

ASAM REBUS TEMPOYAK IKAN DURI SAMA TIMUN

rsz_asam_tempoyak_ikam_duri_timun
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat mula on balik masak2, selepas bercuti semalam. Masak pun yang mudah2, dan untuk bonda che mat masakkan asam rebus tempoyak ikan duri. camput timun. Ikan duri saiz kecil saja dan ada pulak telur. Anda boleh guna apa2 ikan yang anda suka. Nak guna ikan air tawar pun boleh. Biasanya menu begini, perlu pedas sikit. Tidak menggunakan sebarang minyak, ia hanya direbus. Ikan anda perlu cuci bersih dan perap dengan jus limau nipis atau limau kasturi terlebih dahulu. Kalau ada petai, boleh juga masukkan sekali, lagi sedap kuah dia. Ok, kita lihat resipi nya..jommm..

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 ekor ikan duri saiz sederhana (atau apa2 jenis ikan pilihan anda)
2 batang serai, diketuk
1 helai daun kunyit, disiat
1 kuntum bunga kantan, dibelah 2
1 keping asam gelugor
1 biji timun saiz besar
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
20 biji cili padi kampung (jenis merah)
5 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
1 camca besar penuh tempoyak

CARA MEMBUATNYA :- 
  1. Ikan duri disiang, kemudian kerat kepada beberapa bahagian. Cuci bersih dan perap dengan jus limau nipis atau limau kasturi selama 10 minit, cuci kembali hingga bersih dan toskan. Timun dibuang kulit, kerat 2 dan belah 4 setiap keratan. Kemudian buang bahagian empulurnya.Cuci dan toskan.
  2. Masukkan bahan2 kisar halus ke dalam periuk bersama air (anggaran 1200 ml atau secukupnya). Kacau rata. Tambah serai dan asam gelugor. Masak hingga mendidih. Masukkan ikan duri dan bunga kantan. Kacau perlahan dan masak sekejap.
  3. Masukkan timun dan daun kunyit. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau perlahan dan masak hingga timun lembut sedikit. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas dan lauk2 lain.

Sunday, 22 March 2015

HARI KEMAHKOTAAN SULTAN IBRAHIM, JOHOR

Jata_Kemahkotaan_Sultan_Ibrahim_small_logo

johornew
Assalammualaikum, salam takzim semua. Isnin, 23 hb Mac 2015, Negeri Johor cuti kerana meraikan hari kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dan DYMM Raja Zarith Sofia sebagai Permaisuri Johor, baginda merupakan Sultan Johor ke - 5 dalam era Johor modern. Seperti anda sedia maklum, Negeri Johor diperintah oleh 3 keturunan raja yang berlainan. Waris dari sultan Melaka berakhir setakat Almarhum Sultan Mahmud mangkat dijulang, kemudian diturunkan kepada keturunan Bendahara, dan akhirnya kepada keturunan Temenggong (yang memerintah sekarang ini). Setiap era membawa kelainan dalam corak pemerintahan beraja di  Negeri Johor pada ketika itu.

Istiadat kemahkotaan ini amat bersejarah bagi Negeri Johor. Kali terakhir ianya diadakan lebih 50 tahun dahulu semasa era pemerintahan Almarhum Sultan Ismail, nenda Sultan sekarang ini. Negeri Johor, ialah negeri pertama di Tanah Melayu yang menggunakan mahkota sebagai alat kebesaran negeri. Ini semua atas kebijaksanaan Alamrhum Sultan Sir Abu Bakar yang terkenal dengan gelaran bapa pemodernan Johor dalam memberi corak baru sistem pemerintahan beraja di negeri Johor....Selebihnya anda boleh baca di internet. Che mat kongsikan dengan anda semua, wajah2 baginda  Sultan Johor era modern yang pernah memerintah Negeri Johor....( Al- Fatihah untuk mereka2 yang telah pergi, moga Allah swt mencucuri rahmat ke atas roh2nya)..

sultan sir abu bakar, johore
Almarhum Sultan Sir Abu Bakar Ibni Daing Ibrahim
( 1862 - 1895 )

sultan ibrahim johore
Almarhum Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar
(1895 -1959 )

johor-Ismail
Almarhum Sultan Ismail Ibni Almarhum Sultan Ibrahim
( 1959 - 1981 )

sultan johor
Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail
( 1981 - 2010 )

tunku yem
Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar
( 2010 - hingga sekarang )

~: PANTUN JOHOR :~

ADA NEGERI PALING SELATAN,
DIPERINTAH RAJA DAN JUGA SULTAN,
MENJADI CERITA SERTA BUALAN,
ITULAH JOHOR NEGERI BERTUAN.

BUKIT TIMBALAN PENUH SEJARAH,
ISTANA BESAR BERDIRI MEGAH,
BANGSA JOHOR SEMANGAT TAK PATAH,
KEPADA ALLAH KITA BERSERAH.

DARI MUAR KE TELOK SENGAT,
BERBAJU KURUNG BUNGA PERADA,
JOHOR MODERN NEGERI BERDAULAT,
RAJA DAN RAKYAT PERPISAH TIADA.

MAHKOTA JOHOR PENUH MISTERI,
INTAN PERMATA KOTA LARANGAN,
SELAMAT BERTAHTA TUANKU DAN ISTERI,
DIBERI PETUNJUK SEPANJANG ZAMAN..

~ : DAULAT TUANKU : ~

KEK ZEBRA ATAU KEK KUDA BELANG...

rsz_marble_cekelt
Assalammualaikum, petang ni che mat nak masukkan entri kek zebra atau kek kuda belang yang cukup mudah dibuat. Sebenarnya kek kuda belang ke, kek marble ke anda boleh ubah suai guna adunan kek mentega biasa tu. Cuma perlu asingkan adunan kosong, tambah serbuk koko atau coklat emulco dan kacau rata. Kendian sudukan berselang seli dalam loyang pembakar, pastikan tengah2 loyang. Yang ni saiz kecil dalam 6+ inci. Boleh guna sebarang perisa. Tak suka coklat, boleh ganti dengan pandan + stoberi atau coklat +oren atau kalau nak berani lagi, coklat + pudina. Sesuai ni kalau dihidangkan masa minum petang. Ok, meh che mat tuliskan resipi dia, memang senang sangat nak buat...Jommm..

