Monday, 13 April 2015

UNGKEP AYAM HUTAN @ AYAM DENAK

rsz_ungkep_ayam_hutan1

Asalammualaikum, salam Selasa. Entri hari ini che mat kongsikan satu menu tradisi orang Jawa yang bole  diatakan agar terkenal di Johor dan juga negeri2 yang punya penduduk berketurunan Jawa. Kebiasaannya ungkep ayam menggunakan ayam kampung, ayam tua (ayam pencen) dan ayam hutan (ayam denak). Tu hari jiran che mat kasi seekor ayam hutan yang telah siap disembelih dan dibersihkan. Tinggal siang dan masak saja. Ayam hutan seperti anda tau saiznya agak kecil dan kata orang2 tua, ayam hutan ni ada 'penjaganya'. Wallah hualam. Bagi yang kurang pasti apa maksudnya 'ungkep'. Berdasarkan dari maklumat orang2 jawa lama, ungkep itu bermaksud menutup makanan yang sedang dimasak hingga ia betul2 masak. Contohnya macam ayam ni, kita masak dan tutup dan atas penutup tadi, letakkan benda berat seperti lesung batu dan sebagainya. Dan masak dengan api kecil hingga ayam empuk. Gitu lah lebih kurang maksudnya. 

rsz_1ungkep_ayam_hutan2
Menu ini tidak menggunakan santan dan sesuai untuk dimakan bersama nasi panas atau ketupat. Masak untuk dibawa bekal juga sesuai, kerana ia lebih tahan dari rendang kerana tak guna santan. Ada macam2 resipi sebenarnya, dari komen2 yang che mat terima, mereka kata, ada yang masukkan tomato dan kentang. Che mat lebih suka ungkep ayam lebih 'asli' dan tradisional. Apa2 pun tak jadi masalah jika anda nak tambah bahan2 yang seperti che mat kata tadi. Ada satu cara lagi bagi yang nak cepat, anda boleh masak ungkep dalam periuk terkanan, kemudian keringkan dalam kuali. Lebih jimat masa dan jimat gas. Nak cuba masak ungkep?....che mat kongsikan resipinya seperti berikut..

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 ekor ayam hutan (boleh guna ayam kampung dan ayam pencen)
3 helai daun salam (boleh guna 'bay leaf)
1 keping asam gelugor
1 camca besar gula melaka
1 camca besar ketumbar biji*
1/2 camca teh jintan manis*
1/2 camca teh jintan putih*
Garam secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
7 biji bawang merah kecil
3 ulas bawang putih
2 batang serai, dihiris
4 biji buah keras, dihiris
8 - 10 biji cili padi merah thai
1 biji cili hijau
1/2 inci halia
1/2 inci lengkuas
1 inci kunyit hidup

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ayam hutan dipotong pada saiz sederhana (sebab ayam hutan saiz kecil, che mat potong 12 bahagian). Cuci dan toskan. Rempah2 bertanda (*) digoreng tanpa minyak hingga harum, kemudian tumbuk hingga halus. Ketepikan.
  2. Panaskan 4 camca besar minyak masak dalam kuali, tumis bahan2 kisar halus hingga harum. Masukkan rempah yang ditumbuk halus tadi, kacau rata. Masukkan ayam, gaul dan masak hingga ayam kecut. Tuang air secukupnya (hingga ayam tenggelam), masukkan sedikit garam dan tutup kuali tadi. Masak dengan api kecil hingga ayam empuk.
  3. Jika ayam masih keras, tuang sedikit air panas. Tambah daun salam, asam gelugor dan gula melaka. Kacau rata dan rasa, jika perlu baru tambah sedikit lagi garam atau secukup rasa. Masak hingga sedikit kering dan boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi atau ketupat..
CATATAN MAT GEBU :- Anda boleh masak dalam periuk tekanan, caranya sama cuma tak perlu taruk air banyak sangat. Selepas 15 minit (bergantung pada periuk tekanan yang anda guna), alihkan ke dalam kuali dan keringkan. Pastikan jangan taruk garam banyak sangat, cukup 1/2 camca teh. Bila dan dikeringkan dalam kuali, anda rasa dan baru tambah garam secukup rasa. Selamat mencuba!!..

Sunday, 12 April 2015

KARI UDANG SAMA REBUNG MADU...

rsz_kari_udang_sama_rebung
Assalammualaikum, salam Isnin. Semalam che mat masak kari rebung sama udang, untuk dijamu pada sahabat che mat, Soleh Ahmad dan isteri Sunah Sakura. Biasanya che mat asyik masak lemak saja, habis tu nak kata apa, atas permintaan, jadi masakkan saja lah. Disebabkan rasa boring asyik masak yang sama, maka ku tukar menu, masak kari udang dan dicampurkan dengan rebung madu. Bonda pun ada kata, kita masak kari pulak lah, asyik masak lemak manjang (ehemm, rupanya kami ni punya pemikiran yang sama....hehe). Che mat guna kurang lebih 1 kg rebung madu dan 10 ekor udang bersaiz sederhana besar (udang kaki merah @ udang pengantin). Kali ni che mat gunakan rempah kari ikan Baba's dan dicampur 1 camca besar rempah kurma Baba's, untuk mendapat sedikit rasa kelainan. Selain udang, anda boleh guna ketam, kalau nak masak dengan ayam atau daging pun boleh, tapi rempah kari ikan anda ganti dengan rempah kari daging lah yea. Ok jomm kita lihat resipinya...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 kg rebung madu yang telah siap dihiris nipis dicelur
10 ekor udang kaki merah bersaiz besar (atau boleh guna udang galah)
2 batang serai, diketuk
2 tangkai daun kari, dilurut
4 biji bawang merah kecil. hiris
2 ulas bawang putih, hiris
3 camca besar rempah kari ikan (Baba's)
1 camca besar rempah kurma (Baba's)
1 kiub pati ikan bilis (optional)
1 liter santan
400 ml pati santan
Air secukupnya
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
7 biji bawang merah 
3 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1 inci kunyit hidup
3 biji cili merah

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Bancuh bahan2 kisar halus dengan rempah kari dan rempah kurma, kacau rata, tambah sedikit air jika perlu dan kacau hingga menjadi pes. Udang dibuang muncung dan kaki2nya. Cuci bersih dan toskan. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/3 cawan), tumis serai, bawang merah dan bawang putih hingga harum, masukkan pes rempah, kacau dan masak hingga naik minyak. Guna api kecil dan kacau selalu.
  3. Masukkan rebung dan gaul rata. Tambah santan cair dan sedikit air. Kacau dan biar mendidih. Tambah kiub ikan bilis dan asam gelugor. Kacau rata dan masukkan udang. Masak hingga udang berubah warna.
  4. Tuang pati santan, kacau dan perasakan garam secukupnya dan sedikit gula. Masak dengan api sederhana hingga mendidih dan kacau sentiasa. Masak sekejap dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi dan lauk2 lain.

Saturday, 11 April 2015

AGAR - AGAR KELAPA MUDA...

rsz_agar2_kelapa
Assalammualaikum, salam semua...masa che mat hari ini agak ketat. Dan hanya dapat mengadap laptop bila malam. Siang tadi ke Kluang sekejap atas urusan tertentu, dan sebelum pergi, che mat sempat bikin agar2 kelapa muda. Kelapa muda che mat beli di Tesco, kebetulan ada jualan stok akhir, dan kelapa masih elok, che mat belilah 2 biji. Memang plan nak bikin agar2 kelapa muda macam ni. Alhamdulillah kelapa sedap, airnya manis dan isi lembut dan lemak. Tak sukar membuat agar2 kelapa muda ni. Ada yang panggil jelly kelapa. Terpulang nak panggil apa, tapi che mat kalau guna serbuk jelly, baru panggil 'jelly'. Kalau guna serbuk agar2, kita panggil agar2, Ada beza ke agar2 dengan jelly?...Selalunya, agar2 bila dia keras, kejadiannya agak kejung. Berbanding jelly, ia lebih liut dan gedik2....psst...perasan tak alas yang che mat guna untuk tangkap gambar tu...lawa kan?..anda berminat?...cuba follow instagram @krafmanis untuk maklumat lebih lanjut..ok..

rsz_agar2_kelapa1
Untuk resipi ini che mat guna 2 biji kelapa muda dan da;at kurang lebih 450 ml air kelapa muda (che mat tambah air mineral sikit dan jadikan 600 ml). Tahap kemanisan bergantung pada 'air kelapa' dan citarasa anda sendiri. Disebabkan air kelapa yang ini manis, che mat cuma tambah 2 camca besar gula pasir. Isi kelapa dicedok keluar dengan sudu dan dipotong kecil atau ikut gaya anda. Kalau suka agar2 kelapa yang plain, anda tak perlu tambah pewarna makanan hijau macam che mat bikin tu. Resipi memang mudah teramat sangat dan anda boleh guna apa2 bekas yang anda suka...Jomm buat agar2 kelapa muda...

