Monday, 31 March 2014

MI GORENG PUN SEDAP JUGA....

rsz_mie_goreng_pekak
Salam semua, siapa suka mi goreng?...Mesti ramai yang suka, nak2 mi goreng panas yang masih berasap dan basah2 sikit (tapi ada juga yang lebih suka mi goreng yang agak kering, terpulang pada individu). Che mat buat mi goreng ni semalam, tapi tak sempat nak dijadikan entri blog, walaupun boleh dikatakan entri mi goreng bukan lah satu yang boleh dianggap 'hot', sebab ia benda biasa dan kerap dimasak oleh semua orang. Tapi...haa, masih ada tapi lagi, jangan ingat, semua orang 'boleh' masak mi goreng dengan jayanya. 'Mi goreng' bukan nko goreng mi tu dalam minyak panas macam pisang goreng yea, salah tu anak2.. Sebab che mat tau, masih ada yang teragak2 nak goreng mi dan mendapat rasa yang sedap (bukan lah che mat kata, che mat ni masak sedap, cuma tak sikit banyak boleh juga lah membantu dari segi idea bagi mereka yang rasa perlu, selebihnya terpulang pada citarasa anda). Oh yea...sebelum che mat tulis resipi, saja lah nak kasi tau...resipi2 dalam blog ini semua dari air tangan che mat, dan jika bukan che mat masak, memang che mat siap2 tulis dah...Berblog pun kena kejujuran......

BAHAN-BAHANNYA :-)
600 gram mi kuning, cuci dan toskan
1/3 cawan isi udang
5 - 6 ekor sotong saiz sederhana, potong bulat, cuci bersih dan toskan
2 keping tauhu, didadu dan goreng, toskan
1 cekak kucai, potong pendek
2 genggam taugeh, dibersihkan
2 biji telur, dipukul sedikit
4 biji bawang merah kecil, hiris
3 ulas bawang putih, cincang halus
1 camca besar sambal tumis (atau cili kisar)
1 camca besar sos tomato JALEN
2 camca besar sos cili JALEN
1 camca besar sos tiram JALEN
4 camca besar kicap lemak manis JALEN
1 camca besar kicap pekat JALEN
1 kiub pati ayam
1/3 cawan air
Hirisan daun bawang, untuk hiasan
Bawang goreng, untuk hiasan
Limau kasturi, belah 2, untuk dimakan bersama mi goreng
Cili jeruk untuk dimakan bersama mi goreng

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan 3 camca besar, tumis bawang merah dan bawang putih hingga harum, masukkan sambal tumis, sos cili, sos tomato dan sos tiram. Kacau rata dan masukkan udang, sotong serta tauhu goreng. Kacau rata dan tolak ke tepi kuali.
  2. Masukkan telur, biar telur kental dan kacau hancur, gaul rata. Masukkan kicap lemak manis dan kicap pekat. Kacau dan tuang air dan tambah kiub ayam. Biar mendidih. Masukkan mi kuning, gaul rata, masak dengan api sederhana. Tambah taugeh dan kuchai, kacau hingga semua rata. Rasa dan jika ok boleh matikan api.
  3. Tabur hirisan daun bawang, bawang goreng dan hidangkan bersama cili jeruk. Perahkan jus limau kasturi sebelum anda makan... Selamat menjamu selera!..

Sunday, 30 March 2014

LEMAK LABU MANIS SAMA PUCUK TURI SIMPUL.