BAHAN-BAHANNYA :-)
150 gram mentega (anchor, scs, emborg)
2 biji telur gred A
125 gram tepung berserbuk penaik (self raising flour), diayak 3 kali
1/4 cawan susu pekat manis
50 gram gula kastor
1 camca teh esen vanilla
1/2 camca tek perisa mocha
1 camca besar serbuk koko*
2 camca besar air panas*(*disatukan dan kacau rata)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan oven pada suhu 175C, lenser acuan kek bulat berukuran 6.5 inci x 3 inci dengan mentega, alas dasar tin dengan kertas minyak. Lenser juga kertas tadi. Ketepikan.
  2. Putar mentega dan gula kastor hingga putih, masukkan telur satu persatu dan terus memutar hingga kembang. Masukkan susu pekat manis dan esen vanilla. Putar rata.
  3. Perlahankan kelajuan, masukkan tepung sedikit demi sedikit dan putar hingga sebati. Matikan mixer dan bagikan adunan kek kepada 2 bahagian. Satu dimasukkan perisa mocha dan bancuhan serbuk koko, kacau rata. Satu lagi dibiarkan kosong tanpa warna,
  4. Sudukan 3/4 camca besar adunan kosong ditengah2 tin kek. Kemudian sudukan pula 3/4 camca besar adunan koko atas adunan kosong tadi. Buat berselang seli hingga habis. Goyang2kan sedikit acuan tadi agar adunan kek rata. Bakar selama 40 - 45 minit atau hingga kek masak. Uji dengan mencucuk bahagian tengah kek dengan lidi sate bersih atau cake tester, jika keluar bersih, tu tanda kek anda telah masak. Keluarkan kek dari acuan dan sejukkan atas jaringan. Boleh hidangkan..

Saturday, 21 March 2015

PUFF SARDINE PEDAS...

rsz_puff_sardine_pedas
Assalammualaikum, salam Sabtu, sejak beberapa hari ini che mat mengidam sangat nak makan puff sardine. Dah bosan bikin inti tuna, sekali nak balik pada citarasa awal, iaitu sardine. Kali ni che mat guna sardine tin kecil dan dapat 6 biji puff. Seperti biasa, kulit puff beli yang sedia guna jenama KAWAN. Saiz dia pun elok saja, 4 inci x 4 inci. Resipi ni senang dan boleh dikatakan sesuai setiap masa, untuk sarapan, untuk minum petang atau dihidangkan pada tetamu. Satu teknik membakar yang akan menghasikan puff pastry yang gebu dan berlapis2, ialah dengan menghidupkan 'kipas' pada oven anda (jika oven anda jenis yang ada kipas untuk 'hot air circulation'). Kalau takde, bakar guna api atas bawah seperti biasa pun boleh juga. Jika anda hidangkan untuk anak2, tak perlu taruk cili padi, boleh tambah sedikit serbuk lada hitam jika suka...Ok kita semak resipi...

BAHAN-BAHANNYA :-)
6 keping puff pastry bersaiz 4 inci x 4 inci (jenama KAWAN)
1 kuning telur, dipukul sedikit
1 tin kecil sardine (che mat guna cap ayam)
1 biji bawang besar, didadu
2 ulas bawang putih, cincang halus
2 keping nipis hirisan halia, cincang halus
3 biji cili padi, hiris halus
1 biji limau kasturi, perah jusnya
Garam secukup rasa

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK INTI :- Panaskan 2 camca besar minyak, tumis bawang putih, halia dan bawang besar hingga harum dan bawang layu. Masukkan sardine bersama kuah2nya sekali. Hancurkan dan masak hingga kering. Tambah garam secukup rasa, jus limau kasturi dan hirisan cili padi. Kacau rata dan masak sekejap. Rasa dan jika ok, boleh matikan api dan sejukkan.
  2. UNTUK PUFF SARDINE PEDAS:- Panaskan oven pada suhu 190C, sedikan dulang pembakar, jika suka anda boleh alas dengan kertas minyak. Inti tadi dibahagi kepada 6 bahagian sama banyak. Ketepikan.
  3. Pastikan anda keluarkan puff pastry sekurang2nya 15 minit dari freezer sebelum anda guna. Ambil sekeping puff pastry, kelar2 sedikit pada 1/2 bahagian puff pasty (che mat buat 3 segi). Bahagian yang tidak dikelar, anda sudukan 1 bahagian inti dan ratakan. 
  4. Cantumkan dan tekan2 sedikit tepinya. Kemudian tekan dengan garfu disekeliling tepi kulit puff pastry agar bercantum bahagian atas dan bawah. Alihkan ke dalam dulang pembakar. Buat kaedah sama untuk baki puff pastry dan inti, hingga siap.
  5. Sapu sedikit kuning telur atas setiap puff pastry tadi. Bakar selama 25 minit atau hingga keemasan dan puff pastry akan mengembang dan menghasilkan kulit yang berlapis2. Sejukkan atas jaringan dan boleh hidangkan....Selamat mencuba!..

Friday, 20 March 2015

RESIPI PHAD THAI

rsz_pat_thai
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat tak masak nasi, sebab che mat home alone. Malas pun yea, nak masak, penat. Korek dalam peti sejuk, ada macam2 juga dan terjumpa kuey teow kering jenama A1 yang che mat beli dulu. Berbaki dalam 2 gulung. Tiba2 idea datang nak buat phad thai. Zaman sekarang ni mudah, on line saja, search kat google, bermacam2 sumber akan keluar. Dan phad thai che mat buat ni guna bahan2 yang ada saja. Untuk perencah, che mat guna daging batang pinang dan sebelum tu anda ke bikin sosnya dulu. Tidak susah nak membuatnya. Dan che mat buat tak banyak, cukup untuk guna 2 kali. Sos tu anda kena agak masa masukkan dalam mi dia, jangan main curah aje, kang masin dah tak boleh makan. Resipi asal ada tambah lobak jeruk yang dicincang halus, tapi che mat takde lobak jeruk dan tak letak pun masih ok, masih sedap...Jommm kita semak resipi..

BAHAN - BAHANNYA :-)
2 cekak kuey teow kering jenama A 1
200 gram daging batang pinang, hiris nipis (boleh guna udang atau daging ayam)
1 genggam taugeh (atau secukupnya), dibuang ekor, cuci dan toskan
1/2 batang lobak merah, hiris halus
10 tangkai kucai, kerat pendek
1 genggam kacang tanah yang siap digoreng, ditumbuk kasar
2 biji telur, dipukul sedikit
Sos phad thai secukupnya (resipi di bawah)
2 ulas bawang putih, dicincang halus
Limau nipis atau limau kasturi, dibelah 2
Sedikit chili flakes untuk ditabur

BAHAN-BAHAN SOS :-)
1/4 cawan gula melaka, hiris kecil
3 camca besar gula pasir
1/4 cawan sos ikan (nampla)
1/2 camca besar cuka makan
1/2 camca besar pes asam jawa
1/4 cawan air

