Sunday, 31 August 2014

NASI GORENG - SARAPAN PAGI INI...

rsz_nase_gorengs
Assalammualaikum, salam Selasa semua..Hari ni 1 September 2014, dan che mat bersiaran awal. Bulan lepas che mat macam kurang update blog, bukan apa sebab lepas raya, masak pun yang mudah2 dan kebanyakkan apa yang che mat masak pernah dimasukkan sebagai entri blog. Sebenarnya ada rasa sikit kecewa sebab che mat langsung tak sempat nak masukkan entri kek lapis, huhu...satu gambar kek lapis pun che mat tak ambik...rugi betullah. Pagi ni che mat cuma goreng nasi. Paling mudah dan nasi ni 2 hari lepas punya yang telah disimpan dalam peti sejuk. Selalunya nasi goreng yang elok perlukan nasi yang sejuk dan dimasak sedikit keras, kalau nasi lembut, nasi goreng anda akan berketul2, masih ok cuma tak berapa nak cun bila dihidangkan. Entri che mat ni bukanlah untuk anda2 yang dah pakar didapur, tapi lebih untuk anak2 yang baru nak berjinak2 ke dapur. Maklumlah, zaman sekarang ni, anak2 pun dah rajin ke dapur, tak kira lelaki ke perempuan. Tak rugi anak2 kita pandai masak, sekurang2nya mereka takde lah makan luar setiap hari...Dah bersedia nak goreng nasi?...Ok jommm....

BAHAN-BAHANNYA :-)
4 cawan nasi sejuk, dileraikan
7 tangkai kacang buncis, hiris kecil
1 camca besar penuh udang kering, rendam 10 minit, tos dan tumbuk hancur
2 biji telur, pukul sedikit
1 biji bawang besar, hiris
2 ulas bawang putih, cincang halus
1 camca teh serbuk lada sulah (che mat guna aji-shio)
1 kiub pati ikan bilis, hancurkan
Garam secukup rasa @ sos ikan secukupnya
1 camca besar marjerin (Planta)
Telur mata kerbau untuk hiasan*
Petai untuk ulam*
Hirisan cili padi*(*optional)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan kuali, masukkan 2 camca besar minyak masak, tambah majerin dan biar cair. Tumis udang kering dan goreng hingga wangi. Tambah bawang putih dan bawang besar, masak hingga layu. Tambah kacang buncis, kacau dan masak sekejap.
  2. Tolak ke tepi kuali, masukkan telur dan biar kental. Kemudian kacau hancur. Masukkan kiub pati ikan bilis yang telah dihancurkan, kacau rata. Tambah serbuk lada sulah dan garam secukup rasa. Kacau rata.
  3. Masukkan nasi, besarkan api dan gaul rata dengan pantas. Masak hingga nasi sedikit kering. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hias dengan hirisan cili padi, telur dadar dan hidangkan bersama petai, jika suka. Sedap dimakan panas.....
CATATAN MAT GEBU :- Kalau anda guna sos ikan, tak perlu letak garam dulu. Letak kemudian bila dah masuk nasi, dah gaul rata, baru renjiskan sos ikan secukup rasa. Selamat memasak!!.

LEMAK CILI PADI BABAT SAMA REBUNG MADU...

rsz_gulais_babat_rebung

Assalammualaikum, salam Ahad, salam Merdeka untuk semua rakyat Malaysia. Hujan tak tempat anda?. sini pagi mendung lepas tu mula hujan turun tapi tak lebat. Cuaca dingin dan nyaman. Hari ni che mat masak lemak cili padi babat sama rebung madu. Rebung tu ambik kat rumah, mungkin sebab cuaca lembap, mana rebung galak keluar. Babat atau perut lembu lebihan stok hari raya lepas dari tersimpan dalam freezer, eloklah dihabiskan. Atas persetujuaan bonda kita on masak. Selain babat, anda boleh guna daging, tulang atau daging salai. Kalau dapat salai daging batang pinang dan kalau dapat salai guna bara api untuk mendapat rasa yang lebih authentic.

rsz_gulais_babat_rebung1

Biasanya lemak cili padi che mat suka guna cili padi kampung yang bewarna hijau. Ini terpulang, nak guna yang merah pun boleh. Tahap kepedasan bergantung pada selera anda. Kalau nak sampai keluar peluh jantan, boleh guna lebih cili padi. Untuk resipi ini che mat guna kurang lebih 40 biji cili padi kampung. Satu lagi che mat suka kalau lemak cili padi sedikit rasa masa. Serai dan daun kunyit dua bahan penting untuk menambah aroma pada masakan. Ada yang tak guna daun kunyit bila dah ada serai, tapi che mat suka bau dari kedua2 bahan tadi. Tiada makna masak lemak cili padi tanpa serai atau daun kunyit....Resipi seperti berikut....

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 kg babat lembu, cuci bersih*
1/2 inci halia. diketuk*
3 ulas bawang putih, diketuk*(*rebus hingga babat empuk dan toskan)
600 gram rebung madu, hiris nipis dan celur sekejap, toskan
3 batang serai, diketuk
2 helai daun kunyit, disiat
2 keping asam gelugor (boleh guna sekeping kalau tak suka masam)
1.5 liter santan cair
500 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
40 biji cili padi kampung (boleh kurangkan)
1 inci kunyit hidup
1 inci halia
6 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Babat yang telah sejuk tadi dipotong kecil. Masukkan rebung, serai titik dan bahan2 kisar halus ke dalam periuk bersama2 babat. Gaul rata dan masak hingga mendidih. Tuang santan cair. Kacau dan biar masak hingga rebung empuk.
  2. Masukkan asam gelugor dan pati santan. Kacau rata, biar mendidih dengan api kecil dan kacau selalu. Masukkan daun kunyit, perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas dan lauk2 lain..

Friday, 29 August 2014

ASAM PEDAS AYAM DAUN KESOM...

rsz_asam_ayam_kesom
Assalammualaikum, salam Jumaat. Hari ni che mat laksanakan idaman tekak ku yang mengidam asam pedas ayam daun kesom sejak semalam lagi. Resipi macam ni kebiasaannya orang Johor yang masak. Kalau di Melaka ada asam pedas daging atau tetel, di Johor ada asam pedas ayam. Kebiasaannya ayam pencen atau ayam tua menjadi pilihan. Kalau nak lebih sedap, boleh guna ayam kampung. Tapi tak salah kalau anda guna ayam daging. Kali ni asam pedas ayam che mat cuma masukkan tomato sahaja. Entah kenapa tiba2 tak nak asam pedas yang terlalu meriah, nak yang simple. Di Johor, ada juga yang panggil masakan macam ni sebagau 'gulai'. Daun kesom paling utaman dalam resipi ini, selain bunga kantan (che mat takde stok bunga kantan, jadi tak letak. Yang ni optional, tak letak pun takpe). Sebab che mat guna ayam tua, maka ku masak dalam periuk tekanan. Tapi dalam resipi nanti che mat tulis masak cara biasa...

rsz_asam_ayam_kesom1
Bila memasak, pekara asas yang paling utama mesti ada rasa pedas, masam, masin dan manis. Tapi perlu seimbang, masin tu bukan lah masin terlampau, begitu juga manis, setakat 'rasa' saja bukan manis macam pengat. Contohnya asam pedas, mesti terasa asamnya, begitu juga rasa pedas. Setidak2nya menu kita sesuai dengan namanya. Apa2 pun ini semua bergantung pada citarasa anda dan kena ambik kira juga mereka2 yang makan masakan kita samada suka pedas atau sebaliknya. Sebelum che mat tuliskan resipi, tertarik dengan satu entri perihal 'surirumah'...di sini....