BAHAN-BAHANNYA :-)
600 ml air kelapa muda dari 2 biji kelapa muda (tambah air mineral jika kurang)
Isi kelapa muda secukupnya
5 gram agar2 serbuk (sebarang jenama)
2 camca besar gula (atau ikut tahap kemanisan yang anda perlukan)
1 helai daun pandan.disimpul
3-4 titik pewarna hijau makanan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Sediakan acuan kegemaran anda. Isi kelapa muda dipotong kecil dan masukkan ke dalam acuan. Ketepikan. Dalam periuk masukkan serbuk agar2, gula dan daun pandan. Tuang air kelapa tadi dan kacau hingga rata.
  2. Masak dengan api kecil hingga mendidih dan gula larut. Masukkan pewarna hijau makanan, kacau hingga rata. Tapis bancuhan agar2 dan boleh tuang ke dalam bekas yang berisi isi kelapa muda tadi. Biarkan hilang wap panas dan boleh simpan dalam peti sejuk. Sedap dimakan dingin sebagai pencuci mulut....Selamat mencuba!!.

Friday, 10 April 2015

NAK BELI KUIH?..GERAIKUIH.COM KAN ADA....

Salam semua, ok, che mat nak tanya..anda pernah dengar nama 'geraikuih.com'?...Macam menarikkan bunyinya. Dan pasti ada sesuatu yang istimewa mengenai geraikuih.com...Teruja ni nak bercerita, apa tah lagi bila melibatkan kuih2 tradisional yang menjadi warisan bangsa kita. Terletak di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur, geraikuih.com menyediakan pelbagai jenis kuih tradisional dan makanan yang siap dimasak lebih dari 100 jenis!!, banyak tu jangan memain. Satu yang menariknya, selain anda boleh beli secara terus dari gerai, anda juga boleh beli melalui tempahan atas talian atau on-line tapi dalam kuantiti yang disyaratkan. Kan mudah tu...kerja anda pun senang.

Bayangkan kuih2 yang pelbagai jenis ini menghiasi meja santapan anda ketika menerima tetamu, atau untuk jamuan petang. Juga sesuai untuk majlis keraian atau majlis kenduri kendara. Inilah masanya kita nak memperkenalkan kuih2 tradisi. Ada tu jarang anda lihat dan rasa. Nampak tak kuih samosa yang ada macam2 jenis inti tu, aduhh bikin terliur saja. Tu belum lagi pelbagai jenis kuih2 talam....boleh pengsann!..

...dan ada lagi. Ini hanya sebahagian. Kalau che mat nak bercerita ada sampai esok tak habis. Untuk pengetahuan anda, geraikuih.com dibuka setiap hari, kecuali pada hari Raya Puasa dan Raya Haji. Waktu perniagaan dari jam 6.30 pagi hingga 6.00 petang, jadi anda tak perlu risau. Oh yea, geraikuih.com milik Encik Ramli Manaf dan Isteri juga pernah disiarkan dalam Malaysia Hari Ini (MHI) di TV3 sedikit masa dahulu...anda boleh saksikan sedutan video di bawah ini....


Untuk sebarang pertanyaan anda boleh hubungi...

SMS/WASSAP : 012 974 8909 ( En Ramli Manaf )



EMAIL : ramli2020@gmail.com

Thursday, 9 April 2015

OLD SCHOOL SARDINE SANDWICH

rsz_old_school_sardine_sandwich
Assalammualaikum, salam semua. Cerita petang tadi semasa che mat menonton drama Filipina, Be Careful With My Heart (BCWMH). tiba2 termengidm nak makan sandwich sardine macam zaman dulu2 tu. Bukan yang fancy2 bagai, yang simple dan asas sahaja. Kadang2 tekak ni memang macam tu kan, yang bukan2 saja ngidamnya. Jadi lepas habis drama filipina, che mat ke dapur kejap. Stok sardine memang ada, guna sardine cap ayam saiz sedang. Kalau saiz kecil macam sikit sangat. Anda boleh guna apa2 jenama sardine kegemaran, tapi pilihan che mat cap ayam dan sardine pertima. Buat dia memang mudah dan sesuai untuk sarapan pagi sebenarnya. Tapi kat Malaysia ni dah tak kira masa, contohnya nasi lemak, dulu sinonim untuk sarapan pagi, sekarang ni tengah malam buta pun boleh makan nasi lemak. Cuma toksah selalu lah kan, kang takut gak, lepas2 makan terbongkang kat situ gak. Untuk sandwich 'old school' ni, che mat bikin 2 tingkat, anda boleh saja nak buat setingkat, takde masalah.Yang ni anak2 sekolah rendah pun boleh cuba, tak susah...Ok  jommm che mat kongsikan resipi...

BAHAN-BAHANNYA :-)
6 keping roti sandwich (boleh guna jenis biasa atau whole wheat)
16 keping hirisan nipis timun
Majerin Planta secukupnya

BAHAN-BAHAN INTI :-)
1 tin sederhana (230 gram) sardine cap ayam
1 biji bawang besar, didadu
2 ulas bawang putih, dicincang halus
2 keping nipis hirisan halia, cincang halus
2 biji cili padi, cincang halus (optional)
2 biji limau kasturi, perah jusnya
Sedikit Maggi Seasoning, contoh di sini 

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Asingkan ikan sardine dari sosnya. Panaskan 2 camca besar minyak masak, tumis bawang putih, bawang besar, halia dan cili padi hingga layu. Masukkan ikan sardine dan 3 camca besar sos ikn sardine. Kacau rata dan pecah2kan ikan sardine tadi. Masak hingga kering dan kacau sentiasa. Renjiskan sedikit 'maggi seasoning' (jangan renjis banyak2 nanti masin), dan masukkan jus limau kasturi. Gaul rata dan masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api. Sejukkan inti sardine untuk kegunaan kemudian.
  2. Roti dipotong sedikit tepi2nya, ambil sekeping, sapukan dengan sedikit majerin planta, kemudian susun 4 keping timun, sudukan 1/4 bahagian inti sardine atasnya, ratakan. Ambil sekeping lagi roti, sapukan sedikit majerin dan tutup atas inti tadi, tekan sedikit biar padat. Sapukan sedikit lagi majerin atas roti, susun lagi 4 keping hirisan timun, taruk 1/4 bahagian inti sardine dan tutup dengan sekeping lagi roti, pastikan anda sapukan sedikit majerin sebelum menutup inti. Tekan sedikit agar kemas (akan jadi seperti dalam gambar di atas).
  3. Buat kaedah sama untuk baki roti, timun dan inti. Boleh dihidangkan untuk sarapan pagi, minum petang atau bila2 masa sahaja. Kalau anda nak buat seperti sandwich biasa, anda kena tambah 2 keping lagi roti sandwich, dan dapat 4 set sandwich....Selamat mencuba!

Wednesday, 8 April 2015

TELUR MASAK TEMPRA

rsz_tempra_telur
Assalammualaikum, salam Rabu semua. Hari ni che mat nya mood nak masak ke laut sangat. Bukan malas, tapi kurang rajin. Bila dah kurang rajin, elok masak menu yang ringkas dan boleh disantap oleh semua. Ini antara salah satu yang che mat masak selain asam rebus peria katak dan donat (ehh, macam ter rajin pulak kan, siap buat donat...Untuk resipi donat tu, anda boleh lihat di Instagram che mat di @matgebu ). Telur masak tempra ni sama macam telur masak kicap, tapi orang peranakan Nyonya, panggil telur masak tempra. Che mat guna 5 biji telur yang terlebih dahulu digoreng mata kerbau. Ada dua cara, sama ada anda boleg masukkan telur dalam kuah kicap atau curah kuah kicap atas telur. Sedap dimakan bersama nasi panas dan tambah pulak sambal belacan dan ikan goreng, ehemm....meletop! Anak2 pun suka dan sesuai juga dimakan bersama nasi bubur. Orang bujang, haaa..ini resipi untuk anda, jimat pun jimat, nak masak pun senang....