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK SOS PHAD THAI :- Satukan semua bahan2 untuk sos ke dalam periuk. Kacau rata dan masak hingga mendidih dan gula hancur, kacau sekali sekala. Biarkan mendidih dengan api kecil selama 5 - 6 minit. Matikan api dan tapis. Ketepikan untuk kegunaan kemudian,
  2. UNTUK PHAD THAI :- Celur kuey teow kering dalam air panas mendidih selama 1 minit. Toskan dan rendam dalam air sejuk sekejap. Toskan. Panaskan 3 camca besar minyak dalam kuali (che mat guna frying pan saiz besar). Tumis bawang putih hingga harum. Masukkan daging dan kacau rata. Masak hingga daging berubah warna (sebab guna daging batang pinang, ia mudah empuk).
  3. Masukkan kuey teow dan gaul rata. Tolak ke tepi kuali. Masukkan telur dan biar hingga telur mengental. Hancur2kan telur dan gaul rata dengan kuey teow tadi. Masukkan sos phad thai dalam 3 - 4 camca besar. Kacau rata, masukkan lobak merah, kacau dan masak sekejap.
  4. Tambah taugeh dan daun kucai. Gaul rata dan akhir sekali masukkan kacang (tinggalkan sedikit untuk hiasan). Kacau rata dan rasa, jika kurang masin anda boleh tambah sedikit lagi sos phad thai. Matikan api dan alihkan ke dalam pinggan sesuai. Tabur baki kacang tanah dan juga chili flakes, hidangkan bersama limau nipis atau limau kasturi....Selamat mencuba!

Thursday, 19 March 2015

IKAN KEMBONG MASAK KICAP

rsz_kicap_ikan_kembong
Salam semua, entri ikan kembong masak kicap ini pada pendapat che mat bukan satu resipi yang 'biasa-biasa', walaupun hakikatnya ia memang masaka biasa-biasa. Menjadi kegemaran setiap peringkat umur, baik tua, muda dan kanak2. Che mat sendiri antara penggemar menu ikan masak kicap dan che mat lebih suka guna ikan yang banyak isi seperti ikan kembong, ikan tenggiri, ikan kerisi, ikan bawal dan ikan pari. Ikan selalunya digoreng, tapi jangan sampai garing. Pemilihan kicap juga memainkan peranan. Che mat seperti biasa, menggunaan kicap lemak manis JALEN, dan ditambah sedikit kicap pekat JALEN. Jika anda suka pedas, boleh masukkan 3-4 biji cili padi yang diketuk. Sedap dimakan bersama nasi panas atau bubur nasi. Resipi ini che mat tujukan khas pada anak2 yang baru ada keinginan nak memasak, walaupun ia hidangan yang boleh dikatakan amat senang dan mudah. Resipi seperti berikut...

BAHAN-BAHANNYA :-)
4 ekor ikan kembong saiz besar
1/2 inci halia, diketuk
3 ulas bawang putih, diketuk
1 biji bawang besar, dihiris bulat dan leraikan
1 biji cili merah, dihiris serong
1 biji cili hijau, dihiris serong
1/4 camca teh cuka makan JALEN
5 camca besar kicap lemak manis JALEN
1 camca teh kicap pekat JALEN
1 camca besar sos tiram JALEN
1/3 camca serbuk lada sulah
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
1/3 cawan air
Hirisan daun bawang, untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan kembong disiang, cuci bersih dan kelar sedikit. Lumur dengan sedikit serbuk kunyit dan garam (anggaran 1 camca teh serbuk kunyit dan 1/2 camca teh garam) hingga rata. Kemudian goreng hingga masak, tak perlu sampai garing, goreng lembab2 sudah memadai. Angkat dan ketepikan.
  2. Panaskan 3 camca besar minyak dalam kuali, tumis kayu manis, bunga lawang, halia dan bawang putih hingga harum. Masukkan sos tiram dan kacau rata. Tuang air, masukkan kicap pekat, kicap lemak manis dan cuka makan. Kacau dan biar mendidih.
  3. Masukkan bawang besar dan ikan. Kacau perlahan dan tambah hirisan cili merah, cili hijau dan serbuk lada sulah. Kacau dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Tabur hirisan daun bawang sebelum dihidangkan.

SAMBAL TOTOK JAWA...

rsz_sambal_totok_jawa

Assalammualaikum, salam Khamis. Hari ni che mat masak yang best...gulai rebung sama ikan masin kurau, tapi tak jadikan ia sebagai entri blog sebab dah kerap sangat. Dan sambil2 tu sempat juga hempuk sambal totok jawa, yang sedap, pedas dan menggamit selera. Resipi memang senang, hasilnya pun in sha Allah sedap. Ramai dah orang buat dan ada sampai berjualan sambal totok.  Buat dia mudah dan anda boleh buat sendiri dirumah. Yang penting ada lesung batu, kalau blender tak bess, dan tak jadi ke totok annya. Makan ni sama nasi panas, lepas tu goreng ikan....cukup dah, silap hari bulan, anda bertambah makan nasi lagi ada lah. Ikan bilis goreng che mat ramas2 kasar sahaja, tak ditumbuk. Kalau anda rasa kurang selera nak makan, apa kata cuba bikin sambal totok ni dan bagi yang tak tahan pedas, anda boleh guna cili merah sahaja, tak perlu guna cili padi...Ok jomm kita menyambal totok...

BAHAN-BAHANNYA :-)
5 biji cili merah, kerat pendek cuci dan toskan
10 biji cili padi siam, kaler merah, cuci dan toskan
5 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
1 genggam ikan bilis, dibersihkan dan rendam sekejap, toskan
Sebesar ibu jadi orang dewasa, belacan, dibakar hingga harum
Garam dan gula secukup rasa
4 biji limau kasturi

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Ikan bilis digoreng dengan api sederhana hingga kuning keemasan dan garing, angkat dan toskan. Goreng pulak bawang merah kecil dan bawang putih hingga layu, angkat dan toskan. Kemudian goreng cili merah dan cili padi hingga layu, angkat dan toskan.
  2. Ikan bilis goreng tadi ditumbuk sedikit tapi jangan sampai hancur, cukup sekadar patah2 sahaj (che mat ramas guna tangan). Tumbuk cili merah dan cili padi hingga hancu, masukkan belacan dan tumbuk hingga lumat. Tambah bawang merah dan bawang putih yang telah digoreng tadi. Tumbuk lumat. Masukkan gula dan garam secukup rasa dan tumbukk sebati.
  3. Perahkan jus limau kasturi, gaul rata dan tambah ikan bilis pada saat2 akhri sebelum dihidang bersama nasi panas dan lauk2 lain kegemaran anda... Selmat mencuba!