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 ekor ayam tua (atau ayam kampung)
2 batang serai, diketuk
1 cekak daun kesom, cuci dan toskan
2 biji tomato, belah 4 setiap 1
2 senduk nasi cili kisar
1 kiub pati ayam (optional)
1 camca teh lada hitam, tumbuk halus
1 camca besar pes asam jawa*
1/2 cawan air*(*dibancuh hingga sebati)
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
15 biji bawang merah kecil
3 ulas bawang putih
2 biji cili merah
1 inci kunyit hidup
1 inci halia
1/2 inci lengkuas
3 biji buah keras

BAHAN-BAHAN TUMIS :-)
4 biji bawang merah kecil, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
1/2 camca teh halba

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ayam dipotong ikut suka, cuci dan toskan. Panaskan minyak dalam periuk (kurang lebih 1/2 cawan, memng banyak sikit, tapi anda boleh keluarkan kemudian bila rempah2 dah garing). Masukkan serai dan masak hingga harum, masukkan bahan2 tumis dan masak hingga bawang garing. Tambah bahan2 kisar halus, masak hingga wangi. Masukkan cili kisar dan kacau. Masak dengan api kecil hingga cili garing, kacau selalu.
  2. Masukkan ayam, gaul rata dan masak hingga ayam kecut. Masukkan daun kesom, gaul rata dan tuang air secukupnya (sebab ayam tua, anda kena tuang air hingga ayam tenggelam). Masak hingga ayam empuk (tambah air panas jika kuah kering dan ayam belom empuk). Tambah kiub pati ayam (jika guna), lada hitam dan asam jawa. Kacau rata.
  3. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Biar mendidih perlahan dan masukkan tomato, masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi dan lauk2 lain..
CATATAN MAT GEBU :- Kalau anda guna periuk tekanan atau pressure cooker, tumis bahan2 dalam periuk tadi dan terus masukkan pes asam jawa, tak perlu bancuh dengan air, kemudian tambah ayam. Air pula hanya jangan letak banyak, setakat ayam tenggelam sahaja. Nasihat che mat, anda baca buku panduan sebelum guna, untuk mengelakkan kemalangan....Selamat mencuba!!..

Thursday, 28 August 2014

SUP SAYUR MEWAH...

rsz_soup_sayur
Salam semua, entri tersimple dari che mat. Dan ini memang bess makan sama nasi, sambal tumis petai dan ikan goreng. Sup sayur yang mudah tapi agak mewah...sebab apa?..sebab ada udang besar...ehemm, tapi takde lah banyak, hanya sebagai perencah, che mat taruk 5 ekor udang. Untuk sup sayur ni che mat guna sawi bok choy atau sawi jepun dalam 6 pokok. Selain tu, masukkan juga tauhu dan bebola lobster jenama 'MUSHROOM". Sedap makan panas, dan untuk hangat lagi, ku campakkan 10 biji cili padi yang dibelah. Serius memang bess dihirup2. Kalau anda nak ganti cili padi dengan serbuk lada sulah atau lada hitam pun boleh. Kali ni che mat tak nak tabur hirisan daun bawang ke, daun sup ke atau bawang goreng, nak sup yang plain saja. Satu tips nak dapat kuah sup yang terang tanpa keladak, lepas anda letak udang dan kuah mendidih. Cedok keluar buih2 halus yang terbit dipermukaa kuah. In sha Allah, kuah sup anda jadi cantik....Resipi senang sangat...campak2 aje...

BAHAN-BAHANNYA :-)
6 pokok sawi bok choy
5 ekor udang bersaiz besar, dibersihkan
5 biji bebola lobster jenama 'MUSHROOM'
2 keping tauhu, potong 6 setiap 1 keping
10 biji cili padi, dibelah sedikit
1/2 kiub pati ikan bilis (optional)
1 biji bawang besar, dihiris
2 ulas bawang putih, dihiris
Garam secukup rasa
Air secukupnya 

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Udang dibersihkan, cuci dan toskan. Cuci sawi bok choy, potong berasingan batang dan daunnya. Panaskan 2 camca besar minyak masak dalam periuk. Tumis bawang besar dan bawang putih hingga harum, masukkan udang dan masak sekejap.
  2. Tuang air secukupnya (anggaran 800 ml), masukkan kiub ikan bilis, bebola lobster, kacau dan biar mendidih. Tambah tauhu, masak sekejap. Cedok keluar buih2 halus yang timbul dipermukaan kuah, untuk mendapatkan kuah yang jernih. 
  3. Tambah batang sawi dan cili padi, bila batang sawi lembut, masukkan daunnya. Perasakan dengan garam secukup rasa. Dan boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi atau boleh dimakan begitu sahaja..

Wednesday, 27 August 2014

SAMBAL TUMIS PETAI - BUSUK YANG SEDAP...

rsz_sambal_petay
Salam semua, hari ni dah Khamis, bulann Syawal pun telah meninggalkan kita. Rutin harian berjalan seperti biasa. Hari ni atas permintaan che mat masak lagi sambal tumis petai dengan ikan bilis. Ingat nak guna sotong, tapi bonda suruh taruk ikan bilis. Dengan cuaca yang agak sejuk dan mendung, memang sesuai lah makan sambal tumis. Kalau ada ubi rebus lagi nyaman. Petai ni abang sulung che mat beli masa dia ke Perak tempoh hari. Satu ikat RM 40 kurang lebih 100 papan, pukul rata 40 sen satu papan. Yang che mat beli dulu 4 papan RM 4, tapi petai dia ada beza sikit dari yang che mat beli. Lebih tu mungkin nak bikin jeruk. Rasanya sambal tumis petai semua orang boleh buat. Dan ini antara hidangan kegemaran orang2 peranakan cina, kan mereka tu banyak dipengaruhi budaya orang Melayu. tu pasal hidangan mereka tak jauh beza, makan pun guna tangan. Ok, resipi seperti berikut....

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 genggam ikan bilis, dibersihkan, rendam sekejap dan tos
4 - 5 papan petai, ambil isinya
1 biji bawang besar, hiris kasar
3/4 camca besar pes asam jawa
1 1/2 senduk nasi cili kisar
Garam dan gula secukup rasa
Sedikit air

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
5 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
2 biji cili merah
1/2 inci belacan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan 1/3 cawan minyak. Tumis bahan2 kisar halus hingga harum, masukkan cili kisar, kacau dan masak hingga cili garing dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau selalu. Tambah pes asam jawa, kacau dan tuang sedikit air.
  2. Masukkan petai dan masak sekejap. Tambah ikan bilis dan bawang besar. Gaul rata. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula (yang ni ikut selera masing2 lah yea). Kacau dan masak hingga pekat. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi dan lauk2 lain.