rsz_gulai_labus
Salam semua, ini sebenarnya menu che mat masak semalam. Atas permintaan bonda. Labu manis yang che mat guna untuk masak ni pun petik kat belakang rumah, tu lah sebiji yang ada, jadilah dari tak menjamah langsung. Ada pulak daun turi, jadi masukkan sekali. Pokok turi yang che mat guna ni berlainan sedikit dari pokok turi biasa, kerana rasa nya lemak dan tidak ada langsung rasa pahit2. Jika diperhatikan che mat suka guna udang kering sebagai bahan perencah, ini kerana kami di Johor memang dah biasa gunakan udang kering untuk perencah dalam masakan. Mungkin di negeri lain pun sama juga, yea tak?...Che mat gandingkan masakan ini dengan sambal belacan dan ikan pekasam goreng, memang pengsan okeh. Resipi ini boleh dikatakan agak biasa dikampung2 dan cara memasaknya juga amat mudah....sebelum tu, sudikan lah melihat entri pilihan che mat di sini...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1/2 biji labu manis (che mat guna sebiji sebab labu tu kecik), kupas dan potong kiub besar2
1 cekak pucuk turi, disimpul, cuci dan toskan
2 batang serai, diketuk
1 biji bawang besar, hiris
4 ulas bawang putih, diketuk
1 genggam udang kering, cuci dan rendam sekejap, toskan dan tumbuk hancur
1200 ml santan cair
400 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Masukkan santan cair, bawang besar hiris, bawang putih, serai titik, udang kering tumbuk dan labu ke dalam periuk. Kacau rata dan masak hingga mendidih dan labu 1/2 empuk. Tambah daun turi yang disimpul tadi dan kacau perlahan2 agar simpulannya tak terbuka.
  2. Tuang santan pekat. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau perlahan dan biar mendidih dengan api kecil hingga labu empuk dan daun turi lembut. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi hangat, sambal belacan dan sambal tumis....

SAMBAL SOTONG DARA..

rsz_sambal_sotong2
Assalammualaikum, salam hujung minggu....err, ada ke yang kurang pasti hujung minggu tu hari apa?..Yelah nak2 sejak waktu bersekolah di negeri Johor ditukar pada hujung minggu...Hujung minggu tu dah semestinya hari Ahad. Teringat arwah mak long che mat yang menetap di Singapura dulu, kalau hari Sabtu dia panggil hari 'enam'.. Ok, hari ni che mat masak yang mudah2 sebab rasa dalam situasi malas memasak sekarang ni. Lama juga che mat tak masak sambal sotong segar, dan hari ni che mat masak sebab teringin sangat dah, gatal?...yang tu telah ku telan ubat, settle sudah. Cuma idok leer boleh nko hadap hari2 yeop sambal sotong macam ni, mau bergaru sakan kang. Resipi senang dan mudah dibuat, oh yea, lupa nak kabo, kenapa che mat kasi nama sambal sotong dara...ada kah sebab sotong itu masih dara?...errkkk...sebenarnya sotong tu dimasak sekor2 tanpa dikerat. Tapi kalau anda guna sotong bersaiz gadang, boleh lah kerat 2, tapi dah tak 'dara' lah namanya...

BAHAN-BAHANNYA :-)
400 gram sotong bersaiz sederhana (cuci bersih dan tak perlu dikerat, toskan)
1 senduk nasi penuh cili kisar
1 biji bawang besar, hiris bulat dan leraikan
3/4 camca besar pes asam jawa
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
7 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
4 biji cili merah, belah 2 dan buang bijinya
1/2 inci halia
3 biji buah keras, hiris
1/2 inci belacan, dibakar wangi

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam kuali, tumis bahan2 kisar halus hingga harum, masukkan cili kisar dan tumis hingga cili garing dan terbit minyak. Guna api kecil dan kacau selalu. Masukkan pes asam jawa, kacau rata.
  2. Masukkan garam dan gula secukup rasa. Kacau rata dan masa hingga sambal pekat. Tambah sotong dan bawang besar, gaul rata dan masak hingga sotong mengecut (kurang lebih 4 -5 minit, kalau masak lama2 nanti sotong liat), rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi dan lauk2 lain.