Wednesday, 18 March 2015

ASAM TUMIS REBUS IKAN PARANG SAMA NENAS..

rsz_ikan_parang_asam_tumis
Assalammualaikum, salam Rabu. hari ni cuma nak berkongsi resipi senang sangat. Menjadi kegemaran Bak, dan jika anda ada soalan, che mat memang tak boleh nak jawab, sebab semuanya Bak yang nak. Soalan yang che mat jangka akan ditanya ialah..."eh. ikan tu you goreng dulu ke?... "Eh ni sama macam asam pedas ke sebab kena tumis?"...atau ...."guna ikan lain boleh tak, ikan parang tu tulang banyak"...yang tu semua nanti che mat ceritakan kemudian. Asam tumis rebus ni memang kena tumis dengan sedikit minyak. Asalnya masakan ini mak sedara che mat yang masak. Tapi ikan tu tidak digoreng. Bak memang suka kalau ikan parang digoreng sedikit, bukan goreng sampai garing, cuma goreng embal2 saja. Kalau anda nak mencuba, che mat tuliskan resipinya, seperti berikut..

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 keping ikan parang (setiap 1 sebesar tapak tangan dewasa)
1/2 camca teh serbuk kunyit
1/2 camca teh garam
1/2 biji nenas madu, dipotong kasar
1 keping asam gelugor
1 helai daun kunyit, disiat
1/2 camca teh serbuk kunyit
Air secukupnya
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji cili merah
5 tangkai cili kering, buang biji dan rendam dalam air panas dan toskan
1 camca besar ikan bilis, dibersihkan
5 biji bawang merah
2 ulas bawang putih

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan parang dibelah dua (sebab saiz ikan parang yang che mat guna agak besar dan tebal). Kemudian gaul dengan sedikit garam dan serbuk kunyit hingga rata. Goreng ikan tadi hingga kekuningan, tapi tak perlu sampai garing. Angkat dan toskan.
  2. Panaskan 3 camca besar minyak dalam periuk. Tumis bahan2 kisar halus hingga harum, masukkan serbuk kunyit, kacau rata dan masak sekejap. Tuang air secukupnya (anggaran 1200 ml). Kacau dan biar mendidih.
  3. Masukkan nenas dan asam gelugor. Kacau dan biar masak untuk 2-3 minit. Tambah ikan parang goreng dan dan kunyit. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacai perlahan dan masak hingga nenas empuk. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi hangat dan lauk2 lain..

Tuesday, 17 March 2015

RESIPI PUDDING ROTI

rsz_butterscoth_bread_pudding
Cuaca panas2 ni, dapat makan pudding roti alangkah nikmatnya. Nak2 yang sejuk, dicurah sos kastard...hurmmm...nyaman sangat. Pudding roti satu menu pencuci mulut yang senang dibuat dan tak perlu banyak sangat bahan2. Che mat pernah buat sekali resipi ni dan untuk kelainan kita guna roti butterscotch 'gardenia'. Pudding roti yang anda nampak ini che mat bikin Ahad lepas, masa Sue Joshua dan Sis Linn datang, maklumlah disaat2 akhir, ku cempakkan apa yang ada dalam bekas dan bakar, maka jadilah pudding roti. Sos custard pulak che mat kurangkan gula. Tu ikut anda lah yea, nak manis, tambah gula lagi. Sesuai dihidangkan sebagai pencuci mulut untuk keluarga atau tetamu. Resipi yang che mat sertakan ini untuk hidangan 4 orang, kalau anda nak buat lebih, boleh gandakan resipinya...bolehkan?....mesti boleh yea tak...Jommm, kita semak resipi..

BAHAN-BAHANNYA :-)
5 keping roti butterscotch 'gardenia'
2 camca besar coklat cip
1 cawan susu sejat (susu sejat IDEAL)*
1 biji telur gred A*
1 camca besar gula kastor*
1 camca teh esen vanilla*
1 camca besar mentega, dicairkan*
Sedikit mentega

BAHAN-BAHAN SOS KASTARD :-)
1 cawan susu segar (atau 1/2 cawan susu sejat + 1/2 cawan air)
1 camca besar penuh gula kastor
1 camca besar penuh tepung kastard (bird's kastard)
1/2 camca teh esen vanilla

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK PUDDING ROTI :- Panaskan oven pada suhu 180C, lenser bekas kaca tahan panas berukuran 5 inci x 7 inci dengan mentega (atau guna bekas yang sesuai). Bancuh semua bahan bertanda (*) dan kacau rata dengan whisk hingga gula hancur, tapis dan ketepikan. Roti dipotong 4 setiap 1. Susun 1/2 bahagian roti dalam bekas kaca tadi, taburkan dengan 1 camca besar coklat cip. Susun baki roti dan tuang bancuhan yang ditapis atasnya. Biar sekejap hingga semuanya terserap (tekan2 sedikit dengan belakang sudu). Tabur baki coklat cip, dan tompokkan mentega pada permukaannya. Bakar selama 30 minit. Keluarkan dari oven dan sejukkan.
  2. UNTUK SOS KASTARD :- Satukan semua bahan untuk sos kastard kecuali esen vanilla. Kacau rata dan tapis ke dalam periuk. Masak dengan api kecil sambil dikacau hingga mendidih. Masukkan esen vanilla. Kacau sekejap dan matikan api. Biar hingga sos kastard hilang wap panas dan simpan dalam peti sejuk.
  3. CARA MENGHIDANGNYA :- Cedok secukupnya pudding roti ke dalam bekas sesuai (seelok2nya guna mangkuk kecil). Tuang sos kastard secukupnya dan hidangkan segera. Sedap dimakan sejuk...Selamat mencuba!!..

Monday, 16 March 2015

LEMAK TEMPOYAK IKAN KELI SALAI

rsz_keli_salai_lemak_tempoyak
Assalammualaikum, salam Selasa. Hari ni che mat kena masak yang agak cerewet sikit, maksudnya bukan cara memasak, tapi penyediaan bahan2 mentahnya. Nasib baik bonda tolong siangkan ikan keli, dan keli pulak bukan dari kolam atau yang dipelihara, tapi jenis keli liar dari sungai (keli tempatan, bukan keli africa). Che mat masak 2 ekor ikan keli saiz sederhana. Mula2 plan nak teruk belimbing buluh, tapi bonda kata masak lemak tempoyak, maka ku gantikan dengan pucuk ubi yang disimpul. Yang tu ikut suka, kalau tak nak pun takpe, tak perlu taruk. Gantikan dengan petai pun sedap juga. Che mat salai dulu ikan keli tadi hingga keperangan. Anda boleh salai guna kuali atau atas bara api. Kalau guna bara api, aromanya lagi sedap dan 'tradisi'. Kali ini kita buat cara orang Negeri Sembilan masak, tak guna bawang. Ada yang tegur che mat pasal masak lemak cili padi tak letak bawang. Ok, sebenarnya che mat tau, sebab arwah nenek melayu kami orang Rembau, arwah datuk orang Labu, jadi benda2 ni semua dah biasa dalam keluarga kami....cuma bila ditegur, terima saja lah, walaupun hakikatnya kita dah tau....Ok, jomm mula masak..