BAHAN-BAHANNYA :-)
5 biji telur
1 biji bawang besar, hiris bulat dan leraikan
2 ulas bawang putih, hiris
1 biji cili merah, hiris serong
1 biji cili hijau, hiris serong
1/2 camca teh lada sulah serbuk
6 camca besar kicap lemak manis JALEN
1 camca teh kicap pekat JALEN
1/2 camca teh cuka makan JALEN
1/3 cawan air
Hirisan daun bawang untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Telur digoreng mata kerbau, ada dua kaedah, sama ada anda nak goreng hingga kuning telur keras atau setengah masak, terpulang pada keinginan anda. Kemudian susun dalam mangkuk sesuai (kalau ada pinggan correl ke, corning ke atau pyrex, lagi afdal yea...haha)..
  2. Panaskan 2 camca besar minyak dalam kuali, tumis bawang besar dan bawang putih hingga layu. Masukkan kicap lemak manis, kicap pekat dan air. Kacau rata dan biar mendidih. Tambah cuka makan dan lada sulah. Kacau rata, masukkan hirisan cili merah dan hijau. Masak sekejap dan rasa, jika ok boleh matikan api.
  3. Tuang kuah kicap tadi ke dalam mangkuk yang berisi telur mata kerbau tadi. Tabur hirisan daun bawang dan hidangkan bersama nasi panas, sambal belacan dan ikan goreng... Selamat mencuba!!.


Monday, 6 April 2015

TERUNG KUAH TAUCO...

rsz_tauco_terung
Assalammualaikum, salam Selasa semua. Sejak2 ni masak yang mudah2 dan jenis cepat siap. Sayur terung antara syaur yang menjadi kegemaran che mat (bila masak terung, teringat Kak Yatie Memories yang juga penggemar sayur terung). Terung sesuai dipelbagaikan, bikin paceri, campur dalam masak kari, asam pedas. Boleh masak lemak putih, masak kicap, salai dan dimakan bersama sambal belacan atau budu. Kalau nak nampak kreatif lagi, anda boleh buat kerabu terung (yang tu nanti kita buat yea, lain kali). Hari ni che mat bikin terung kuah tauco. Resipi mudah. Terung ungu anda salai atau goreng dalam kuali yang dilanser dengan sedikit minyak hingga lembut. Kemudian buat kuah tauco dan curang atas terung tadi. Dahh siap. Makan pulak sama ikan goreng dan sambal belacan, sedap okeh....Nak cuba?....Takde masalah, jomm lihat resipi..

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 biji terung ungu saiz besar
1 genggam ikan bilis, dibersihkan dan rendam
1 camca besar penuh tauco
1 camca besar sos tiram
Sedikit garam jika perlu
1/3 cawan air

BAHAN-BAHAN TUMBUK LUMAT :-)
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
1 biji cili merah
1 biji cili hijau

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kupas sedikit kulit terung, kemudian hiris serong sederhana tebal, rendam dalam air yang dicampur sedikit garam selama 5 minit, toskan. Panaskan non-stick pan saiz besar. Tuang 1 camca besar minyak masak, ratakan. Kemudian masukkan terung dan masak hingga terung lembut. Angkat dan ketepikan. Ikan bilis ditoskan, perah sedikit dan goreng hingga garing, angkat dan ketepikan.
  2. Panaskan 2 camca besar minyak dalam kuali, tumi bahan2 tumbuk lumat hingga harum. Masukkan sos tiran dan tauco. Kacau rata dan masak sekejap, guna api kecil. Tuang air dan kacau rata, biar mendidih. Rasa dan jika perlu garam, masukkan sedikit garam. Kacau dan matikan api.
  3. Susun terung dalam pinggan sesuai. Kemudian tuang kuah tauco atasnya dan ratakan. Tabur ikan bilis goreng. Hidangkan segera bersama nasi putih, sambal belacan dan ikan goreng....Selamat mencuba!!..

Sunday, 5 April 2015

SAMBAL KERING PEMBUKA SELERA..

rsz_sambel_kering
Assalammualaikum, salam Isnin. Hari ni cuma teringin makan sambal kering saja, yang lain2 che mat tak nak. Resipi sambal kering ini amat mudah dibuat dan sesuai sepanjang masa termasuk di bulan Ramadan dan Hari Raya. Che mat buat dalam kuantiti yang agak banyak juga dan kalau tak habis boleh simpan dalam peti sejuk. Tak banyak bahan2 yang digunakan dan bahan2 utama cuma 4 jenis saja, tempe, tauhu, kentang dan ikan bilis. Kalau anda orang bujang, boleh buat lebih, ada ni, ikan goreng lepas tu top telur dadar, makan sama nasi. Kicap Jalen jangan lupa pulak..ehemm...settle dah. Sekarang kan zaman GST, kena jimat2...(eh...tempe tu kena GST okeh, macam tak percaya pakcik..haish). Che mat kongsikan resipi seperti dibawah ini, jangan lupa mencuba ok dan kalau dah cuba dan jika anda share di InstaGram, jangan lupa #matgebu atau #tiffinbiru...atau ke dua2nya sekali....

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 bungkus tempe (che mat guna tempe bungkus dalam plastik, kalau tempe bungkus daun guna 6 keping)
4 biji kentang saiz sederhana
2 keping tauhu keras, saiz besar
2 genggam ikan bilis, dibersihkan dan rendam sekejap
1 camca teh pes asam jawa
1 1/2 senduk nasi cili kisar
2 camca besar gula
Garam secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
6 biji bawang merah kecil
4 ulas bawang putih
4 biji buah keras, hiris

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Tempe, dipotong dadu kemudian goreng hingga kekuningan, angkat dan toskan. Kentang dikupas, cuci dan potong dadu, kemudian goreng hingga kekuningan, angkat dan toskan. Tauhu dipotong dadu, dan goreng hingga kekuningan, angkat dan toskan. Ikan bilis ditoskan, perah dan goreng hingga garing. Angkat dan toskan. Ketepikan,
  2. Panaskan 1/3 cawan minyak masak. Tumis bahan2 kisar halus hingga harum, masukkan cili kisar, kacau dan masak hingga cili garing dan naik minyak. Masukkan pes asam jawa, gula dan garam. Kacau rata dan masak sekejap.
  3. Masukkan bahan2 yang digoreng tadi, kecuali ikan bilis. Gaul hingga rata dan mesra. Masak hingga kering. Akhir sekali masukkan ikan bilis goreng. Kacau rata dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas, ikan goreng, telur dadar dan kicap Jalen...Selamat mencuba!!..

Saturday, 4 April 2015

IKAN KELI SAMBAL TOMATO...

rsz_keli_beladooo
Assalammualaikum, salam Sabtu. Nak masak apa hari ni?, itu persoalan yang kerap che mat ajukan pada ahli2 meja bulat. Jawapan yang sering kali che mat dapat. Suka hati lah...,terus pening kepala. Tapi hari ni, che mat masak apa yang teringin di tekak. Dalam freezer ada ikan keli liar yang telah siap bonda siang dan bersihkan. Maka, che mat kidnap 2 ekor ikan keli saiz agak besar juga, dan ku goreng, kemudian bikin ikan keli sambal tomato. Ikan keli kalau orang jawa panggil ewak lele kan? Buat dia senang, dan apa yang penting ikan keli anda kena cuci bersih, perap dengan sedikit tepung dan kemudian campurkan jus limau nipis. Biar seketika dan cuci bersih. Sambal tu che mat guna tomato ceri, anda boleh guna tomato biasa, pilih yang masak ranum. Kalau guna tomato ceri dalam 5 biji, tomato biasa guna 1 biji saiz sederhana. Tomato ceri kurang rasa masamnya. Dan dengan menambah tomato, anda tak perlu taruk gula banyak sangat dan tak perlu serbuk perasa. Kalau ingin mencuba, che mat tuliskan resipi seperti di bawah ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 ekor ikan keli saiz sederhana
1 camca teh serbuk kunyit
1/2 camca teh garam
1 helai daun limau purut
1/2 camca teh pes asam jawa
5 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
3 biji buah keras, dihiris
5 tangkai cili merah
1 batang serai, dihiris
5 biji tomato ceri (atau 1 biji tomato biasa)
Garam dan gula secukup rasa

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan keli disiang, kemudian kerat 2 setiap seekor (sebab saiznya agak besar). Cuci dan gaul dengan sedikit tepung gandum dan perap sekejap. Cuci bersih dan perap sekali lagi dengan jus limau nipis selama 10 minit, cuci bersih dan toskan. Gaul ikan keli dengan serbuk kunyit dan 1/2 camca teh garam hingga rata. Kemudian goreng hingga kuning keemasan, angkat dan ketepikan.
  2. Masukkan buah keras, serai hiris, tomato dan bawang putih ke dalam alat pengisar (blender), tuang sedikit air dan kisar hingga halus. Masukkan bawang merah dan cili (patah2kan) dan kisar hingga hancur, guna butang 'pulse', tak perlu kisar sampai lumat, ketepikan (boleh juga ditumbuk guna lesung batu).
  3. Panaskan 1/4 cawan minyak dalam kuali. Tumis bahan2 kisar tadi dan kacau rata. Masak hingga naik minyak, guna api kecil dan kacau selalu. Masukkan pes asam jawa dan daun limau purut, kacau rata dan perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Masukkan ikan keli, gaul rata dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas dan ulam-ulaman..