Tuesday, 26 August 2014

KARI IKAN GAYA INDIA...

rsz_kari_ikan_apa_india
Cuaca2 mendung ni kita kasi perhangatkan badan dengan kari...tapi kari tanpa santan atau kari gaya india. Tu hari che mat ada beli ikan ketarap (ikan yang warna striking dan bersisik tebal). Dan ada baki lagi seekor. Bersaiz kurang lebih selebar tapak tangan orang dewasa. Asam pedas dan selalu sangat, jadi kita bikin kari gaya india pulak. Tak banyak beza dari kari ikan biasa, cuma pada che mat kari tanpa santan kita kena seimbangkan rasa masam dan sedikit manis. Kurangkan sedikit cili untuk mengelakkan rasa pedas. Selain ikan ketarap, anda boleh guna sebarang jenis ikan berisi tebal, seperti ikan merah, tenggiri, tongkol atau pun ikan kembong. Udang, ketam dan sotong pun boleh jika anda nak jadikan kari. Nak mencuba?...Jomm kita lihat resipi...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 ekor ikan ketarap (atau ikan pilihan anda, berat kurang lebih 600 gram), dibersihkan dan kerat 4
10 batang bendi
1 biji tomato saiz besar, belah 6
3/4 camca besar pes asam jawa
1 kiub pati ikan bilis
4 camca besar penuh rempah kari ikan (Baba's)*
1 cawan air*(*dibancuh dan kacau rata)
2 camca besar cili kisar
Garam dan gula secukup rasa
1 biji cili merah, belah 2 tapi tak putus
1 biji cili hijau, belah 2 tapi tak putus
3 ulas bawang putih*
1/2 inci halia*
1/2 inci kunyit hidup*(*ditumbuk halus)
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN TUMIS :-)
1 biji bawang besar, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
1/2 camca teh biji sawi
1/2 camca teh jintan halus
1/4 camca teh halba
2 tangkai daun kari, dilurut

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/3 cawan). Masukkan bahan tumis dan masak hingga harum, tambah bahan tumbuk halus dan cili kisar dan masak hingga garing, guna api kecil dan kacau selalu.
  2. Masukkan bancuhan rempah kari ikan, kacau dan masak hingga naik minyak. Masukkan pes asam jawa, kacau dan tambah air secukupnya (anggaran 800ml), kacau dan biar mendidih. Masukkan bendi dan kiub ikan bilis, masak sekejap.
  3. Tambah ikan, kacau perlahan dan tambah air jika kurang. Perasakan dengan garam secukupnya. Masukkan belahan cili merah dan hijau. Tambah sedikit gula dan biar mendidih. Bila ikan masak dan bendi empuk, masukkan tomato. Biar sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas dan lauk2 lain...

TART PIR KARAMEL - 'ANNA OLSON'...

rsz_salted_caramel_pear_tart
Salam semua, hari ni che mat cuti masak....bess giler..rasa aman aje, bermalas2 sambil tergolek ala dugong terdampar....kan..percaya ke?...Huhu, mana ada, bila kat rumah, kalau tak masak atau masak yang mudah2, ada menimbun keje lain kena buat. Sebab bulan Syawal dan sampai penghujung, maka che mat kena kemas2 semua barang2 yang bersangkut paut dengan hari raya. Kena simpan tupperware2 yang guna untuk simpan biskut, kena masukkan sudu2 ke dalam kotak, susun balik teko2 antik yang sebelum ini kena pindah ke bilik stor dan macam2 lagi lah....haishh, penat....TETAPI....ehemmm....

rsz_salted_caramel_pear_tart1
Dalam penat2 tu rasa bosan gak tak memasak, maklumlah dah jadi tebiat, waima dapat masak air pun jari lah. Kebetulan dalam peti sejuk memang ada buah pir, dan masih elok. Cari2 dalam freezer, alhamdulillah, ada pulak puff pastry. Ok, jomm kita on projek Tat Pir Karamel 'Anna Olson'. Idea ni che mat dapat masa menonton Chef Anna Olson yang femes tu di YouTube, dalam episode puff pastry dan salah satunya dia bikin  salted caramel pear tart. Bahan2 semua ada tapi cuma gula perang yang che mat guna kurang gelap, maka hasilnya kurang perang seperi Anna Olson buat. Tapi rasa dia hmm, sedap dan sesuai untuk minum petang. Buat dia memang mudah, dan bahan2 dia pun mudah didapati..

puff pastry
Ok, che mat sertakan juga cara memotong puff pastry untuk menghasilkan kulit untuk tat pir ini. Guna puff pastry jenama KAWAN yang bersaiz 4 inci x 4 inci dan guna 3 biji buah pir yang bersaiz sederhana. Kalau yang besar sangat, nanti tak sesuai pulak dengan saiz puff pasty. Bagi anda yang kurang pasti macam mana nak buat, che mat sertakan video 'Bake with Anna Olson - Puff Pastry" di bawah ini. Untuk cara2 membuat tat pir karamel ini anda boleh lihat di minit ke 6.50 .....harap dapat membantu... 




BAHAN-BAHANNYA :-)
6 keping puff pastry jenama KAWAN (bersaiz 4 inci x 4 inci)
3 biji buah pir (bersaiz sederhana)
6 camca teh gula perang (kalau dapat guna 'dark brown sugar')
6 camca teh whipping cream
Sedikit garam
Telur, dipukul sedikit, untuk menglis puff pastry tadi

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Buah pir dikupas, belah dua setiap satu. Buang bahagian tengahnya dan rendam untuk mengelakkan buah pir bertukar warna. Sementara itu panaskan oven pada suhu 200C. Ambil sekeping puff pastry, kemudian buat seperi dalam gambar rajah di atas atau anda boleh rujuk pada video di atas ini dan alih ke dalam dulang pembakar.
  2. Toskan buah pir tadi, ambil 1 bahagian dan hiris sederhana tebal dan susun atas puff pastry tadi. Buat hingga siap. Kemudian taburkan setiap satu dengan gula perang. Sudukan pula whipping cream atasnya. Tabur sedikit garam (jangan banyak, secubit saja yea).
  3. Akhir sekali sapu tepi2nya dengan telur. Buat hingga siap dan bakar selama 25 minit atau hingga perang keemasan (che mat hidupkan kipas pada oven bila membakar puff pastry). Dan permukaan buah pir kelihatan perang sedikit. Bila masak, biarkan sejuk sedikit atas dulang pembakar, kemudian alihkan atas jaringan dan biar sejuk. Ayak sedikit gula aising jika suka. Boleh hidangkan.

Monday, 25 August 2014

LEMAK CILI PADI UDANG SAMA REBUNG MADU..

rsz_1udang_lemak_rebung
Assalammualaikum, salam Selasa. Masak apa hari ni?..atau masih ada undangan rumah terbuka di akhir syawal?. Hari ni nak berkongsi resipi lemak cili padi udang sama rebung madu yang che mat masak Sabtu lepas, errr...bukan masak hari ni. Kebetulan kami menerima kedatangan saudara dari Negeri Sembilan dan juga teman che mat, Ady Budika dan isteri, Sunah Mohammad. Ini antara juadah tradisi yang dihidangkan selain menu2 biasa. Che mat guna udang kaki merah dan dicampur dengan rebung madu. Rebung madu che mat beli yang memang telah siap disiang, dan berendam. Cuma masa nak masak tinggal toskan, cuci sekali lagi dan boleh guna. Selain udang, anda juga boleh masak dengan babat atau daging salai. Disebabkan kuantiti agak banyak, che mat guna 2 biji kelapa....phewww, mewah kan..hehe....nak resipi?....Seperti berikut...