Saturday, 29 March 2014

ASAM PEDAS SIAM - RESIPI FUSION

rsz_asam_pedas_siam
Assalammualaikum, sehat?..Che mat baru dapat nak ngadap laptop dan konon2 merajinkan diri update entri. Sebenarnya macam tak kurang idea nak masak, tapi masih ada lagi, bukan kering kontang yea. Siang tadi che mat saja2lah buat satu resipi fusion atau resipi gabungan antara asam pedas dan tomyam dan che mat kasi nama, asam pedas siam. Rasa dia pun agak unik, antara tomyam dan asam pedas. Oleh sebab che mat ada ikan tongkol, jadi tu aje lah yang che mat guna. Ikan tongkol putih serisu sedap, isinya bukan sahaja lembut tapi rasa dia lebih sedap dari isi ikan tenggiri. Tak salah anda nak guna ikan lain, atau boleh ganti dengan ayam. Disebabkan ia gabungan antara asam pedas dan tomyam, maka ciri2 asam pedas kena lah ada dan diselit dengan aroma bahan2 biasa yang kita guna dalam tomyam. Rasanya sedikit masam tapi amat2 seimbang dengan rasa pedas dan aromanya yang begitu harum....Resipi seperti berikut.....

BAHAN-BAHANNYA :-)
600 gram kepingan ikan tongkol putih, cuci dan toskan
1 biji terung ungu, potong ikut suka dan rendam
1 biji tomato, potong 8
2 batang serai, diketuk
5 helai daun limau purut
1 pokok daun ketumbar, cuci bersih dan kerat kasar
10 biji cili padi, diketuk
1 camca teh pes asam jawa
1 senduk nasi penuh cili kisar
1 biji limau nipis, perah jusnya
1 kiub pati tomyam MAGGI
3 camca besar sos ikan
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1/2 inci kunyit hidup
1/2 inci halia
3 keping hirisan lengkuas
1/2 inci belacan dibakar

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/4 cawan). Tumis serai titik dan bahan2 kisar halus hingga harum. Masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing. Tambah pes asam jawa, kacau rata dan tuang air secukupnya (anggaran 1200 ml). Tambah kiub pati tomyam, kacau dan biar mendidih.
  2. Masukkan ikan, daun limau purut dan cili padi. Masak hingga ikan masak, tambah terung (toskan), sos ikan dan jus limau nipsi. Kacau perlahan dan perasakan dengan garam secukup rasa dan sedikit gula (rasa dulu baru tambah garam). 
  3. Akhir sekali masuk tomato dan daun ketumbar  tadi. Kacau dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas dan lauk lain.

Thursday, 27 March 2014

SINGGANG SERANI IKAN TUNA...

rsz_singgang_seranis
Assalammualaikum, salam semua. Baru berkesempatan mengadap laptop untuk update blog yang dah mula suam2 kuku. Che mat kurang aktif memasak dah sekarang ni, kalau masak pun yang mudah2 dan simple2 saja....errr percaya ke?...haishh ada yang kurang percaya nampak. Tengok aje lah entri hari ini, hanya satu menu yang ringkas dan telah berulang kali diulang tayang. Tapi ia tetap tidak menjemukan dan masih mendapat permintaan, alhamudlillah. Singgang serani ikan tuna yang che mat masak ni, selain mudah disediakan ia agak pedas dan hangat. Kali ni guna ikan tuna atau ikan tongkol atau ikan aye (nama berbeza2 ikut negeri dan daerah, tapi ia ikan yang sama), jenis putih. Ikan tuna jenis putih isinya lagi sedap dan lembut. Ok, macam mana nak tau beza ikan tuna putih dan ikan tuna hitam?...Apa yang che mat perasan, ikan tuna putih, dibahagian badannya terutama kawasan berhampiran ekor, ada seakan2 tompok2 warna putih, sementara ikan tuna hitam, ia bercorak seakan2 garisan  belang2 di bahagian atas badan. Rasa isinya juga ada beza, isi ikan tuna putih lebih lembut dari isi ikan tuna hitam....Resipi seperti berikut..