Thursday, 2 April 2015

ACAR TIMUN GAYA BRUNEI

rsz_ahcar_brunei
Assalammualaikum, salam Jumaat. Hari ni che mat masak lemak rebung sama ikan masin kurau. Sebab itu antara resipi terkerap che mat kongsikan di blog, jadi tak perlu dijadikan entri. Disamping itu che mat terpanggil nak cuba satu resipi dari Brunei yang dikongsi sahabat InstaGram che mat, YM Tunku Zahara. Tunku Zahara menetap di Brunei dan ada juga resipi lain yang beliau sudi kongsikan, yang tu nanti kita bikin lain hari yea. Atas izin, che mat kongsikan resipi mudah, ringkas dan sedap ini bersama anda pula. Kalau diperhatikan resipi acar timun gaya Brunei ini seakan2 kerabu orang Nyonya, tapi ada sedikit kelainan. Penggunaan santan segar antara bahan utama. Sedap dimakan sejurus dibuat, dan jika dibiarkan lama, kuah santan akan menjadi cair kerana timun akan mengeluarkan jusnya sendiri. Ok, kalau ingin mencuba, che mat tuliskan resipinya. Terima kasih che mat pada Yang Mulia Tunku Zahara kerana sudi berkongsi resipi yang sedap ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 biji timun, saiz sederhana
1 biji bawang besar , dihiris halus
1 biji cili merah saiz sederhan, hiris
1 biji cili hijau saiz sederhan, hiris
1 ulas bawang putih, cincang halus
1 cawan santan pekat
3 biji limau kasturi, perah jusnya
2 biji telur rebus, belah 4 setiap 1
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN TUMBUK HALUS :-)
5 biji bawang merah kecil
1 biji cili merah
3-4 biji cili padi
1/2 inci belacan, dibakar
1 camca besar udang kering, rendam dalam air panas selama 10 minit, toskan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Timun dicuci bersih, kemudian dihiris nipis. Kemudian rendam dalam air ais yang dicampur 1 camca teh garam selama 5-6 minit. Toskan, cuci bawah air paip dan perah sedikit. Masukkan ke dalam mangkuk bersama hirisan bawang besar, bawang putih cincang, hirisan cili merah dan hijau. Ketepikan.
  2. Dalam bekas lain, masukkan bahan2 tumbuk halus, santan. sedikit gula dan garam secukup rasa. Kacau hingga sebati. Masukkan jus limau kasturi, kacau dan tuangkan ke dalam bekas berisi timun tadi. Gaul rata dan sesuaikan rasa. Hias dengan telur rebus yang telah dibelah sebelum dihidangkan segera bersama nasi panas dan ikan goreng....Selamat mencuba!!.

Wednesday, 1 April 2015

ASAM PEDAS IKAN PARI - TAK PERNAH JEMU...

rsz_apud1
Assalammualaikum, bukan nak kata apa. Seminggu kalau tak merasa masakan asam pedas, sampai termimpi2, teingat2 dan seakan terasa2 di anak tekak. Jadi hari ni che mat pun masak asam pedas, dalam masa sama, geng che mat, Sis Linn, pun masak asam pedas juga. Kalau Linn masak asam pedas kepala ikan duri (ikan mayong), che mat pulak masak asam pedas ikan pari yang menjadi kegemaran che mat setiap waktu. Tempoh hari masa singgah di Pasar Parit Jawa, Muar, terkejut tengok harga ikan pari potong. Mula2 nampak RM 20 per kg, mahalnya....Jalan depan sikit RM 22 per kg, wahh..lagi mahal gileeer..boleh pengsan, dah dekat nak sama dengan harga daging kambing atau daging lembur segar. Yang che mat masak ni beli di MyDin, dan kurang lima ringgit dari harga yang dipasat Parit Jawa. RM 15 per kg....

rsz_apud
Resipi yang biasa2 saja. Dan ada yang tanya di InstaGram (@matgebu ), che mat tak masukkan daun kesom ke?..Kalau masak asam pedas campur sawi jeruk, memang che mat tak masukkan daun kesom. Tapi itu che mat lah, anda boleh saja nak masukkan daun kesom dan sawi jeruk tu boleh ganti dengan terung atau bendi, nak masukkan batang keladi sayur pun boleh juga. Memang ini resipi terkerap che mat kongsikan, tapi ia tetap mendapat sambutan. Nak mencuba, jomm che mat tuliskan resipi dan anda boleh cuna di waktu2 kelapangan nanti, ok...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 kg ikan pari
4 kelopak sawi jeruk
3/4 camca besar pes asam jawa
1 kuntum bunga kantan, belah 2
2 batan serai, diketuk
1 kiub pati ikan bilis (Maggi)
2 senduk nsi penuh cili kisar
1 camca teh lada hitam, tumbuk halus
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
7 biji bawang merah kecil
3 ulas bawang putih
1/2 inci kunyit hidup
1/2 inci halia
1/2 inci belacan

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Ikan pari dipotong pada saiz sederhana, cuci toskan dan perap dengan jus limau nipis atau jus limau kasturi selama 10 minit, kemudian cuci bersih dan toskan. Sawi jeruk dipotong kasar, dan direndam. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/3 cawan). Tumis serai hingga harum, masukkan bahan2 kisar halus dan masak sekejap. Tambah cili kisar, kacau dan masak hingga naik minyak. Guna api kecil dan kacau sentiasa. Masukkan pes asam jawa dan kacau rata.
  3. Tuang air secukupnya (anggaran 1200 ml), kacau dan biar mendidih. Masuk ikan pari, kiub ikan bilis (hancurkan) dan sawi jeruk (tos dan perah sedikit). Tambah lada hitam tumbuk dan bunga kantan. Kacau perlahan dan masak hingga ikan pari masak.
  4. Masukkan garam secukup rasa dan sedikit gula. Masak sekejap lagi, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas, ulam-ulaman dan telur dadar....Selamat mencuba!

Tuesday, 31 March 2015

QUICHE SARDINE MUDAH

rsz_simple_sardine_quiche
Assalammualaikum, salam semua. Esok 1 April bermulalah GST, suka tak suka kena hadapai juga. Dikatakan barang akan jadi murah, entah lah nak percaya pun susah. Barang2 yang dikatakan tak kena gst, awal2 dah naik harga. Nak kata apa, ringgit makin mengecil, barang pulak makin mahal. Kita sebagai pengguna kena lah menyusun balik perbelanjaan dan kurangkan apa yang tidak perlu. Bertabah lah. Entri hari ini che mat saja nak kongsikan satu menu mudah untuk anda hidangkan sebagai cemilan watu minum petang. Benda ringkas dan dalam kategori mudah dibuat. Quiche sardine mudah ini che mat guna puff pastry sebagai 'pastry' nya. Ada juga yang komen, guna roti lagi senang. Tu memang betul, ikut kehendak masing2lah yea. Inikan resipi che mat, jadi ikut suka lah nak guna apa. kita cuma berkongsi idea selebihnya pandai2 lah situ. Dan ada bezanya kalau anda guna roti berbanding puff pastry, terutama sekali dari segi teksturenya..

QIUCHE SARDINE
Resipi ini akan menghasilkan 6 biji quiche sardine. Che mat guna sardine cap ayam saiz paling kecil. Seperti gambar rajah atas ni (maaf, gambar hanya guna kamera hp dan che mat dah share di instagram dan fb semalam). anda perlukan tin muffin sebagai  acuannya. Che mat masukkan 2 biji cilu padi siam yang dihiris halus untuk dapat rasa pedas. Kalau anda ada anak2 kecil, tak perlu taruk cili padi, gantikan dengan lada sulah pun boleh. Ok, kalau nak mencuba, resipi seperti beriku..