BAHAN-BAHANNYA :-)
20 ekor udang kaki merah bersaiz sederhana
600 gram rebung madu yang telah siap dihiris
3 batang serai, diketuk
2 helai daun kunyit, disiat
1 keping asam gelugor
1800 ml santan cair
500 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
30 biji cili padi kampung (che mat campur yang merah dan hijau)
1 inci kunyit hidup
6 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Udang dibersihkan, buang kaki2 kecilnya dan juga kotoran dibahagian kepala udang. Cuci dan toskan. Rebung dihiris nipis, kemudian celur dalam air mendidih yang ditambah sedikit garam, toskan (che mat beli yang dah siap berebus, cuma tinggal cuci dan toskan). Ketepikan.
  2. Masukkan rebung, udang, serai titik dan bahan2 kisar halus ke dalam periuk. Gaul rata dan masak hingga mendidih. Tuang santan cair, kacau rata dan biar mendidih. Tambah daun kunyit dan kacau.
  3. Tuang pati santan, kacau perlahan dan tambah garam secukup rasa dan sedikit gula. Biar mendidih dengan api kecil, kacau sentiasa untuk mengelakkan santan pecah. Masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api, boleh hidangkan.

KERANG MASAM MANIS

rsz_keranggg_masam_manis
Salam semua, walaupun che mat makan char kuey teow siang tadi, tapi tetap juga masak untuk mereka yang makan nasi. Menu simple saja, ada labu masak lemak, ikan bawal goreng kunyit, sambal belacan (yang ni omak den yang hompuk) dan kerang masam manis. Untuk kerang masam manis, che mat guna isi kerang kurang lebih 2 cawan macam tu. Sebab kurang pedas che mat hempuk2kan 7-8 biji cili padi dan masukkan ke dalamnya (kalau tak tahan pedas, boleh kurangkan atau tak perlu letak). Menu ini simple dan mudah disediakan. Kalau anda suka ia lebih manis, boleh tambah sedikit gula. Tapi che mat tak letak gula sebab dah guna sos cili thai yang memang dah manis. Sedap dimakan bersama nasi putih. Kalau anda tak makan kerang, boleh ganti dengan daging atau fillet ikan, kalau guna fillet ikan anda perlu goreng dulu. Resipi seperti berikut..

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 cawan isi kerang (guna kerang segar, rebus dan ambil isinya)
1 pokok kecil daun ketumbar, hiris halus
1 biji bawang besar, hiris bulat dan leraikan
1 camca besar sos plum
2 camca besar sos cili thai
7-8 biji cili padi, diketuk
Sos ikan secukup rasa (kurang lebih 1 camca teh)

BAHAN-BAHAN TUMBUK HALUS :-)
4 biji cili merah
2 ulas bawang putih
5 biji bawang merah kecil

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan 3 camca besar minyak, tumis bahan tumbuk halus hingga harum. Masukkan sos cili thai dan sos plum, kacau rata dan masak hingga naik minyak. Masukkan cili padi dan kerang. Kacau rata.
  2. Tambah hirisan bawang besar dan perasakan dengan sos ikan secukup rasa. Masak hingga pekat. Akhir sekali tambah hirisan daun ketumbar. Kacau rata dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hias dengan daun ketumbar sebelum dihidangkan. Sedap dimakan bersama nasi panas....Selamat mencuba!!.

CHAR KUEY TEOW

rsz_kuey_teow_gorengg1

Assalammualaikum, salam Isnin. Dah macam musim tengkujuh pulak kan sekarang ni. Kampung che mat pun sejak2 ni hujan. Cuaca pun mendung. Nasib baik pagi cuaca agak panas, boleh gak lah kain baju kering. Hari ni che mat skip makan nasi, bosan lah. Jadi ku goreng kuey teow. Plan asal nak buat mi hailam, tapi tiba2 selera bertukar nak char kuey teow pulak. Udang ada sikit, termasuk kerang. Memang ngam sangat lah kan. Che mat goreng kurang lebih 150 gram kuey teow saja. Resipi amat mudah dan senang dibuat. Dan sedap dimakan panas nak2 dengan cuaca sejuk...ehemm...

rsz_kuey_teow_goreng

Dalam gambar tu apa yang buat anda kecur selain limau kasturi?...Sah2 cili jeruk tu kan, apa lah makna makan char kuey teow tanpa cili hijau jeruk. Anda boleh buat cili hijau jeruk ekspress, ambik 2-3 biji cili hijau segar, cuci dan potong kasar. Celur 30 saat dengan air panas, toskan. Kemudian rendam dalam 1/3 cawan cuka makan JALEN yang ditambah 1 camca teh gula dan 1/4 camca teh garam. Kacau rata dan biar 30 minit. Lepas tu dah boleh dimakan bersama char kuey teow atau mi hoon goreng atau apa2 sajalah yang sesuai. Ok, jomm kita buat char kuey teow...lepas tu boleh dimakan panas2...

BAHAN-BAHANNYA :-)
150 gram kuey teow (kurang lebih), cuci dan toskan
10 ekor udang saiz sederhana, dibersihkan
1 genggam isi kerang
1 camca besar cili kisar
1 camca teh kicap pekat JALEN
1 camca besar kicap lemak manis JALEN
1 biji telur, pukul sedikit
2 ulas bawang puith, cincang halus
1 mangkuk kecil taugeh, dibersihkan
10 tangkai kucai, dipotong pendek
Sos ikan secukup rasa
1/4 cawan air
Cili hijau jeruk, jika suka
Sebiji limau kasturi, dibelah dua

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Panaskan 3 camca besar minyak masak, tumis bawang putih hingga harum, masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing. Masukkan kicap pekat dan kicap manis, gaul rata. Tambah udang dan isi kerang, kacau dan masak sekejap. Guna api kecil.
  2. Tambah air, kacau dan bila pekat. Masukkan kuey teow, gaul rata. Buat lubang ditengah2 kuey teow tadi, masukkan telur dan biar telur mengental. Kacau rata dan gaul dengan kuey teow. Tambah sos ikan secukup rasa dan kacau lagi.
  3. Akhir sekali masukkan taugeh dan kucai. Kacau dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan panas bersama cili hijau jeruk dan belahan limau kasturi..enak dimakan panas2..

Sunday, 24 August 2014

GULAI KETAM GAYA JOHOR..

rsz_gulaiii_ketam
Assalammualaikum, cuaca mendung dan hunjan kat sini...dingin dan nyaman saja. Entri hari ni che mat masukkan gulai ketam gaya Johor. Alaa, jangan lah risau sangat, ni gulai biasa2 saja, sama macam masak lemak yang anda masak, tapi yang ni che mat masak. Ketam bunga yang che mat guna ni bersaiz besar juga, 4 ekor saja dah 1 kg lebih. Yang penting ketam segar dan isinya padat. Kata orang nak isi ketam yang padat, kena beli masa bulan gelap, dan pilih yang berat. Sebab saiz ketam ni besar, che mat kerat dua setiap seekor. Ketuk sedikit penyepitnya biar retak, ini bertujuan untuk memudahkan isi ketam dikeluarkan. Che mat gandingkan dengan timun. Mencampurkan timun sudah menjadi kebiasaan kami bila masak gulai ketam atau udang. Boleh juga digantikan dengan belimbing buluh atau pucuk ubi. Ok jomm kita masak ketam...