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 ekor ikan tuna putih (kurang lebih 600 gram), kerat dan cuci bersih, toskan
1 batang serai, dititik
2 keping asam gelugor (kalau besar, guna 1 )
1 kiub pati ikan bilis MAGGI (optional)
1 pokok kecil daun ketumbar, hiris
10 batang bendi muda, cuci dan toskan
1 biji tomato, belah 4 setiap 1
Air secukupnya
Garam secukup rasa

BAHAN-BAHAN TUMBUK LUMAT :-)
7 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
1 inci halia
1/2 inci lengkuas
1 inci kunyit hidup
1 camca teh lada hitam biji
8 biji cili padi
1/2 camca teh ketumbar biji

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Panaskan 3 camca besar minyak dalam periuk. Tumis serai titik hingga harum, masukkan bahan2 tumbuk hancur dan masak hingga wangi, guna api kecil dan kacau selalu. Tuang air secukupnya (anggaran 1 liter), kacau dan biar mendidih.
  2. Masukkan kiub ikan bilis (jika guna) dan ikan tuna, masak sekejap. Tambah asam gelugor dan bendi, masak hingga bendi lembut. Perasakan dengan garam secukup rasa dan akhir sekali masukkan hirisan daun ketumbar. Kacau dan masak sekejap. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi hangat dan lauk2 lain....

Tuesday, 25 March 2014

MI BANDUNG, BUKAN DARI INDONESIA...

rsz_mi_bandungs

Assalammualaikum, salam semua. Hari ini suasa agak pilu dengan berita mengenai pesawat MH 370 yang hilang di lautan hindi. Dan ini juga membuatkan mood che mat untuk memasak agar kurang, tidak bersemangat dan rasa ingin menumpukan perhatian di kaca TV sepanjang waktu. Namun tugas tetap perlu didahulukan, Al-fatihah untuk mangsa2 berugama Islam. Kita berbalik pada entri hari ini. Mi bandung satu menu yang popular di Negeri Johor terutama di daerah Batu Pahat dan Muar. Che mat sebenarnya merancang nak masak dari semalam, tapi semalam kami makan tengah hari agak lewat, sekitar jam 4.30 petang, jadi projek mi bandung ditunda ke hari ini. Nampak bess kan mi bandung kat atas tu...ehemmm....

rsz_mi_bandungs1

Resipi ini untuk 4 - 5 orang, bergantung pada saiz anak tekak atau napsu makan anda masa tu. Cara membuatnya agak senang dan pada che mat untuk mendapat kuah mi bandung yang enak, air rebusan daging atau tulang memainkan peranan penting. Kalau takde, anda boleh ganti dengan kiub pati ayam atau pati daging. Che mat masukkan sotong, udang dan daging sebagai perencah dan tak lupa udang kering yang dikisar halus. Sesuai dihidangkan untuk minum petang atau jamuan. Kalau untuk jamuan anda boleh asingkan mi dari kuahnya, che mat sendiri asingkan, bila nak makan baru dimasukkan mi ke dalam kuah dan hidangkan. Sebelum che mat tulis resipi, bagi anda yang tertanya2 dan sering menjadi persoalan perihal blog che mat, anda boleh baca di sini untuk penjelasan...harap soalan pada anda yang bertanya terjawab yea....Ok, jommm kita masak mi bandung yang tiada di Bandung!!!..

BAHAN-BAHAN KUAH MI BANDUNG :-)
100 gram daging, hiris nipis dan rebus hingga lembut, asingkan air rebusannya
10 - 12 ekor udang saiz sederhana, dicuci bersih dan toskan
4 ekor sotong bersaiz sederhana, dicuci dan kerat bulat
1 pokok sawi bok choi, siang berasingan batang dan daun, cuci dan toskan
1 biji tomato, didadu (che mat potong 8)
Sebesar penumbuk orang dewasa, bunga kobis, dipotong sekuntum2
3 camca besar penuh kacang tanah tumbuk
1 genggam udang kering, rendam 10 minit, tos dan perah*
2 biji bawang besar*
3 ulas bawang putih*(*dikisar halus)
1 camca besar penuh cili kisar
3 camca besar sos tomato JALEN
3 camca besar sos cili JALEN
2 camca besar sos tiram JALEN
Garam dan gula secukup rasa
4 - 5 biji telur
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN LAIN :-)
Mi kuning secukupnya, cuci dan celur 1 minit, toskan
Tauhu, digoreng dan hiris
Bawang goreng, untuk hiasan
Hirisan daun sup/daun bawang, untuk hiasan
Hirisan cili merah/cili hijau, untuk hiasan
Limau kasturi, belah 2