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 ekor ikan keli saiz sederhana
1 camca besar kunyit serbuk
1 camca teh garam
10 - 12 tangkai pucuk, cuci, toskan dan disimpul setiap satu
3 batang serai, diketuk
2 helai daun kunyit, disiat
1500 ml santan cair
400 ml pati santan
1 keping asam gelugor
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
30 biji cili padi kampung, warna hijau
2 inci kunyit hidup
1 camca besar penuh tempoyak
1/2 cawan air

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan keli disiang dan kerat 3 (ikut saiz ikan yang anda guna), kemudian gaul dengan sedikit tepung. Perap 10 minit, cuci kembali hingga bersih. Perap sekali lagi dengan jus limau nipis selama 5 minit. Cuci bersih dan toskan. Gaul ikan tadi dengan serbuk kunyit dan garam hingga rata. Panggang atau salai hingga ikan keperangan pada kedua2 bahagian. Ketepikan.
  2. Masukkan bahan2 kisar halus ke dalam periuk bersama serai titik dan asam gelugor. Tuang santan cair dan kacau rata. Masak hingga mendidih. Tambah pucuk ubi dan daun kunyit, masak sekejap. Masukkan ikan keli salai. Kacau perlahan dan biar mendidih.
  3. Tuang pati santan, kacau dan masak dengan api kecil hingga mendidih dan pucuk ubi lembut. Perasakan dengan garam secukup rasa dan sedikit gula. Masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih dan lauk2 lain.

Sunday, 15 March 2015

VICTORIA CREAM CHEESE SANDWICH...

rsz_victoria_cheese_sandwich
Assalammualaikum, salam Isnin semua. Hari ni che mat tak masukkan entri lauk pauk, tapi nak berkongsi dengan anda resipi kek paling senang nak bikin, kita ni kek bidan terjun. Semalam che mat menerima kedatangan Sis Linn dan Sur Joshua, di saat2 akhir dan takde lah sempat nak berbagai sangat hidangan. Paling cepat che mat boleh buat kek victoria cheese sandwich. Mungkin resipi che mat agak ringkas dan cepat dibuat. Perasan tak swirl cream cheese tu, nampak kurang senonoh aje kan, hurrmmm, kena beli nozzle lain nih sebelum GST (baiknya alasan). Cream cheese tu kurang gula, kalau anda nak keras sikit, boleh lebihkan gula aising. Che mat masukkan sedikit jus oren dan parutan kulit oren dalam cream cheese tadi, tapi kulit oren yang anda parut, pastikan dicincang halus, kalau tak nanti sangkut2 pada hujung nozzle masa anda paipkan atas kek.....Ingin mencuba sendiri?...Ok, jomm kita semak resipi...

BAHAN-BAHANNYA :-)
250 gram tepung optima @ sponge mix
4 biji telur gred A
1 camca teh esen vanilla
80 gram mentega, cair dan sejukkan
50 ml susu segar

BAHAN-BAHAN CREAM CHEESE :-)
250 gram cream cheese
100 gram mentega
2 camca besar gula aising, diayak
1 biji oren sunkist, parut kulitnya dan cincang halus(bahagian kuning sahaja)
2 camca besar jus oren

BAHAN-BAHAN HIASAN :-)
Strawberry segar
Blueberry segar

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan oven pada suhu 175C, lenser 2 tin bulat berukuran 8 inci dengan mentega, alas dasar tin dengan kertas minyak, lenser juga kertas tadi. Buah strawberry dan blueberry, dicuci dan lap kering. Ketepikan.
  2. UNTUK KEK :- Masukkan tepung optima ke dalam mixer bersama2 dengan telur dan susu. Kacau rata, kemudian putar dengan kelajuan tinggi hingga kembang dan pekat seperti adunan kuih baulu (kurang lebih 8 - 10 minit). Matikan mixer, tuang mentega cair dan kacau rata dengan spatula, guna kaedah kaup balik. Kemudian tuang dalam 2 tin kek tadi, sama banyak. Bakar 25 minit atau hingga masak. Keluarkan dari oven, biar sekejap dan terbalikkan atas jaringan, biar kek sejuk sepenuhnya.
  3. UNTUK CREAM E CHEESE :- Putar cream cheese, mentega, gula aising dan parutan kulit oren hingga berkrim, guna kelajuan sederhana. Masukkan jus oren dan putar hingga sebati. Ketepikan..
  4. UNTUK VICTORIA CHEESE SANDWICH :- Letakkan sekeping kek atas pinggan atau papan kek. Masukkan cream cheese dalam piping bag yang dipasang nozzle bintang (saiz besar). Paipkan bentuk rose atas kek tadi hingga penuh. Lapiskan dengan sekeping lagi kek dan tekan perlahan2. Kemudian paipkan baki cream cheese atas kek, buat bentuk rose juga. Hias dengan buah strawberry (belah 2 setiap 1) dan blueberry atasnya. Boleh hidangkan....(atau anda boleh simpan dalam peti sejuk sekejap sebelum dihidangkan, ini akan menghasilkan potongan kek yang lebih kemas)...

RESIPI TERUNG CURAH KICAP..

rsz_terung_curah_kicap
Assalammualaikum, salam semua, malam ni che mat nak berkongsi dengan anda resipi senang tapi sedap dan khas untuk penggemar sayur terung. Ada yang tak pernah cuba terung dimasak macam ni, waimah tak tau pun kewujudannya. Ini satu resipi paling senang, paling ringkas dan sedap dimakan bersama nasi panas dan bubur nasi. Disarankan anda guna kicap lemak manis JALEN, selain ia sedap, harga pula berpatutan. Che mat guna 2 biji terung ungu saiz sederhana. Anda boleh guna terung organik, dan guna 3 biji, sebab terung organik biasanya saiz lebih kecil....ok che mat tuliskan resipi, kot2 lah esok anda ingin nak mencuba....

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 biji terung ungu, saiz sederhana
1 genggam ikan bilis
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih, cincang halus
1 biji cili merah, hiris
4 camca besar kicap lemak manis JALEN
1/4 cawan air
Sedikit lada sulah, jika suka
Hirisan daun bawang, untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Terung dicuci dan buang sedikit kulitnya, kemudian hiris sederhana tebal. Gaul dengan sedikit garam, kemudian goreng sekejap (anggaran 1 minit), angkat dan toskan. Letak atas kitchen paper towel dan biar minyak terserap. Ketepikan. 
  2. Ikan bilis dibersihkan dan belah 2 setiap 1. Rendam sekejap, toskan dan perah. Kemudian goreng hingga ikan bilis garing, angkat dan sejukkan
  3. Panaskan 2 camca besar minyak masak dalam kuali, tumis hirisan bawang besar dan bawang putih hingga harum, masukkan kicap lemal manis dan juga air. Kacau rata, bila mendidih, masukkan lada sulah (jika guna). Masak sekejap dan boleh matikan api.
  4. Susun terung dalam bekas sesuai. Tuang kuah kicap atasnya, tabur dengan hirisan daun bawang dan juga ikan bilis goreng tadi. Hidangkan segera bersama nasi panas atau bubur nasi...Selamat mencuba!!