BAHAN-BAHANNYA :-)
6 keping puff pastry jenama KAWAN (saiz 4 inci x 4 inci)
2 biji telur gred A
100 ml whipping cream (boleh ganti dengan susu segar atau santan)
Parutan keju cheddar secukupnya 
Sedikit cincangan parsley (boleh ganti dengan daun bawang atau kucai)

BAHAN-BAHAN INTI :-)
1 tin kecil sardine (che mat guna cap ayam)
1 biji bawang besar, didadu
2 keping hirisan halis, cincang halus
2 ulas bawang putih, cincang halus
2 biji cili padi merah thai, cincang halus
Kicap cair secukup rasa
2 biji limau kasturi, perah jusnya (kalau saiz limau besar, guna sebiji)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK INTI QUICHE :- Panaskan 2 camca besar minyak masak. Tumis bawang besar, bawang putih, halia dan cili padi. Kacau rata. Masukkan sardine dan pecah2kan isinya. Masak hingga kering. Tambah kicap cair dan jus limau kasturi. Kacau rata dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Sejukkan untuk kegunaan kemudian.
  2. UNTUK PASTRY PUFF :- Keluarkan pastry puff dari freezer, biarkan pada suhu bilik selama 15 minit. Ambil sekeping dan tabukan dengan sedikit tepung. Buat potongan kurang lebih 1 inci pada setiap bucu pastry (seperti dalam gambar di atas). Lenser acuan muffin dengan sedikit mentega. Berhati2 masukkan puff pastry tadi ke dalamnya, dan bentukkan seperti dalam gambar. Kemaskan dan buat hingga siap.
  3. UNTUK QUICHE SARDINE MUDAH :- Panaskan oven pada suhu 190C. Bahagikan inti quiche kepada 6 bahagian sama banyak dan isikan ke dalam acuan beralas puff pastry tadi. Dalam satu bekas, satukan telur dan whipping cream, kacau hingga semua sebati. Kemudian tuang ke dalam puff pastry yang berisi inti tadi. Taburkan parutan keju dan sedikit cincangan pasley atau daun bawang. Bakar 20 - 25 minit atau hingga kuning keemasan. bergantung pada oven masing2. Keluarkan dari oven, biar sekejap dan boleh alihkan quiche ke atas jaringan. Hidangkan untuk minum petang.... Selamat mencuba!!.

Monday, 30 March 2015

SERAWA PULUT DURIAN

rsz_durian_serawa
Assalammualaikum, selamat bertemu kembali bersama che mat. Semalam dalam sejarah che tak sentuh laptop selama satu hari, hehe..kalau lebih dari sehari tak sentuh (walaupun hari tu dok rumah terus, tu dah kes berat dan berprofile tinggi namanya). Hari ni che mat bikin serawa pulut durian atas permintaan bonda. Lagi pun bahan2 dah ada termasuk bahan utama, buah neraka di luar, syurga di dalam, iaitu buah durian. Tak musim durian kan sekarang ni, tapi tu lah kalau Allah dah kata ia rezeki kita, pasti ia akan jadi rezeki kita, boleh dapat durian pulak. Kali ni che mat buat sedikit kelainan pada pulutnya. Selalunya pulut untuk serawa durian, warna putih dan bila ambik gambar macam kurang menarik sangat, maka tadi ku campurkan dengan sedikit jus bunga telang untuk mendapat warna kebiru-biruan yang sungguh menawan. Bunga telang meluas digunakan oleh masyarakat baba nyonya sebagai pewarna dalam kuih muih mereka dan tak lupa dijadikan pewarna nasi kerabu di Kelantan. Tapi itu ikut anda, tak suka, tak perlu taruk, yea tak...toksah pening2 kepala, kan kita yang buat dia...Ok, jom che mat kongsikan resipi serawa pulut durian......

BAHAN-BAHAN KUAH SERAWA :-)
1 biji durian saiz besar, ambil isinya
1 liter santan segar
500 m air
1 ketul gula melaka, hiris halus (anggaran 1/2 cawan)*
1/2 cawan gula pasir*
1 cawan air*
1 helai daun pandan, disimpul*(*disatukan dan masak hingga gula larut, tapis dan sejukkan)
1 1/2 camca besar tepung gandum
3 camca besar air
Secubit garam
Gula, jika perlu

BAHAN-BAHAN PULUT :-)
1 kg beras pulut, cuci dan rendam 30 minit (che mat guna pulut susu)
700 ml santan cair
1 camca teh garam (atau secukup rasa)
1 camca teh minyak masak (che mat guna minyka kelapa)
1 helai daun pandan, disimpul
30 kuntum bunga telang, cuci dan toskan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK PULUT :- Panaskan kukus. Sediakan loyang 9 inci. Toskan beras pulut dan masukkan ke dalam loyang tadi. Masukkan garam dan minyak masak @ minyak kelapa ke dalam santan, kacau rata. Masukkan loyang berisi pulut ke dalam kukus. Tuang bancuhan santan dan masukkan daun pandan. Tutup kukus dan masak dengan api besar selama 20 minit. Sementara itu bunga telang ditumbuk dengan lesung batu hingga hancur. Perah jusnya dan tapis. 
  2. Selepas 20 minit, buka tutup kukus tadi dan sudukan jus bunga telang kepada beberapa bahagian pulut, sudukan secara bertompok2. Tutup kukus dan biar masak selama 5 minit. Kemudian gemburkan dengan chop stick dan sambung kukus untuk 5 - 7 minit lagi atau hingga pulut betul2 masak. Matikan api kukus dan biar sebentar.
  3. UNTUK KUAH SERAWA DURIAN :- Masukkan air gula ke dalam periuk bersama2 daun pandan, air dan santan. Kacau rata dan masak hingga mendidih. Tambah durian dan masukkan sedikit garam. Kacau rata dan masak sekejap. Sementara itu bancuh tepung gandum dengan 1/4 cawan air dan kacau rata. Tuang ke periuk, kacau rata dan masak dengan  api sederhana hingga kuah pekat. Rasa dan jika kurang manis anda boleh tambah sedikit lagi gula. Masak sekejap lagi dan boleh matikan api.
  4. UNTUK MENGHIDANG SERAWA PULUT DURIAN :- Cedok secukupnya pulut ke dalam bekas sesuai (seelok2nya guna mangkuk bersaiz kecil). Tuang secukupnya kuah serawa durian dan boleh hidangkan. Sedap dimakan sejuk. Kuah serawa durian juga anda boleh makan bersama roti kosong tanpa inti, lempeng pekak, roti jala dan kuih serabai....Selamat mencuba!!..

Saturday, 28 March 2015

PARU GORENG BERLADO...

rsz_1patu_berladdoo
Assalammualaikum, salam semua..hari ni kongsi resipi mudah. Tapi sebelum tu nak ucapkan selamat pengantin baru pada kenalan che mat Cikgu Azlinda Md Talib yang melangsungkan majlis perkahwinannya tadi. Moga berkekalan hingga ke akhir hayat dan dianugerahkan zuriat yang comel, gebu, soleh dan solehah...amin.. Ok, sambung cerita menu hari ni. Ingat tak che mat tu hari ada masak sambal goreng campur paru?...Baki lagi 500 gram ku jadikan paru berlado. Ini satu resipi mudah dan sedap. Untuk sambal tu memang style dia agak kasar2 dan cili pun rupa macam orang sakit tenat yang menumbuk, tak hancur dan nampak bersepai aje. Sedap dimakan bersama nasi panas atau dihidangkan sekali dengan nasi lemak, ketupat atau pun lontong. Tak mo cerita macam2, jomm kita lihat resipi mudah ini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
500 gram paru, cuci dan toskan*
1 inci halia, diketuk*
3 ulas bawang putih, diketuk*
Air secukupnya*(*disatukan dalam periuk dan rebus hingga paru empuk)
1 camca teh pes asam jawa
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN TUMBUK HANCUR :-)
5 biji cili merah
6 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
3 biji buah keras
1 batang serai, hiris halus

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Paru yang telah direbus empuk dan disejukkan, dihiris nipis. Kemudian gaul dengan 3/4 camca teh serbuk kunyit dan 1/2 camca teh garam hingga rata. Kemudian goreng hingga garing, angkat dan toskan.
  2. Cedok keluar minyak dan tinggalkan kurang lebih 3 camca besar. Tumis bahan2 tumbuk hancur hingga harum, kacau selalu dan gunakan api kecil. Masukkan pes asam jawa, gula dan garam secukup rasa. Kacau dan masak hingga garing.
  3. Masukkan paru yang telah digoreng tadi. Gaul rata dan masak hingga kering dan sambal melekat pada keseluruhan paru goreng. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih, nasi lemak atau nasi impit.