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. UNTUK KUAH MI BANDUNG :- Panaskan minyak dalam kuali (che mat guna non stik pan mungkum bersaiz besar). Tumis bahan kisar halus hingga harum, masukkan cili kisar dan masak dengan api kecil hingga pecah minyak, guna api kecil dan kacau selalu. Masukkan sos tiram, sos cili dan sos tomato, kacau rata dan masak sekejap. Tuang air rebusan daging dan tambah air secukupnya (anggaran 1200 ml). 
  2. Bila mendidih, kecilkan api. Pecahkan telur satu persatu dalam kuah (che mat pecahkan sebiji  demi sebiji dalam mangkuk kecil dan baru masukkan ke dalam kuah), pastikan ia tidak betindih. Masak hingga telur mengeras dan kacau berhati2. Masukkan daging, bunga kobis, batang sawi dan udang. Biar mendidih dan bila bunga kobis lembut, boleh masukkan sotong dan kacang tanah tumbuh. Kacau perlahan2. Perasakan dengan garam secukup rasa dan sedikit gula (anggaran 3/4 camca besar). Akhir sekali masukkan tomato, masak sekejap dan rasa, jika ok boleh matikan api.
  3. UNTUK MI BANDUNG :- Masukkan mi kuning ke dalam mangkuk yang sesuai. Cedok kuah bersama2 isinya dan sebiji telur. Hias dengan hirisan tauhu, bawang goreng, daun sup/dan bawang, hirisan cili merah/hijau dan limau kasturi. Hidangkan segera....sedapppp!!!...ehemmm..

Monday, 24 March 2014

PESAWAT MH 370 BERAKHIR DI LAUTAN HINDI - AL-FATIHAH....

Salam  semua, di FB semalam che mat perasan di timeline sibuk mereka memperkatakan satu sidang media oleh DS Najib yang akan dibuat pada jam 10 malam (semalam) mengenai status pesawat MH 370....dan pengumuman itu turut menyentap perasaan kita semua, apa tah lagi ahli keluarga mereka yang terlibat, bila DS Najib dengan sayunya memberitau pesawat MH 370 berakhir di Lautan Hindi...tergamam seketika.... berita yang amat2 sedih dan pilu, satu tragedi untuk rakyat Malaysia amnya dan MAS khususnya. Innalillah hiwainailai hiro jiun...Tiada yang kekal di dunia ini... Sejak kehilangan MH 370, pelbagai spekulasi dan andaian yang kita dengar, ada juga yang mempersendakan dan tak cukup dengan itu, ia dijadikan isu politik.....astagfirullah... Sekarang semuanya sudah jeles, walaupun ia masih diselubungi misteri sehingga kotak hitam ditemui, dan insha Allah saat itu baru kita tau kejadian yang sebenarnya.....Moga Allah swt mencucri rahmat ke atas roh2 mereka yang hilang bersama pesawat MH 370 - Al-Fatihah dan salam takziah untuk ahli2 keluarga mangsa yang terlibat......