Saturday, 14 March 2015

CHEEZY MURTABAK, PASTI BUAT ANDA MELELEH...

rsz_cheezy_murtabakks
Sejak2 ni murtabak cheese menjadi fenomena dan mula menular dikalangan orang Malaysia. Che mat sendiri tak pernah lagi rasa. Kalau murtabak biasa tu adalah, tu pun kadang2 ada yang sedap, ada yang tidak..ada tu pulak macam telur bungkus aje. Baru2 ni che mat dapat sample murtabak keju 'cheezy M', bukan main teruja sangat nak mencuba. Mula2 tu risau juga, takut muak, maklumlah, murtabak tradisi ditambah cheese, tak ke 'sesuatu'.... Jadi che mat pun test masak...dann...nak tau apa jadi...Bak (ayah), che mat yang tekak tradisional, tak makan keju tu pun laju aje makan, sedap katanya....Dan memang betul sangat, sedap..tak muak dan yang paling penting nak menyediakannya amat2 mudah, senang cerita kalau anda menerima tetamu, tak perlu nak kecoh2 sangat, panaskan murtabak cheese dan hidangkan. Mesti tetamu anda ingat sampai bila2....silap2 minggu depan dia orang datang balik...hahaha....

rsz_cheezy_murtabak1rsz_cheezy_murtabak
Murtabak ini datang dalam dua jenis, murtabak keju supreme daging dan murtabak keju supreme ayam. Dua sedap dan teringat2 bila dah merasainya. Untuk anda yang tak boleh makan daging, nak2 ada sakit gout macam Bak, toksah khuatir, boleh makan murtabak cheese supreme ayam. Saiz agak besar dan pada pendapat che mat amat berbaloi dengan harga. Kadang2 kita beli murtabak di luar, harga lebih mahal tapi rasa mengecewakan, yang ini, in sha Allah, sedap dan anda tak cukup sekali rasa, mesti nak lagi. Eh, tak tipu, ni kan che mat. Kalau dia kata sedap, in sha Allah sedap. Percayalah...

rsz_cheezy_murtabak2
Untuk memasak pun mudah, cuma panaskan dalam frying pan dengan api kecil. Dan masak hingga keemasan pada ke dua2 bahagian (lebih kurang 4 - 5 minit setiap bahagian atau bergantung pada keinginan anda, nak lebih garing masak lama sikit tapi dengan syarat, guna api kecil). Makan macam tu saja dah cukup sedap, tapi che mat sajikan dengan jeruk bawang. Sesuai untuk sarapan atau bila2 masa yang anda suka. Psst...untuk bulan Ramadhan nanti wajib simpan stok cheezy murtabak ini dalam freezer rumah anda. Hidangkan masa sahur, hurrmmm....anak2 mesti suka punya lah!..Macam mana nak dapat cheezy murtabak ni che mat?.Tak susah, anda boleh hubungi seperti di bawah ini. Dan sebarang pendapat boleh komen di page FB seperti link yang tertera....

WAKIL KUALA LUMPUR : PUAN ANNE - O19 2398 009 (wassap/sms)

WAKIL JOHOR BAHRU : ENCIK AMRIQ - 017 7526 002 (wassap/sms)



INSTARAM : @IRISKITCHENS

Friday, 13 March 2015

MENU CHE MAT DI HARI INI....

rsz_asam_pedas_kembong_rompin

Assalammualaikum, salam semua. Cuti sekolah dah bermula selama seminggu, mesti anda dah merancang macam2 program untuk keluarga. Hari ni che mat tak dapat bersiaran awal atas sebab2 tertentu. Ambik gambar pun setakat ambik saja, tak dann nak fokus sangat. Kena cepat. Masak pun macam tu, kena bikin yang ringkas2 dan cepat. Semalam che mat ke Endau, plan asal tak pergi, tapi kawan pada abang long che mat tak dapat cuti, dan dari kenderaan kosong, elok leer kita join sama, boleh gak tengok2 ikan segar. Bila dah tengok tu, rugi kalau tak beli. Tapi ikan yang betul2 segar, kami beli di Kuala Rompin, jeti tempat nelayab laut dalam turunkan ikan. Teruja sangat dengan ikan tenggiri saiz gadang, ikan kembong segar, ikan selayang, ikan tamban sardine dan lain2. Jadi hari ni ikan kembong segar kita masak asam pedas, biasalah kan orang Johor, asam pedas tak boleh dipisahkan....

rsz_kaailan_ikan_masin

Dan, dalam perjalanan balik semalam (Khamis), singgah pulak Pasar Lambak di pekan Kahang, belek2 sayur, ternampak sayur kailan, ehemm, terus sel2 otak beri isyarat, sedap nih kalau ditumis sama ikan masin tenggiri jeruk. Ok, kita beli dalam 1 cekak macam tu. Biasalah che mat kan, kalau dah melilau, macam2 dah aku nampak termasuk terbeli kuih, tapi kan kuih orang tu jual agak mahal, 5 keping RM 2, rasa...hurmm, nak kata yang jujur ke?...ok sebab kita beli, dan che mat cuma boleh kata. biasa2 aje. Karipap pun kurang senonoh, ada nak dikasinya karipap yang ada lubang, sampai nampak inti. Kuih abok2 dia pun keras. Kuih kasturi, boleh lah, tapi tepung dia, kus semangat, tebal satu hal..liat macam tiub kete!...huhu...Barang pun banyak dah naik harga, tu belum ada GST...hurmm bertabahlah wahai rakyat Malaysia...Che mat kongsikan resipi yea...jommm

ASAM PEDAS IKAN KEMBONG KUALA ROMPIN...