BAHAN-BAHANNYA :-)
4 ekor ketam bunga saiz XXL (kurang lebih 1.3 kg)
1 biji timun saiz besar
3 batang serai, diketuk
2 helai daun kunyit, disiat
1 keping asam gelugor
1 liter santan cair
500 ml pati santan
Air jika perlu
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
7 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
3 biji cili merah
15 biji cili padi kampung
1/2 inci belacan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ketam dibersihkan, kemudian kerat 2 setiap 1, cuci bersihkan dan masukkan ke dalam periuk bersama bahan2 kisar halus, serai titik dan asam gelugor. Kacau dan masak hingga mendidih. Sementara itu, kupas kulit timun, kerat 3, kemudian kerat 4 untuk setiap keratan. Buang empulurnya dan ketepikan.
  2. Tuang santan cair ke dalam periuk, kacau dan biar mendidih. Tambah air jika perlu. Masukkan timun, tambah daun kunyit dan masak sekejap. Tuang pati santan dan masak dengan api kecil hingga timun lembut tapi tidak lembik. Kacau sentiasa.
  3. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau dan masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih, telur dadar dan sambal belacan.

Friday, 22 August 2014

RENDANG HATI LARA....

rsz_rendang_hati
Assalammualaikum, salam Jumaat semua. Sebelum itu Al-fatihah untuk jenazah2 mangsa nahas MH17 berugama Islam, yang telah selamat sampai ke tanah air dan dikebumikan. Moga Allah mencucuri rahmat ke atas roh2 mereka....aminn. Semalam che mat plan nak masak rendang kerang, tapi disaat2 akhir bertukar rendang hati. Bak memang gemar hati lembu, selain dimasak kicap atau lempap, rendang antara hidangan kegemarannya, janji jangan pedas (tapi che mat masukkan juga cili padi sikit...ehemm). Hati lembu pada pendapat che mat tak boleh dimasak terlampau lama, nanti ia akan menjadi keras. Bagi anda yang tak gemar hati lembu, boleh lah ganti dengan ayam atau daging. Resipi ini che mat gunakan 1 kati hati lembuu atau 600 gram. Pilih hati lembu yang kemerahan untuk mengelakkan rasa dan bau yang kurang enak...Resipi seperti berikut...

BAHAN-BAHANNYA :-)
600 gram hati lembu yang segar
4 camca besar cili kisar
2 camca besar kerisik
1 camca besar ketumbar biji*
1/2 camca teh jintan kasar*
1/2 camca teh jintan halus*
1 camca teh lada hitam*(*disangai hingga harum dan kisar halus)
4 helai daun limau purut
2 helai daun kunyit, mayang halus
1 cawan pati santan
1 keping asam gelugor
1 camca besar gula melaka
Garam secukup rasa

BAHAN KISAR HALUS :-)
8 biji bawang merah kecil
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1/2 inci lengkuas
2 biji buah keras, hiris
1 inci kunyit hidup
10 biji cili padi
5 batang serai, hiris halus

BAHAN-BAHAN TUMIS :-)
4 biji bawang merah, hiris
1 ulas bawang putih, hiris
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
5 kuntum bunga cengkih
2 biji buah pelaga

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Hati lembu dihiris nipis, cuci dan toskan. Gaul dengan 1camca besar tepung gandum hingga rata dan perap 10 minit, kemudian cuci kembali hingga bersih dan toskan. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 1 cawan). Masukkan bahan2 tumis dan tumis hingga harum dan bawang perang. Tambah bahan2 kisar halus, kacau dan masak hingga wangi.
  2. Masukkan cili kisar dan rempah2 yang dikisar halus tadi. Kacau dan masak dengan api sederhana hingga naik minyak, kacau selalu. Tuang santan, kacau dan masak hingga pekat. Tambah hati lembu, gaul rata dan masak hingga pekat.
  3. Tambah kerisik, gula melaka, daun limau purut dan asam gelugor. Kacau dan perasakan dengan garam secukupnya. Masak hingga kering sedikit, akhir sekali tambah daun kunyit yang dihiris halus tadi dan kacau rata. Masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api. Sedap dimakan bersama nasi panas, roti, ketupat atau lemang.

Thursday, 21 August 2014

CENDAWAN GORENG SERBUK ROTI..

rsz_cendawan_bread_crumb
Cendawan goreng serbuk roti ini che mat buat bulan puasa lepas, disebabkan agak sibuk, sampai terlupa untuk dijadikan entri. Tadi masa kemas2 folder, ternampak gambar cendawan goreng serbuk roti dan terus che mat jadikan ia sebagai entri ke dua untuk hari ini. Kalau ikutkan ia tak perlu resipi yang khusus kerana amat mudah dibuat. Che mat guna cendawan tiram. Cendawan tadi dilap dengan tissue dapur yang telah dibasahkan, jangan cuci, nanti ia akan lembik dan murah menyerap minyak. Gunakan serbuk roti warna kuning yang boleh anda beli dikedai2 menjual bahan2 baking. Sedap dimakan sebagai cemilan waktu petang, dicicah sos kegemaran anda atau nak rasa lenih enak, che mat cadangkan anda cicah dengan sos seribu pulau @ sos thousand island...Nak membuatnya cukup mudah...

BAHAN-BAHANNYA :-)
300 gram cendawan tiram
3 putih telur*
Sedikit garam*
1/2 camca teh lada sulah*(*disatukan dan kacau rata)
Serbuk roti secukupnya (che mat guna yang kaler oren)
Sos kegemaran anda (che mat guna sos thousand island)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Cendawan tiram dilap setiap satu dengan tissue dapur bersih yang telah dilembapkan. Ketepikan. Sedia kan bekas, panaskan minyak untuk goreng terendam, pastikan minyak tidak terlalu panas.
  2. Ambil sekeping cendawan (kalau besar, anda boleh potong dua). Celup dalam putih telur, kemudian golek2kan dengan serbuk roti. Celup sekali lagi dalam putih telur dan golekkan sekali lagi dengan serbuk roti. Letak dalam satu bekas. Buat hingga siap.
  3. Goreng cendawan tadi hingga kuning keemasan. Angkat, toskan minyaknya dan letak atas tissue dapur agar lebihan minyak terserap. Hidangkan panas bersama sos kegemaran anda..