Sunday, 23 March 2014

SINGGANG REBUS IKAN PELALING...

rsz_singgang_rebus_ikan_kembong_baru

Salam semua, hari ni che mat masak singgang rebus saja. Ada yang tak suka?..takpe faham, masakkan macam ini bukan semua yang gemar. Che mat orangnya senang, apa saja yang halal dan tidak memudaratkan, semua aku ok. Kenapa che mat suka masak singgang?...selain ia satu masakan senang dan cepat dibuat, ia juga hidangan sihat. Yelah kan che mat kerap masak menu2 berprofile tinggi dan agak mewah dari segi kolestrol, jadi sekali2 kita selitkan dengan menu2 ringkas dan sihat. Lagi pun Bak antara penggemar masakan singgang, nak2 ikan segar yang baru naik dari laut.. Kalau che mat sebut baru naik dari laut ni bukan dah 2-3 hari ditangkap, tapi baru dalam 1 jam ditangkap. Tu pasal ikan dia bila dimasak singgang, punya lah sedap dan rasa isi ikan dia, masya Allah...lemak, manis dan segar sangat...

IKAN SEGAR

...mana pulak cekaunya che mat dapat ikan baru?....Tu hari masa ke Endau, kami singgang dirumah kenalan lama Bonda yang pernah menetap di Sedenak. Rumah beliau betul2 berada di Kuala Pontian, Pontian sini bukan Johor, tapi Pontian di Rompin. Beliau pulak jenis suka ke laut dan kebetulan masa kami singgah beliau baru saja balik, dan memang dah rezeki, maka dapatlah kami ikan pelaling segar (seperti gambar di atas) dalam 3+ kg macam tu...Ikan pelaling ni seakan2 ikan kembong dan rasa dia lebih lemak dari ikan kembong. Satu lagi bila ikan segar, anda masak apa sekali pun ia memang sedap. Esok kita bakar ikan pulak yea...ehemm...

BAHAN-BAHANNYA :-)
6 ekor ikan pelaling segar, disiang dan cuci bersih
1 batang serai, diketuk
1 biji cili merah, belah 2 tapi tak putus
1 biji cili hijau, belah 2 tapi tak putus
1 biji bawang besar, hiris
3 ulas bawang putih, diketuk
1 inci halia, hiris nipis
1 camca teh pes asam jawa (atau 1 keping asam gelugor
1/2 camca teh serbuk kunyit
Garam secukup rasa
Air secukupnya

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Tuang air dalam periuk (anggaran 1 liter), masukkan hirisan bawang besar, bawang putih ketuk, halia, serai, pes asam jawa (atau asam gelugor dan serbuk kunyit. Kacau rata dan masak hingga mendidih.
  2. Masukkan ikan dan perasakan dengan garam secukupnya (kalau suka nak masukkan kiub ikan bilis pun boleh). Kacau perlahan dan biar mendidih. Tambah cili merah dan cili hijau. Masak sekejap hingga ikan masak. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi panas, sambal belacan dan ulam2man..

LEMAK CILI PADI TELUR ITIK SAMA BELIMBING...

rsz_gulai_telur_itik

Assalammualaikum. baru sempat nak bersiaran dan masukkan entri. Semalam che mat bercuti masak dan hari ni baru nak on balik. Rasa tak berapa rajin pun ada juga sebenarnya. Tempoh hari che mat ke luar kawasan dan masa berada di Chow Kit, sempat jugalah rempat batu ulek yang dah lama che mat idamkan, lepas tu rempat juga telur itik 10 biji. Dan pagi tadi che mat petik belimbing buluh dan projek memasak pun bermula. Lemak cili padi telur itik sama belimbing. Di sebabkan stok cili padi kampung habis, dan yang ada cili padi siam saja, maka che mat gunakan saja. Tapi cili padi siam ada beza sedikit dari segi rasa, selain ia lebih pedas. Satu lagi sebab cili padi ini jenis merah, maka kuah masakan che mat jadi kaler oren kekuningan, kalau guna cili padi kampung yang hijau ia akan jadi hijau kekuningan...

rsz_gulai_telur_itik1

Ada yang tanya, che mat, bila you masak resipi macam ni, telur itik tak bau aneh ke?...Maksud beliau telur itik tu tak bau hanyir ke?..Hmmm, tu pasal, che mat akan letak serai lebih sedikit kalau masak guna telur itik dan ditambah daun kunyit. Insha Allah tak bau dan rasa dia pun enak. Bila dimakan bersama belimbing buluh, rasa telur itik tu cukup sedap. Kata orang2 tua, hidangan ini menjadi salah satu hidangan tradisi di Istana di Negeri Sembilan, walaupun ada pelbagai jenis2 hidangan, tapi lemak cili padi telur itik wajib ada. Kalau anda tak makan telur itik atau susah nak dapat, boleh ganti dengan telur ayam, cuma rasa dia tak sama...resipi seperti berikut...