Thursday, 26 March 2015

SAMBAL TEMPOYAK DAUN KAYU...RESIPI WARISAN

rsz_tempoyak_daun_kayu
Assalammualaikum, salam Jumaat semua. Malam semalam che mat mimpi dihidangkan masakan tradisi orang Negeri Sembilan yang menjadi identiti mereka. Apa lagi kalau bukan sambal tempoyak daun kayu. Pagi ni dengan begitu rajin sekali, pagi2 dah petik pucuk ubi dan pucuk2 lain yang boleh dimasukkan ke dalam resipi ini. Kalau ikut resipi yang betul2 asli, mereka guna bermacam jenis pucuk2 yang sukar nak dapat. Che mat guna beberapa jenis saja seperti pucuk ubi, pucuk kacang, daun kunyit, daun kaduk dan pucuk labu tak  lupa petai (petai ni yang buatkan sambal tempoyak lebih terangkat). Tapi kalau dah darurat sangat, anda boleh guna pucuk ubi, petai dan daun kunyit saja, takde masalah, masih sedap. Untuk rencah che mat guna ikan bilis.

tempoyak daun kayu1
Semua pucuk2 kayu (sayur2an) dimayang halus seperti bunga rampai, tapi petai che mat belah 2 saja untuk nampak lebih comel bila dihidangkan. Anda boleh masak lebih, kemudian disimpan dalam peti sejuk. Kalau nak simpan lebih lama, boleh bekukan di freezer. Kalau ada menu macam ni, makan sama nasi panas, lepas tu goreng ikan...settle dah. Teringat cerita bonda, dulu masa dia kecil dan arwah nenek (uwan) kerap masak sambal tempoyak daun kayu, diisi dalam mangkuk tingkat bersama telur rebus, nasi dan ikan goreng sebagai bekal untuk dimakan dalam keretapi ketika balik kampung di Rembau. Kalau anda ingin mencuba, che mat kongsikan resipi seperti berikut...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 cekak pucuk ubi, asingkan dari tangkainya
5 batang pucuk labu, ambil daunnya
10 tangkai pucuk kacang panjang
10 helai daun kadok
5 helai daun kunyit
4 papan petai
2 genggam ikan bilis, dibersihkan dan rendam sekejap
1 keping asam gelugor
3 camca besar penuh tempoyak
1 liter santan (dari sebiji kelapa)
Garam secukup rasa (dan secubit gula)

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
30 biji cili padi kampung (boleh kurangkan)
1 1/2 inci kunyit hidup
5 batang serai, hiris halus

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Pucuk ubi, pucuk labu, pucuk kacang panjang, daun kadok dan daun kunyit, dimayang halus seperti bunga rampai. Kemudian cuci dan toskan, perah sedikit. Petai diambil isinya, kemudian belah dua setiap satu. Ikan bilis ditoskan, perah dan tumbuk sedikit, tak perlu hancur, cuma pecah2kan saja. Ketepikan.
  2. Masukkan bahan2 kisar halus ke dalam kuali bersama2 tempoyak, ikan bilis, petai dan asam gelugor. Kacau rata dan tuang santan. Kacau dan masak hingga mendidih dan pekat sedikit. Masukkan kesemua daun2 yang dimayang tadi. Gaul rata hingga mesra.
  3. Masak hingga pekat, perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas dan ikan goreng..

SAMBAL GORENG CAMPUR PARU...

rsz_sambal_paru_goeng
Salam semua, tempoh hari masa che mat ke satu majlis kenduri kawin. Ada hidangan sambal goreng yang begitu ringkas. Ada paru, tempe, kentang dan tauhu serta soo hoon. Cukup sedap ditekak che mat. Jadi tu hari masa ke MyDin, che mat beli paru dan memang bertujuan nak bikin sambal goreng campur paru. Tapi che mat tambahkan satu bahan lagi iaitu kacang panjang. Buat dia mudah dan sebab Bak tak nak pedas, che mat tak taruk cili kisar. Tapi kalau anda buat dan suka pedas, masukkan cili kisar dalam 2 camca besar. Ada yang suka masukkan sedikit santan untuk dapat rasa lemak. Ini terpulang pada anda. Sambal goreng che mat versi guna kicap, maka ia kelihatan sedikit 'gerhana'. Kalau anda ingin mencuba, che mat kongsikan resipinya seperti berikut..

BAHAN-BAHANNYA :-)
500 gram paru lembu. dipotong 3 bahagian*
1/2 inci halia, hiris halus*
3 ulas bawang putih*
1 camca teh penuh garam*
Air secukupnya*(*disatukan dalam periuk dan rebus hingga paru empuk, toskan dan biar sejuk)
1 keping tempe berbungkus plastik, didadu dan goreng
2 keping tauhu, potong dadu dan digoreng
2 biji kentang saiz sederhana, kupas, dipotong dadu dan digoreng
6 tangkai kacang panjang, hiris serong dan digoreng sekejap
1 cekak soo hoon, potong pendek dan rendam hingga lembut
2 camca besar kicap lemak manis JALEN
1/2 camca teh pes asam jawa
6 biji bawang merah, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
1 batang serai, diketuk
2 biji cili merah, hiris
2 biji cili hijau, hiris
1 camca besar cili kisar 
Garam secukup rasa
Sedikit air

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Paru yang telah direbus dan disejukkan tadi, dipotong kiub pada saiz sederhana. Kemudian goreng hingga perang, angkat dan toskan. Panaskan 1/4 cawan minyak dalam kuali, tumis hirisan bawang merah, bawang putih, serai hingga harum, masukkan cili kisar (jika guna) dan pes asam jawa. Kacau rata dan masak hingga cili garing, guna api kecil dan kacau selalu.
  2. Masukkan paru goreng, tempe goreng, tauhu goreng dan kentang goreng. Gaul rata, masukkan kicap lemak manis dan kacang panjang goreng. Masukkan sedikit air dan tambah soo hoon (toskan dahulu), hirisan cili merah dan cili hijau. kacau hingga rata.
  3. Tambah garam secukup rasa. Masak sekejap hingga kering dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih atau ketupat dan lauk2 lain. Boleh juga dimakan bersama ketupat atau nasi impit. Selamat mencuba!..

Tuesday, 24 March 2015

ASAM REBUS TEMPOYAK IKAN DURI SAMA TIMUN

rsz_asam_tempoyak_ikam_duri_timun
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat mula on balik masak2, selepas bercuti semalam. Masak pun yang mudah2, dan untuk bonda che mat masakkan asam rebus tempoyak ikan duri. camput timun. Ikan duri saiz kecil saja dan ada pulak telur. Anda boleh guna apa2 ikan yang anda suka. Nak guna ikan air tawar pun boleh. Biasanya menu begini, perlu pedas sikit. Tidak menggunakan sebarang minyak, ia hanya direbus. Ikan anda perlu cuci bersih dan perap dengan jus limau nipis atau limau kasturi terlebih dahulu. Kalau ada petai, boleh juga masukkan sekali, lagi sedap kuah dia. Ok, kita lihat resipi nya..jommm..

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 ekor ikan duri saiz sederhana (atau apa2 jenis ikan pilihan anda)
2 batang serai, diketuk
1 helai daun kunyit, disiat
1 kuntum bunga kantan, dibelah 2
1 keping asam gelugor
1 biji timun saiz besar
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
20 biji cili padi kampung (jenis merah)
5 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
1 camca besar penuh tempoyak

CARA MEMBUATNYA :- 
  1. Ikan duri disiang, kemudian kerat kepada beberapa bahagian. Cuci bersih dan perap dengan jus limau nipis atau limau kasturi selama 10 minit, cuci kembali hingga bersih dan toskan. Timun dibuang kulit, kerat 2 dan belah 4 setiap keratan. Kemudian buang bahagian empulurnya.Cuci dan toskan.
  2. Masukkan bahan2 kisar halus ke dalam periuk bersama air (anggaran 1200 ml atau secukupnya). Kacau rata. Tambah serai dan asam gelugor. Masak hingga mendidih. Masukkan ikan duri dan bunga kantan. Kacau perlahan dan masak sekejap.
  3. Masukkan timun dan daun kunyit. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau perlahan dan masak hingga timun lembut sedikit. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas dan lauk2 lain.

Sunday, 22 March 2015

HARI KEMAHKOTAAN SULTAN IBRAHIM, JOHOR

Jata_Kemahkotaan_Sultan_Ibrahim_small_logo

johornew
Assalammualaikum, salam takzim semua. Isnin, 23 hb Mac 2015, Negeri Johor cuti kerana meraikan hari kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dan DYMM Raja Zarith Sofia sebagai Permaisuri Johor, baginda merupakan Sultan Johor ke - 5 dalam era Johor modern. Seperti anda sedia maklum, Negeri Johor diperintah oleh 3 keturunan raja yang berlainan. Waris dari sultan Melaka berakhir setakat Almarhum Sultan Mahmud mangkat dijulang, kemudian diturunkan kepada keturunan Bendahara, dan akhirnya kepada keturunan Temenggong (yang memerintah sekarang ini). Setiap era membawa kelainan dalam corak pemerintahan beraja di  Negeri Johor pada ketika itu.