Wednesday, 20 August 2014

SAMBAL TUMIS IKAN BILIS SAMA PETAI...

rsz_samball_bilis_petai (1)
Petai atau nama saintifiknya 'parkia speciosa' menjadi makanan kegemaran orang2 nusantara terutama di Malaydia, Indonesia, Singapura, Brunei dan Thailand. Baunya yang agak kuat dan rasa lemak2 pahit menjadi pilihan untuk dibuat sambal tumis, dimasukkan ke dalam gulai, dibikin jeruk atau dimakan sebagai ulam. Entri yang anda lihat ni che mat masak semalam. Kebetulan tu hari masa singgah di Rengit, ternampak orang jual petai, 1 ikat 4 papan = RM 4, kalau beli 2 ikat RM 7. Ok, kita ambik 1 ikat sudah lah, mata boleh tahan besar dan yang penting petainya elok tiada 'penunggu'. Che mat perasan kesilapan orang kita kalau beli petai, mereka suka beli yang panjang2. Kalau kontot2 tak nak, tapi mereka tak perasan petai yang panjang tu jarak ulas isi petainya jarang2 berbanding petai yang pendek. Kalau rajin, anda cuba kira, kemungkinan besar petai pendek punya ulas isi petai yang lebih dari yang panjang. Tapi itu kalau anda beli seikat dua macam che mat lah. Dan demi memenuhi idaman tekak, maka ku jelmakan stinky beans tadi menjadi sambal tumis sama ikan bilis...ehemm...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 genggam ikan bilis yang telah dibersihkan, direndam 5 minit dan toskan
2 papan petai, ambik isinya
1 biji bawang besar, hiris kasar
1/2 camca besar pes asam jawa
1 senduk nasi penuh cili kisar
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN KISAR HALUS :-)
6 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1/2 inci belacan
3 biji cili merah

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam kuali, anggaran 1/2 cawan. Tumis bahan2 kisar halus hingga harum, masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing dan naik minyak, guna api kecil dan kacau sentiasa. (minyak berlebihan tu anda boleh cedok keluar kemudian).
  2. Masukkan pes asam jawa dan petai, kacau rata dan jika perlu tuang sedikit air, masak hingga petai lembut sedikit. Tambah ikan bilis dan hirisan bawang besar, kacau. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula (anggaran 1 camca besar). Kacau dan masak hingga pekat. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi atau boleh dicicah dengan lempeng, roti dan sebagainya..

RESIPI MAGGI TOMYAM KAMBING

rsz_maggi_tomyam_kambeng
Nampak sedap kan maggi tomyam kambing dalam gambar tu?...Tempoh hari masa che mat menerima kunjungan Ben Ashaari serta teman2 dari KBBA, che mat ada masak maggi tomyam kambing, tapi tak banyak, jadi masa tu siapa cepat dia dapat. Hari ni che mat masak untuk diri sendiri pulak. Sebabnya, che mat sorang2 kat rumah dan malas nak masak apa2. Jadi bolehlah buat apa yang kita suka...errr..sekali2 ok lah kan..kalau selalu kang, takut KO pulak. Che mat guna dalam 4 ketul daging kanbing yang telah direbus bersama halia, bawang putih, serai dan lengkuas. Kemudian baru kita gunakan air rebusan untuk kuah tomyam maggi. Sedap ke?...hmmm..opkos lah sedap...nak lagi berasap, hempukkan 5-6 biji cili padi, boleh berasap telinga....Kalau anda nak cuba, che mat tuliskan resipi seperti dibawah ini..

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 paket mi maggi tomyam, asingkan perencahnya
4 - 5 ketul daging kambing, dicuci bersih*
1 batang serai, diketuk*
3 ulas bawang putih, diketuk*
1/2 inci halia, hiris*
3 keping hirisan lengkuas*
Air secukupnya (anggaran 2 liter)*(*rebus hingga daging kambing empuk)
4 biji bawang merah kecil. hiris
1 ulas bawang putih, hiris
6 biji cili padi kampung, diketuk
1 helai daun limau purut
3 kuntum cendawan butang, hiris
4 biji tomato ceri, belah 2 setiap 1
1 biji limau kasturi, belah 2
Hirisan daun ketumbar, untuk hiasan
Bawang goreng, untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan 1 camca besar minyak dalam periuk atau kuali, tumis bawang putih, bawang merah dan cili padi hingga harum, kemudian masukkan air rebusan daging kambing (dalam 3 cawan). Kacau dan tambah perencah tomyam yang disertakan dalam paket maggi tadi. Kacau rata dan biar mendidih.
  2. Tambah daun limau purut dan daging kambing rebus tadi. Masukkan cendawan dan mi. Masak hingga maggi lembut. Tambah tomato, masak sekejap dan rasa, jika ok boleh matikan api. Tabur hirisan daun ketumbar, bawang goreng dan perahkan jus limau kasturi sebelum dihidangkan.
CATATAN MAT GEBU :- Che mat rebus daging kambing dalam periuk tekanan dan mengambil masa kurang lebih 20 minit. Sebab rebus dalam periuk tekanan, hanya gunakan 4 cawan air...Selamat mencuba!.

Tuesday, 19 August 2014

GULAI PEDAS SIPUT SEDUT..

rsz_sipot_sedot_masak_lemak
Siput sedut...satu hidangan yang boleh dikatakan agak klasik untuk masyarkat kita terutama di Malaysia dan Singapura. Ada yang panggil siput sedut ni 'belitong'. Dan kalau tak silap che mat. Di sungai air tawar pun ada siput sedut macam ni, tapi kulit dia lebih licin sedikit. Yang tu tak pernah makan, tapi kalau siput sedut biasa tu memang menjadi kegemaran keluarga kita orang, terutama Bak. Bila masak siput sedut, che mat kena ikut selera Bak, dia lebih gemar masak lemak sama batang keladi. Satu lagi bila memotong siput, gunakan "ragum" agar potongan lebih kemas dan memudahkan kerja anda, bagi yang tak pasti rupa 'ragum' anda boleh lihat di sini. Bagi yang tak suka pedas, anda boleh guna cili merah dan buang bijinya. Che mat guna cili merah dan 15 biji cili padi kampung. Resipi memang mudah. Kalau nak mencuba, che mat tuliskan seperti dibawah ini..

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 kg siput sedut
1 pokok keladi sayur @ keladi minyak, siang potong dan celur sekejap, toskan
3 batang serai, diketuk
2 helai daun kunyit, disiat
1 keping asam gelugor
1500 ml santan cair
400 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
5 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
1/2 inci belacan
2 biji cili merah
15 biji cili padi kampung

CARA MEMBUATNYA:-)
  1. Letak siput dalam baldi, tabur hampas kelapa dan biarkan semalaman, pastikan anda tutup permukaan baldi dengan tapis dan tindih dengan benda berat untuk mengelakkan siput keluar (ada juga yang conteng kapur sireh di sekeliling baldi untuk mengelakkan siput keluar, yang ni che mat tak pernah cuba lagi). Keesokkannya cuci bersih siput tadi dan toskan. Kerat bahagian bucu siput kira2 3 senggan dari bahagian atasnya. Buat hingga siap dan cuci sekali lagi dan toskan.
  2. Masukkan ke dalam periuk bersama2 bahan kisar halus dan serai titik. Kacau rata dan masak hingga siput berubah warna. Tuang santan cair dan biar mendidih. Masukkan batang keladi, asam gelugor dan daun kunyit. Kacau perlahan. Biar masak sekejap.
  3. Tuang pati santan, perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau dan masak dengan api kecil hingga mendidih. Biar batang keladi lembut, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas, sambal belacan dan ikan goreng atau ikan masin.