BAHAN-BAHANNYA :-)
4 ekor ikan kembong saiz besar
1 biji terung ungu saiz besar
1 biji tomato saiz besar (kalau kecil, guna 2)
1 kuntum bunga kantan, belah 2
1 batang serai, diketuk
1/2 camca besar pes asam jawa
1 kiub ikan bilis Maggi (optional)
1/2 camca teh lada hitam, tumbuk halus
2 senduk nasi cili kisar
1/2 camca teh serbuk kunyit
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
7 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1/2 inci belacan

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Ikan kembong disiang, cuci bersih dan toskan (che mat tak kerat, tapi kalau anda suka, boleh kerat 2 setiap 1). Terung dibelah dua kerat 3 bahagian, kemudian dibelah 2 setiap keratan, dan belah tapi tak putus untuk setiap satu bahagian. Rendam dalam air bergaram. Tomato dibelah enam, ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/3 cawan), tumis serai dan bahan2 kisar halus, masukkan serbuk kunyit, kacau rata dan masak hingga harum. Tambah cili kisar, masak hingga cili garing dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa.
  3. Masukkan pes asam jawa, kacau rata dan tuang air secukupnya (anggaran 1200 ml). Kacau dan tambah kiub ikan bilis (jika guna), bunga kantan. Toskan terung dan masukkan ke dalam kuah. Masak sekejap dan boleh masukkan ikan kembong.
  4. Biar ikan masak dengan api sederhana dan terung lembut. Perasakan dengan garam secukup rasa dan sedikit gula. Tambah lada hitam dan tomato, masak sekejap dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih dan lauk2 lain..

KAILAN TUMIS IKAN MASIN....

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 cekak sayur kailan
Sebesar 2 ibu jari ikan tenggiri masin
1 biji bawang besar, hiris
2 ulas bawang putih, cincang halus
1 biji cili merah, hiris
1 biji cili hijau, hiris
1 camca besar sos tiram
Sos ikan secukup rasa (anda boleh guna garam)
1/3 cawan air

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Sayur kailan, diasingkan batang dan daunnya, rendam sekejap dan toskan, kemudian potong kasar daun kailan. batangnya diketuk sedikit, kemudian hiris kecil. Ikan masin tenggiri dipotong kecil, cuci dan toskan. Ketepikan.
  2. Panaskan 3 camca besar minyak masak. Goreng ikan masin tenggiri hingga kekuningan. Tolak ke tepi kuali. Masukkan hirisan bawang besar, bawang putih, cili merah, cili merah dan masak hingga layu. Gaul rata dengan ikan masin tenggiri tadi.
  3. Tambah sos tiram dan air, kacau dan masukkan batang kailan. Masak hingga batang kailan lembut. Tambah daun kailan dan gaul pantas. Rasa sedikit dan jika kurang masin baru masukkan sedikit sos ikan atau garam secukup rasa. Kacau dan masak hingga lembut, boleh matikan api dan hidangkan segera..

Wednesday, 11 March 2015

KEK OREN MARBLE LEMBAP

rsz_oren_mable_cake

Assalammualaikum, salam Rabu semua. Malam baru che mat berkesempatan kemas kini blog. Siang tadi teman blogger Sunah Sakura dan teman beliau Azila Aji, singgah ke pondok che mat. Dan che mat masak yang mudah2. Menu biasa tak payah lah dijadikan entri, betul tak. Tapi che mat sempat bakar kek oren. Mula2 nak bakar kek orang kosong saja, tapi macam boring aje, apa kata kita marblekan agar nampak cantik. Kek oren lembap senang amat sangat dibuat dan rasa dia pun sedap. Guna buah oren segar tanpa ditambah perisa tiruan. Bahan2 pun tak banyak, dan sebab che mat buat marble, tambah satu lagi bahan, serbuk koko..tu aje.

rsz_oren_mable_cake1

Resipi ni asalnya dari Chef Wan, dan sebab ia resipi senang dibuat dan sedap, seharusnya ia menjadi simpanan setiap surirumah. Bagi yang tak pernah bikin kek, anda juga boleh cuba membuatnya. Kek ini bila masak ia akan turun sedikit, tapi tidak lah jatuh merudum sangat, cuma turun sedikit saja. Kalau anda nak bikin kek oren yang kosong, tak perlu dimarblekan. Che mat guna 2 biji oren sunkist bersaiz sederhana. Che mat bakar dalam bekas aluminium saiz sederhana, dapat 3 biji kek, anda boleh guna acuan bulat saiz 8 atau 9 inci. Kalau ingin mencuba, jom che mat kongsikan resipi mudah ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
200 gram mentega berkualiti tinggi (scs, anchor, emborg, golden churn)
1 cawan gula kastor (asingkan 2 camca besar)
2 biji orang sunkist saiz sederhana. cuci dan lap kering
1 1/2 cawan tepung berserbuk penaik (self-raising flour), diayak
3 biji telur gred A, asingkan kuning dan putihnya
1 camca besar serbuk koko
1/3 camca teh garam halus
Badam cincang, untuk hiasan (optional)

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Panaskan oven pada suhu 175C, lenser tin bulat berukuran 8 atau 9 inci dengan mentega dan alas dasar tin dengar kertas minyak. Lenser juga kertas tadi (che mat guna tin aluminium pakai buang saiz sederhana, dapat 3 biji). Oren sunkist diparut kulitnya, pastikan bahagian kaler oren sahaja. Kemudian perahkan jusnya. Ketepikan.
  2. Putar putih telur hingga berbuih, kemudian masukkan 2 camca besar gula kastor (yang diasingkan dari resipi) dan putar hingga bertanduk. Matikan mixer dan alihkan putih telur ke dalam bekas lain. Ketepikan.
  3. Masukkan mentega. garam dan gula kastor dalam mangkuk pemutar. Putar hingga gula larut, masukkan kuning telur, satu persatu dan terus memutar hingga kembang. Perlahankan kelajuan, masukkan tepung sedikit demi sedikit berselang seli dengan jus oren hingga habis. Tambah parutan kulit oren, putar rata.
  4. Menggunakan spatula, cedok 1/3 bahagian putih telur (no. 2) dan gaul rata dengan adunan mentega, gunakan kaedah kaup balik. Cedok lagi 1/3 bahagian putih telur dan lakukan kaedah yang sama, buat hingga baki putih telur habis. Dan gaul hingga rata.
  5. Cedok keluar 3 camca besar adunan ke dalam mangkuk lain. Tambah serbuk koko (pastikan ia diayak), gaul hingga rata dan sebati. Tuang 1/2 bahagian adunan kek ke dalam tin, kemudian sudukan 1/2 bahagian adunan koko, buat beberapa tompokkan. Lorek dengan chopstik hingga membentuk corak marmar.
  6. Tuang baki adunan kek dan ratakan. Sudukan baki adunan koko atasnya, dan lorekkan dengan chopstick, pastikan anda tidak cucuk chopstick tadi hingga ke dasar tin, untuk mengelakkan lorekkn yang anda buat awal2 tadi rosak. Tabur sedikit badam cincang atasnya, jika suka.
  7. Bakar 45 minit atau hingga kek masak. Uji dengan mencucuk lidi sate bersih atau cake taster di bahagian tengah kek, jika keluar bersih tu tanda kek anda masak. Keluarkan dari oven, biar 5 minit dan boleh keluarkan dari tin. Sejukkan sepenuhnya atas jaringan sebelum dihidangkan.