Istiadat kemahkotaan ini amat bersejarah bagi Negeri Johor. Kali terakhir ianya diadakan lebih 50 tahun dahulu semasa era pemerintahan Almarhum Sultan Ismail, nenda Sultan sekarang ini. Negeri Johor, ialah negeri pertama di Tanah Melayu yang menggunakan mahkota sebagai alat kebesaran negeri. Ini semua atas kebijaksanaan Alamrhum Sultan Sir Abu Bakar yang terkenal dengan gelaran bapa pemodernan Johor dalam memberi corak baru sistem pemerintahan beraja di negeri Johor....Selebihnya anda boleh baca di internet. Che mat kongsikan dengan anda semua, wajah2 baginda  Sultan Johor era modern yang pernah memerintah Negeri Johor....( Al- Fatihah untuk mereka2 yang telah pergi, moga Allah swt mencucuri rahmat ke atas roh2nya)..

sultan sir abu bakar, johore
Almarhum Sultan Sir Abu Bakar Ibni Daing Ibrahim
( 1862 - 1895 )

sultan ibrahim johore
Almarhum Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar
(1895 -1959 )

johor-Ismail
Almarhum Sultan Ismail Ibni Almarhum Sultan Ibrahim
( 1959 - 1981 )

sultan johor
Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail
( 1981 - 2010 )

tunku yem
Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar
( 2010 - hingga sekarang )

~: PANTUN JOHOR :~

ADA NEGERI PALING SELATAN,
DIPERINTAH RAJA DAN JUGA SULTAN,
MENJADI CERITA SERTA BUALAN,
ITULAH JOHOR NEGERI BERTUAN.

BUKIT TIMBALAN PENUH SEJARAH,
ISTANA BESAR BERDIRI MEGAH,
BANGSA JOHOR SEMANGAT TAK PATAH,
KEPADA ALLAH KITA BERSERAH.

DARI MUAR KE TELOK SENGAT,
BERBAJU KURUNG BUNGA PERADA,
JOHOR MODERN NEGERI BERDAULAT,
RAJA DAN RAKYAT PERPISAH TIADA.

MAHKOTA JOHOR PENUH MISTERI,
INTAN PERMATA KOTA LARANGAN,
SELAMAT BERTAHTA TUANKU DAN ISTERI,
DIBERI PETUNJUK SEPANJANG ZAMAN..

~ : DAULAT TUANKU : ~

KEK ZEBRA ATAU KEK KUDA BELANG...

rsz_marble_cekelt
Assalammualaikum, petang ni che mat nak masukkan entri kek zebra atau kek kuda belang yang cukup mudah dibuat. Sebenarnya kek kuda belang ke, kek marble ke anda boleh ubah suai guna adunan kek mentega biasa tu. Cuma perlu asingkan adunan kosong, tambah serbuk koko atau coklat emulco dan kacau rata. Kendian sudukan berselang seli dalam loyang pembakar, pastikan tengah2 loyang. Yang ni saiz kecil dalam 6+ inci. Boleh guna sebarang perisa. Tak suka coklat, boleh ganti dengan pandan + stoberi atau coklat +oren atau kalau nak berani lagi, coklat + pudina. Sesuai ni kalau dihidangkan masa minum petang. Ok, meh che mat tuliskan resipi dia, memang senang sangat nak buat...Jommm..

BAHAN-BAHANNYA :-)
150 gram mentega (anchor, scs, emborg)
2 biji telur gred A
125 gram tepung berserbuk penaik (self raising flour), diayak 3 kali
1/4 cawan susu pekat manis
50 gram gula kastor
1 camca teh esen vanilla
1/2 camca tek perisa mocha
1 camca besar serbuk koko*
2 camca besar air panas*(*disatukan dan kacau rata)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan oven pada suhu 175C, lenser acuan kek bulat berukuran 6.5 inci x 3 inci dengan mentega, alas dasar tin dengan kertas minyak. Lenser juga kertas tadi. Ketepikan.
  2. Putar mentega dan gula kastor hingga putih, masukkan telur satu persatu dan terus memutar hingga kembang. Masukkan susu pekat manis dan esen vanilla. Putar rata.
  3. Perlahankan kelajuan, masukkan tepung sedikit demi sedikit dan putar hingga sebati. Matikan mixer dan bagikan adunan kek kepada 2 bahagian. Satu dimasukkan perisa mocha dan bancuhan serbuk koko, kacau rata. Satu lagi dibiarkan kosong tanpa warna,
  4. Sudukan 3/4 camca besar adunan kosong ditengah2 tin kek. Kemudian sudukan pula 3/4 camca besar adunan koko atas adunan kosong tadi. Buat berselang seli hingga habis. Goyang2kan sedikit acuan tadi agar adunan kek rata. Bakar selama 40 - 45 minit atau hingga kek masak. Uji dengan mencucuk bahagian tengah kek dengan lidi sate bersih atau cake tester, jika keluar bersih, tu tanda kek anda telah masak. Keluarkan kek dari acuan dan sejukkan atas jaringan. Boleh hidangkan..

Saturday, 21 March 2015

PUFF SARDINE PEDAS...

rsz_puff_sardine_pedas
Assalammualaikum, salam Sabtu, sejak beberapa hari ini che mat mengidam sangat nak makan puff sardine. Dah bosan bikin inti tuna, sekali nak balik pada citarasa awal, iaitu sardine. Kali ni che mat guna sardine tin kecil dan dapat 6 biji puff. Seperti biasa, kulit puff beli yang sedia guna jenama KAWAN. Saiz dia pun elok saja, 4 inci x 4 inci. Resipi ni senang dan boleh dikatakan sesuai setiap masa, untuk sarapan, untuk minum petang atau dihidangkan pada tetamu. Satu teknik membakar yang akan menghasikan puff pastry yang gebu dan berlapis2, ialah dengan menghidupkan 'kipas' pada oven anda (jika oven anda jenis yang ada kipas untuk 'hot air circulation'). Kalau takde, bakar guna api atas bawah seperti biasa pun boleh juga. Jika anda hidangkan untuk anak2, tak perlu taruk cili padi, boleh tambah sedikit serbuk lada hitam jika suka...Ok kita semak resipi...

BAHAN-BAHANNYA :-)
6 keping puff pastry bersaiz 4 inci x 4 inci (jenama KAWAN)
1 kuning telur, dipukul sedikit
1 tin kecil sardine (che mat guna cap ayam)
1 biji bawang besar, didadu
2 ulas bawang putih, cincang halus
2 keping nipis hirisan halia, cincang halus
3 biji cili padi, hiris halus
1 biji limau kasturi, perah jusnya
Garam secukup rasa

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK INTI :- Panaskan 2 camca besar minyak, tumis bawang putih, halia dan bawang besar hingga harum dan bawang layu. Masukkan sardine bersama kuah2nya sekali. Hancurkan dan masak hingga kering. Tambah garam secukup rasa, jus limau kasturi dan hirisan cili padi. Kacau rata dan masak sekejap. Rasa dan jika ok, boleh matikan api dan sejukkan.
  2. UNTUK PUFF SARDINE PEDAS:- Panaskan oven pada suhu 190C, sedikan dulang pembakar, jika suka anda boleh alas dengan kertas minyak. Inti tadi dibahagi kepada 6 bahagian sama banyak. Ketepikan.
  3. Pastikan anda keluarkan puff pastry sekurang2nya 15 minit dari freezer sebelum anda guna. Ambil sekeping puff pastry, kelar2 sedikit pada 1/2 bahagian puff pasty (che mat buat 3 segi). Bahagian yang tidak dikelar, anda sudukan 1 bahagian inti dan ratakan. 
  4. Cantumkan dan tekan2 sedikit tepinya. Kemudian tekan dengan garfu disekeliling tepi kulit puff pastry agar bercantum bahagian atas dan bawah. Alihkan ke dalam dulang pembakar. Buat kaedah sama untuk baki puff pastry dan inti, hingga siap.
  5. Sapu sedikit kuning telur atas setiap puff pastry tadi. Bakar selama 25 minit atau hingga keemasan dan puff pastry akan mengembang dan menghasilkan kulit yang berlapis2. Sejukkan atas jaringan dan boleh hidangkan....Selamat mencuba!..