Monday, 18 August 2014

PERIA KAMBAS TUMIS TAUCO SAMA UDANG...

rsz_periaaa_kambas_udang_tauco
Assalammualaikum, salam Selasa...lepas2 raya ni macam lemau aje nak update blog, tapi dalam masa sama che mat ucapkan terima kasih banyak2 sebab anda masih sudi singgah dan beri sokongan pada blog ini. Sebenarnya dalam beberapa hari ini che mat baru dapat keluar beraya. Kesian kan che mat. Dan dalam masa yang sama, che mat kena gak masak untuk yang tinggal kat rumah, tapi menu yang che mat masak hanya yang biasa2. Maklumlah lepas2 raya mana boleh nak asak sangat tekak dengan makanan2 berempah. Menu biasa2 hari ini mungkin anda telah tengok beberapa kali di blog che mat, dan ia menjadi kegemaran Bak. Peria kambas tumis tauco sama udang yang begitu enak dimakan bersama nasi panas berserta sambal belacan dan ikan kembung yang digoreng lembap2....ehemm...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 biji peria kambas saiz sederhana
12 ekor udang saiz besar, dibersihkan
1 camca besar tauco
1 camca besar sos tiram
1 biji bawang besar, hiris
1/4 cawan air
Garam secukup rasa

BAHAN TUMBUK HALUS :-)
5 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
2 biji cili merah
1/2 kiub pati ikan bilis

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Peria dibelah dua, buang bahagian dalamnya, kemudian hiris, jangan terlalu tebal. Rendam dalam air yang dicampur garam selama 15 minit. Udang dibuang kulit, belah sedikit bahagian belakangna dan buang urat. Cuci dan toskan. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 3 camca besar), tumis bahan2 tumbuk hingga harum. Masukkan sos tiram dan tauco, kacau rata dan masak hingga harum, guna api kecil dan kacau selalu.
  3. Masukkan udang, kacau dan tambah air. Bila udang bertukar warna, masukkan peria tadi (toskan dahulu). Gaul rata dan masak dengan api sederhana hingga peria lembut. Rasa dan jika perlu tambah sedikit garam. Masak sejekap dan boleh diangkat. Hidangkan bersama nasi panas, ikan goreng dan sambal belacan..

Friday, 15 August 2014

SARDINE CILI PADI......LAUK LEPAS GIAN...

rsz_sardine_cili_padi (1)
Rasa macam tak de masakkan sehebat sardine yang ditumis dengan cili padi yang ditumbuk, halia dan taruk bawang yang agak banyak dan diakhiri dengan perahan jus limau kasturi yang menggetarkan nafsu. Kalah rendang ayam, atau kambing golek bila ia dimakan bersama nasi panas yang dicurah kicap lemak JALEN...ohhh heaven sangat. Che mat memang suka lebihkan bawang besar. Kalau ada leek atau batang bawang, pun sedap dicampurkan sekali. Lepas2 raya ni, menu sardine lebih enak. Kalau nak tambah menu sampingan, anda boleh goreng telur dadar. Siapa tak reti masak sardine?...Mesti semua tau yea tak, dari yang bujang sampai yang dah jadi nenek, mesti pernah masak sardine. Tapi che mat nak share juga cara che mat masak....Jomm..

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 tin saiz sedang sardin Ayam Brand
1 biji bawang besar, hiris bulat dan leraikan
1/2 inci halia, hiris nipis
2 ulas bawang putih, hiris
1 biji cili merah, hiris serong
10 biji cili padi, tumbuk halus
2 biji limau kasturi, perah jusnya
Sos ikan atau garam secukup rasa
Sedikit hirisan daun bawang untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan 2 camca besar minyak masak, tumis halia, bawang putih dan cili padi tumbuk hingga harum. Masukkan bawang besar dan cili merah. Kacau rata dan masak hingga bawang dan cili layu.
  2. Masukkan sardine bersama sosnya sekali. Kacau rata dan tuang sedikit air (anggaran 1/4 cawan). Biar mendidih. Perasakan dengan sos ikan secukup rasa atau garam. Masak hingga pekat, akhir sekali tambah jus limau kasturi, kacau dan rasa, jika ok boleh matikan api. Tabur hirisan daun bawang sebelum dihidangkan..

Thursday, 14 August 2014

SAMBAL GORENG HITAM MANIS..

rsz_samball_goreng_berkicap
Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat bikin sambal goreng hitam manis...apa?...tak nampak hitam pun?..Dah nama pun hitam manis, kalau gelap sangat, dah jadi hitam legam. Sebenarnya che mat buat sambal goreng ni untuk melicinkan saki baki bahan2 dalam peti sejuk termasuk tempe dan tauhu serta kacang buncis. Kalau tak dijadikan sesuatu dalam masa terdekat, sah2 itu barang semua jadi arwah...membazir...dan seperti anda tau membazir itu amalan syaitan...kan...kan.... Lagi pun Bak memang suka sambal goreng, janji jangan pedas. Kalau pedas...'nko makan sesorang!'. Kalau ada ketupat lagi ngam. Mungkin anda ada tersendiri untuk memasak sambal goreng, dan che mat masak jenis yang mudah saja. Guna rencah udang kering. Terpulang pada anda nak guna ikan bilis atau udang basah. Resipi seperti berikut dan boleh anda cuba jika ingin hidangan yang bernuansakan ke melayuan untuk hidangan rumah terbuka sempena bulan Syawal yang masih bersisa...

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 keping tempe. didadu dan digoreng
2 keping tauhu, didadu dan digoreng
10 tangkai kacang buncis, hiris serong
2 biji kentang saiz kecil, kupas, potong dadu dan digoreng
20 gram tauhu kering atau fucuk, potong kecil dan rendam hingga lembut
1/4 bahagian kobis saiz kecik, hiris halus, cuci dan toskan
1 biji cili merah, hiris
1 biji cili hijau hiris
8 biji bawang merah, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
1 camca besar udang kering, rendam 10 minit, toskan dan tumbuk hancur
3/4 camca teh pes asam jawa
1 camca besar penuh cili kisar
1/2 camca besar kicap pekat JALEN
2 camca besar kicap lemak manis JALEN
Garam jika perlu

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 4 camca besar). Tumis bawang merah dan bawang putih hingga harum, masukkan udang kering dan goreng sekejap. Tambah cili kisar dan pes asam jawa, masak hingga cili garing.
  2. Masukkan tempe, tauhu, fucuk (toskan) dan kentang. Gaul rata dan tuang sedikit air. Masak hingga fucuk lembut. Tambah kacang buncis, kobis, kicap lemak manis dan kicap pekat. Gaul rata, masukkan hirisan cili merah dan cili hijau, kacau rata.
  3. Akhir sekali masuk soo hoon, kacau dan rasa, jika perlu baru tambahkan sedikit garam. Masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi atau ketupat..