Monday, 9 March 2015

TAUGEH SOYA TUMIS IKAN MASIN...

rsz_soya_bean_sprout
Assalammualaikum, salam Selasa. Hari ni che mat masak sup ayam, tapi tak masukkan entri sup ayam, sebab dah kerap sangat. Menu yang anda lihat ni pun dah banyak kali masuk dan resipi paling ringkas dan senang dimasak. Che mat memang penggemar sayur taugeh soya atau taugeh kasar. Rasanya rangup dan lemak. Boleh dimasak dengan pelbagai cara, masak lemak boleh, tumis air boleh, goreng belacan boleh atau nak senang, masak macam che mat buat tu tumis sama ikan masin. Guna isi ikan masin kurau, potong kecil dan rendam dalam air panas selama 20 minit untuk mengurangkan rasa masinnya. Kemudian che mat goreng dengan api kecil hingga kekuningan, tak perlu sampai garing nanti keras pulak. Ok, moh leer kita mula memasak....jommm..

BAHAN-BAHANNYA :-)
300 gram taugeh kasar @ taugeh soya
1 keping tauhu keras
1 cekak kucai, kerat pendek
1 biji bawang besar, hiris halus
2 ulas bawang putih, cincang halus
1 biji cili merah, hiris
1 camca besar sos tiram
Isi ikan kurau masin sebesar 2 ibu jari
Sos ikan secukup rasa
Sedikit air

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Taugeh kasar dibuang ekor, kemudian cuci bersih dan toskan. Tauhu dipotong kiub dan digoreng hingga kekuningan, angkat dan toskan. Ikan masin dihiris kecil dan rendam dalam air panas selama 20 minit, toskan, perah dan goreng hingga masak, tapi jangan sampai garing. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 2 camca besar), tumis bawang putih dan bawang besar hingga harum, masukkan cili merah dan kacau rata. Tambah  sos tiram dan ikan masin goreng. Gaul rata dan tuang sedikit air.
  3. Masukkan tauhu dan taugeh. Kacau dan masak dengan api kecil hingga taugeh lembut sedikit. Tambah kucai, kacau dan perasakan dengan sos ikan secukupnya. Masak sekejap dan boleh matikan api. Hidangkan segera bersama nasi panas dan lauk2 lain.....Selamat mencuba!!.

Sunday, 8 March 2015

SPAGHETTI CARBONARA PALING MUDAH....

rsz_cabonara
Assalammualaikum, salam Isnin. Hari ni pagi sikit che mat update blog. Psstt...nak kasi tau ni, sebenarnya kan, ni lah pertama kali che mat bikin spaghetti carbonara, bukan apa, kadang2 tak rasa nak makan benda2 macam ni, tapi entah kenapa tiba2 temengidam pulak. Ini resipi paling ringkas che mat buat dan untuk menambah rasa, ku masukkan sebiji cili padi merah yang dicincang halus, saja lah ambik rasa pedas. Che mat guna cooking cream, tapi boleh saja guna whipping cream. Mula2 tu ingat akan rasa muak, atau lemak sangat, tapi tidak langsung, walaupun rasanya berkrim. Che mat tambah sebatang sosej ayam. Kalau anda bikin untuk kanak2, tak perlu taruk cili padi. Mungkin renjiskan sedikit lada hitam kisar tu boleh lah. Ok, kalau anda nak mencuba resipi senang dan ringkas ini, jomm che mat kongsikan...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 cekak spaghetti
1 batang sosej ayamas, hiris serong
200 ml cooking cream (boleh guna whipping cream)
50 ml air
1 biji cili padi merah thai, cincang halus
2 pokok kucai, hiris halus
1/2 biji bawang holland, didadu
2 ulas bawang putih, cincang halus
Garam secukup rasa
Sedikit lada hitam kisar

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Rebus spaghetti dalam air mendidih yang dimasukkan sedikit garam dan minyak zaitun. Rebus hingga lembut atau anda boleh ikut masa merebus pada bungkusan spaghetti. Toskan.
  2. Panaskan 2 camca besar minyak zaitun dalam frying pan. Tumis bawang besar dan bawang putih hingga layu, masukkan cili padi dan sosej yang dihiris tadi. Masak sekejap dengan api sederhana.
  3. Masukkan cooking cream (atau whipping cream) dan air. Kacau rata dan biar mendidih dengan api kecil. Masukkan sedikit garam, kacau dan tambah spaghetti tadi. Gaul hingga rata, masukkan kucai (tinggalkan sedikit untuk hiasan) dan sedikit lada hitam. Kacau rata dan masak sekejap. Rasa, dan jika ok matikan api. Alih spaghetti ke dalam pinggan sesuai, hias dengan sedikit kucai dan herba thyme segar, jika suka..Sedap dimakan panas..

Saturday, 7 March 2015

STRAWBERRY SMOOTHIES

rsz_stoberi_smoothies
Assalammualaikum, salam semu...Cuaca panas2 ni che mat malas nak masukkan entri masak2 yang agak berat, dan masak pun biasa2 saja. Kalau berkongsi resipi dan gambar minuman, mesti ramai yang suka..kan...ecehh, malu nak ngaku kononn!!. Musim panas macam sekarang ni, kena lah minum yang sejuk2 untuk nyamankan tekak. Strawberry smoothies paling senang nak bikin dan sebagai extra tempelan, che mat scoopkan ais krim vanilla atasnya. Kalau anda nak parut sedikit coklat pun boleh, tapi che mat takde stok coklat pulak, kalau ada, lagi lerr nampak mengiurkan itu gambar. Che mat guna 12 biji strawberry saiz sebesar ibu jari dan resipi ini untuk 2 gelas bersaiz sederhana. Jomm buat dan boleh hidangkan pada keluarga anda nanti...

BAHAN-BAHANNYA :-)
12 biji strawberry segar, cuci dan toskan
10 ketul ais kiub
1 camca besar penuh susu pekat manis
200 ml susu segar (che mat guna susu rendah lemak)
Ais krim vanilla secukupnya
Strawberry segar, untuk hiasan
Daun pudina, untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Strawberry dibelah 2 setiap 1, kemudian masukkan ke dalam alat pengisar (blender), bersama2 ais kiub, susu pekat manis dan susu segar. Kemudian kisar hingga hancur dan sebati. Kisar beberapa kali hingga bancuhan menjadi pekat.
  2. Tuang dalam gelas sesuai (che mat simpan sekejap gelas tu dalam freezer). Tuang jangan sampai penuh, nanti melimpah pulak bila anda tambah ais krim. Kemudian tambahkan  2-3 scoop ais krim vanilla, hias dengan belahan strawberry dan sedikit daun pudina. Hidangkan segera...menghasilkan 2 gelas bersaiz sederhana...Selamat mencuba!!.