Friday, 20 March 2015

RESIPI PHAD THAI

rsz_pat_thai
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat tak masak nasi, sebab che mat home alone. Malas pun yea, nak masak, penat. Korek dalam peti sejuk, ada macam2 juga dan terjumpa kuey teow kering jenama A1 yang che mat beli dulu. Berbaki dalam 2 gulung. Tiba2 idea datang nak buat phad thai. Zaman sekarang ni mudah, on line saja, search kat google, bermacam2 sumber akan keluar. Dan phad thai che mat buat ni guna bahan2 yang ada saja. Untuk perencah, che mat guna daging batang pinang dan sebelum tu anda ke bikin sosnya dulu. Tidak susah nak membuatnya. Dan che mat buat tak banyak, cukup untuk guna 2 kali. Sos tu anda kena agak masa masukkan dalam mi dia, jangan main curah aje, kang masin dah tak boleh makan. Resipi asal ada tambah lobak jeruk yang dicincang halus, tapi che mat takde lobak jeruk dan tak letak pun masih ok, masih sedap...Jommm kita semak resipi..

BAHAN - BAHANNYA :-)
2 cekak kuey teow kering jenama A 1
200 gram daging batang pinang, hiris nipis (boleh guna udang atau daging ayam)
1 genggam taugeh (atau secukupnya), dibuang ekor, cuci dan toskan
1/2 batang lobak merah, hiris halus
10 tangkai kucai, kerat pendek
1 genggam kacang tanah yang siap digoreng, ditumbuk kasar
2 biji telur, dipukul sedikit
Sos phad thai secukupnya (resipi di bawah)
2 ulas bawang putih, dicincang halus
Limau nipis atau limau kasturi, dibelah 2
Sedikit chili flakes untuk ditabur

BAHAN-BAHAN SOS :-)
1/4 cawan gula melaka, hiris kecil
3 camca besar gula pasir
1/4 cawan sos ikan (nampla)
1/2 camca besar cuka makan
1/2 camca besar pes asam jawa
1/4 cawan air

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK SOS PHAD THAI :- Satukan semua bahan2 untuk sos ke dalam periuk. Kacau rata dan masak hingga mendidih dan gula hancur, kacau sekali sekala. Biarkan mendidih dengan api kecil selama 5 - 6 minit. Matikan api dan tapis. Ketepikan untuk kegunaan kemudian,
  2. UNTUK PHAD THAI :- Celur kuey teow kering dalam air panas mendidih selama 1 minit. Toskan dan rendam dalam air sejuk sekejap. Toskan. Panaskan 3 camca besar minyak dalam kuali (che mat guna frying pan saiz besar). Tumis bawang putih hingga harum. Masukkan daging dan kacau rata. Masak hingga daging berubah warna (sebab guna daging batang pinang, ia mudah empuk).
  3. Masukkan kuey teow dan gaul rata. Tolak ke tepi kuali. Masukkan telur dan biar hingga telur mengental. Hancur2kan telur dan gaul rata dengan kuey teow tadi. Masukkan sos phad thai dalam 3 - 4 camca besar. Kacau rata, masukkan lobak merah, kacau dan masak sekejap.
  4. Tambah taugeh dan daun kucai. Gaul rata dan akhir sekali masukkan kacang (tinggalkan sedikit untuk hiasan). Kacau rata dan rasa, jika kurang masin anda boleh tambah sedikit lagi sos phad thai. Matikan api dan alihkan ke dalam pinggan sesuai. Tabur baki kacang tanah dan juga chili flakes, hidangkan bersama limau nipis atau limau kasturi....Selamat mencuba!

Thursday, 19 March 2015

IKAN KEMBONG MASAK KICAP

rsz_kicap_ikan_kembong
Salam semua, entri ikan kembong masak kicap ini pada pendapat che mat bukan satu resipi yang 'biasa-biasa', walaupun hakikatnya ia memang masaka biasa-biasa. Menjadi kegemaran setiap peringkat umur, baik tua, muda dan kanak2. Che mat sendiri antara penggemar menu ikan masak kicap dan che mat lebih suka guna ikan yang banyak isi seperti ikan kembong, ikan tenggiri, ikan kerisi, ikan bawal dan ikan pari. Ikan selalunya digoreng, tapi jangan sampai garing. Pemilihan kicap juga memainkan peranan. Che mat seperti biasa, menggunaan kicap lemak manis JALEN, dan ditambah sedikit kicap pekat JALEN. Jika anda suka pedas, boleh masukkan 3-4 biji cili padi yang diketuk. Sedap dimakan bersama nasi panas atau bubur nasi. Resipi ini che mat tujukan khas pada anak2 yang baru ada keinginan nak memasak, walaupun ia hidangan yang boleh dikatakan amat senang dan mudah. Resipi seperti berikut...

BAHAN-BAHANNYA :-)
4 ekor ikan kembong saiz besar
1/2 inci halia, diketuk
3 ulas bawang putih, diketuk
1 biji bawang besar, dihiris bulat dan leraikan
1 biji cili merah, dihiris serong
1 biji cili hijau, dihiris serong
1/4 camca teh cuka makan JALEN
5 camca besar kicap lemak manis JALEN
1 camca teh kicap pekat JALEN
1 camca besar sos tiram JALEN
1/3 camca serbuk lada sulah
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
1/3 cawan air
Hirisan daun bawang, untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan kembong disiang, cuci bersih dan kelar sedikit. Lumur dengan sedikit serbuk kunyit dan garam (anggaran 1 camca teh serbuk kunyit dan 1/2 camca teh garam) hingga rata. Kemudian goreng hingga masak, tak perlu sampai garing, goreng lembab2 sudah memadai. Angkat dan ketepikan.
  2. Panaskan 3 camca besar minyak dalam kuali, tumis kayu manis, bunga lawang, halia dan bawang putih hingga harum. Masukkan sos tiram dan kacau rata. Tuang air, masukkan kicap pekat, kicap lemak manis dan cuka makan. Kacau dan biar mendidih.
  3. Masukkan bawang besar dan ikan. Kacau perlahan dan tambah hirisan cili merah, cili hijau dan serbuk lada sulah. Kacau dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Tabur hirisan daun bawang sebelum dihidangkan.

SAMBAL TOTOK JAWA...

rsz_sambal_totok_jawa

Assalammualaikum, salam Khamis. Hari ni che mat masak yang best...gulai rebung sama ikan masin kurau, tapi tak jadikan ia sebagai entri blog sebab dah kerap sangat. Dan sambil2 tu sempat juga hempuk sambal totok jawa, yang sedap, pedas dan menggamit selera. Resipi memang senang, hasilnya pun in sha Allah sedap. Ramai dah orang buat dan ada sampai berjualan sambal totok.  Buat dia mudah dan anda boleh buat sendiri dirumah. Yang penting ada lesung batu, kalau blender tak bess, dan tak jadi ke totok annya. Makan ni sama nasi panas, lepas tu goreng ikan....cukup dah, silap hari bulan, anda bertambah makan nasi lagi ada lah. Ikan bilis goreng che mat ramas2 kasar sahaja, tak ditumbuk. Kalau anda rasa kurang selera nak makan, apa kata cuba bikin sambal totok ni dan bagi yang tak tahan pedas, anda boleh guna cili merah sahaja, tak perlu guna cili padi...Ok jomm kita menyambal totok...

BAHAN-BAHANNYA :-)
5 biji cili merah, kerat pendek cuci dan toskan
10 biji cili padi siam, kaler merah, cuci dan toskan
5 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
1 genggam ikan bilis, dibersihkan dan rendam sekejap, toskan
Sebesar ibu jadi orang dewasa, belacan, dibakar hingga harum
Garam dan gula secukup rasa
4 biji limau kasturi

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Ikan bilis digoreng dengan api sederhana hingga kuning keemasan dan garing, angkat dan toskan. Goreng pulak bawang merah kecil dan bawang putih hingga layu, angkat dan toskan. Kemudian goreng cili merah dan cili padi hingga layu, angkat dan toskan.
  2. Ikan bilis goreng tadi ditumbuk sedikit tapi jangan sampai hancur, cukup sekadar patah2 sahaj (che mat ramas guna tangan). Tumbuk cili merah dan cili padi hingga hancu, masukkan belacan dan tumbuk hingga lumat. Tambah bawang merah dan bawang putih yang telah digoreng tadi. Tumbuk lumat. Masukkan gula dan garam secukup rasa dan tumbukk sebati.
  3. Perahkan jus limau kasturi, gaul rata dan tambah ikan bilis pada saat2 akhri sebelum dihidang bersama nasi panas dan lauk2 lain kegemaran anda... Selmat mencuba!