Monday, 11 August 2014

GULAI CILI PADI TULANG RUSUK...

rsz_gulai_tulang_rusuk
Assalammualaikum, masak apa ni hari?...Lepas2 raya ni kalau dapat nak makan yang simple2 saja. Semalam che mat masak gulai cili padi tulang rusuk, errr...ni bukan simple, kira berprofile tinggi gak kan. Tulang rusuk lembu yang che mat guna ni kurang lebih 1.2 kg, dengan isi yang masih melekat. Ada 2 batang rebung madu, che mat masukkan sekali. Masakan ini agak pedas, tapi toksah risau, anda boleh kurangkan penggunaan cili padi jika tak tahan pedas. Kalau tak suka rebung, anda boleh ganti dengan kentang. Che mat masak terus dalam periuk tekanan, tapi tak letak santan dulu. Anda boleh juga rebus terlebih dahulu hingga daging pada tulang rusuk tadi empuk, toskan dan baru dimasak gulai. Ada orang tak ambik air rebusan untuk mengelakkan kandungan lemak yang berlebihan. Ini bergantung pada anda samada nak guna air rebusan tu atau pun dibuang...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1.2 kg tulang rusuk lembu yang masih ada daging
2-3 batang rebung madu, hiris nipis dan celur,toskan
3 batang serai, diketuk
2 helai daun kunyit disiat
2 keping asam gelugor (kalau saiz besar, guna sekeping)
1 liter santan cair
400 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa
Air jika perlu

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
30 biji cili padi
1 inci kunyit hidup
1 inci halia
6 biji bawang merah
2 ulas bawang putih

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Tulang rusuk lembu dicuci, gaul dengan 1 camca besar tepung gandum dan perap 15 minit, kemudian cuci hingga bersih dan toskan. Ok, ada 2 cara, anda boleh rebus hingga daging pada tulang rusuk tadi empuk, atau boleh masak terus dengan bahan2 kisr halus. Che mat tulis cara che mat masak..
  2. Masukkan tulang rusuk lembu ke dalam periuk bersama bahan2 kisar halus dan serai titik. Gaul rata dan masak hingga mendidih. Tuang santan cair dan masak hingga mendidih. Biar hingga daging lembut, tambah air jika perlu. Masukkan rebung dan masak lagi hingga rebung empuk.
  3. Tambah asam gelugor dan tuang pati santan. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau dan biar mendidih dengan api kecil. Tambah daun kunyit, masak sekejap dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas dan lauk2 lain.

Sunday, 10 August 2014

LAKSA JOHORE...PENUTUP MAJLIS...

rsz_laxsa_johore

Assalammualaikum, dalam sejarah che mat berblog, ini pertama kali bercuti selama 2 minggu.Bukan tak masak, bukan tak sihat atau bukan malas, cuma masa amat2 tidak mengizinkan che mat untuk mengadap laptop, nak pegang kamera pun tak sempat. Kena pulak hari raya, tak perlu cerita lah...hampir sepanjang 2 minggu itu hanya 1-2 hari saja yang takde tetamu. Hari2 lain tu, ada saja tetamu...alhamdulillah. Semalam che mat menerima kedatangan Ben Ashaari serta sahabat2 dari Kelab Blogger Ben Ashaari. Dan che mat sempat masak lah yang ala kadar saja. Menu utama Laksa Johore, lepas tu ada lah juga buat nasi ayam, kek ala tiramisu dan fruit tart serta cheese tart...yang dua ni che mat order dari orang sekampung yang memang berniaga cheese tart dan fruit tart...err tu aje lah yang mampu diadakan...biasalah lone ranger, bikin setakat yang termampu...

rsz_laxsa_johore1
Sebelum ni pun memang che mat dah pernah buat laksa Johor. Kalau anda perhatikan, hanya laksa Johor yang mengguna spaghetti sebagai 'mi laksa'. Ini mungkin pengaruh dari negara Barat, namun tetap ada ciri2 kemelayuan. Dalam kuah laksa Johor, ada 4 bahan utama yang memberi rasa dan kelainan. Isi ikan, samada ikan kembong, ikan selayang/ikan sardine atau ikan tenggiri. Kalau yang asli atau authentic, orang Johor guna ikan parang. Udang basah, udang kering dan isi ikan masin kurau. Semuanya dikisar halus untuk kuah laksa Johor. Ulam2mannya biasa saja, yang penting harus ada daun selasih, bunga kantan dan daun kesom. Kerisik dan santan antara bahan2 penyedap...ok kalau nak mencuba, resipi seperti berikut...

BAHAN-BAHAN KUAH LAKSA JOHOR :-)
1 kg ikan ikan kembong @ ikan selayang
250 gram isi udang
Isi ikan kurau masin sebesar 3 inci x 3 inci, rendam
4 camca besar udang kering, rendam hingga lembut.
2 camca besar kerisik
1/2 inci lengkuas, dititik
3 keping asam gelugor
1 biji bawang besar*
2 ulas bawang putih*(*kisar halus)
2 camca besar cili kisar
2 camca besar rempah kari daging
2 camca besar ketumbar serbuk
1 camca besar jintan manis serbuk
1 1/2 liter santan kelapa
1 genggam daun kesom
2 kuntum bunga kantan, belah dua setiap satu
Sedikit daun selasih
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN ULAMAN :-)
Taugeh, dibuang ekor, cuci dan toskan
Kacang panjang, dihiris halus
Daun kesom, hiris halus
Daun selasih, hiris halus
Timun, ambil bahagian luar dan buang empulurnya, hiris halus
Bawang besar, hiris halus

BAHAN-BAHAN LAIN :-)
Sambal belacan
Spaghetti, direbus hingga lembut dan toskan, gaul dengan sedikit minyak makan, kemudian  di "chap" (dibuat sanggul)
Limau kasturi secukupnya, dibelah dua

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK KUAH LAKSA JOHOR :- Satukan rempah kari, ketumbar serbuk, jintan manis serbuk, cili kisar dan bahan kisar halus, kacau rata dan ketepikan. Udang dicelur, asingkan kulitnya, kisar halus, ikan direbus, asingkan dari tulang, kisar halus, udang kering ditoskan, isi ikan kurau masin juga ditoskan dan potong kecil, kisar halus udang kering dan isi ikan kurau masin tadi. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk. Tumis lengkus, bahan kisar + rempah ratus tadi hingga harum, dan terbit minyak. Guna api kecil dan kacau selalu. Tuang santan dan juga stok air rebusan udang dan ikan. Kacau rata. Masukkan isi ikan kisar, udang kisar dan udang kering + isi ikan masin kurau kisar. Kacau hingga semua rata dan mesra. Biar mendidih.
  3. Masukkan kersik, asam gelugor, bunga kantan, daun kesom dan sedikit daun selasih. Kacau dan biar hingga sedikit pekat. Tambah garam secukup rasa dan gula secukupnya. Masak sekejap lagi, rasa dan jika ok boleh matikan api. Ketepikan.
  4. UNTUK LAKSA JOHOR :- Ambil secukupnya spaghetti yang telah di chap tadi ke dalam bekas sesuai. Tuang kuah laksa secukupnya, kemudian hias dengan bahan2 ulaman, letak sambal belacan dan juga belahan limau kasturi, hidangkan segera.
CATATAN MAT GEBU :- Kulit udang tadi dikisar dengan air rebusan dan tapis, begitu juga dengan tulang2 ikan, kisar halus dan tapis. Untuk sambal belacan , che mat tumbuk 5 biji cili merah + 6 biji cili padi + 1 inci belacan yang dibakar harum + secubit garam = tumbuk hingga halus, boleh hidangkan bersama laksa Johor tadi... Selamat mencuba!!..