BAHAN-BAHANNYA :-)
5 biji telur itik, cuci bersih dan lap kering
3 batang serai, diketuk
2 helai daun kunyit, disiat (kalau besar, guna sehelai)
15 biji belimbing buluh, cuci dan toskan, belah 2 tapi tak putus setiap 1
1 keping kecil asam gelugor
1 liter santan cair
400 ml pati santan
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
20 biji cili padi merah thai, belah 2 dan buang biji
6 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Masukkan bahan2 kisar ke dalam periuk bersama serai titik dan santan cair. Kacau rata dan masak hingga mendidih. Kecilkan api, kemudian pecahkan sebiji telur itik dalam mangkuk kecil. Tuang ke dalam kuah mendidih tadi. Buat kaedah sama dengan ke lima2 biji telur dan pastikan telur tidak betindih semasa anda masukkan ke dalam kuah. Masak hingga telur dan bahagian merahnya mengeras. 
  2. Berhati, kacau perlahan2. Pastikan telur tidak hancur. Masukkan asam gelugor dan tuang pati santan. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Tambah daun kunyit dan biar mendidih dengana api kecil, kacau perlahan untuk mengelakkan santan pecah.
  3. Akhir sekali masukkan belimbing buluh, masak sekejap hingga belimbing berubah warna, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih dan lauk2 lain....
CATATAN MAT GEBU :- Tujuan che mat buang biji cili padi thai untuk mengelakkan rasa terlalu pedas. Jika anda guna cili padi kampung, tak perlu buang bijinya. Bilangan cili anda boleh kurangkan. Amalkan memecah telur dalam bekas lain sebelum anda gunakan, ini untuk mengelakkan sebarang kemungkinan yang tidak diingini terutama bila telur itu rosak...Ok tu aje...selamat mencuba!!..

Friday, 21 March 2014

ASAM PEDAS LAKSAMANA......RESIPI OLAHAN...

rsz_asam_pedas_laksamana
Assalammualaikum. Salam semua, che mat baru sempat nak bersiaran. Macam kurang rancak dah nak berblog sekarang ni, selain kekangan masa, che mat hanya sempat masak yang mudah2. Dan kalau nak share diblog pun ia sudah dimuatkan sebelum ini, kira menu ulang tayang berulang2. Kalau Astro!. Hari ni sepatutnya kami menerima tetamu, tapi dah tunggu sampai petang, tau2 mereka tak jadi datang...hmmm, tak pelah mungkin ada hal lain agaknya. Siang tadi sempat jugalah masak asam pedas laksamana yang macam che mat masak tu hari. Tapi kali ni guna ikan ketarap, yang tu hari che mat guna ikan pari. Ada yang tanya apa beza asam pedas ni dengan asam pedas biasa?..Ia seakan2 asam pedas Melaka, tapi sedikit beza. Kalau tanya che mat asal dia dari mana, yang tu che mat takde jawapan sebab che mat olah sendiri resipi asam pedas yang ada. Bukan merosak resipi, tapi memberi rasa baru yang masih ada rasa asam pedas tradisi...Kalau ingin mencuba, resipi seperti berikut...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 ekor ikan ketarap (kurang lebih 800 gram) atau ikan pilihan anda
1 pokok sawi jeruk
1 batang serai, diketuk
3/4 camca besar pes asam jawa
1 kiub pati ikan bilis (optional)
2 senduk nasi cili kisar
5 biji bawang merah, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
1 tangkai daun kari, dilurut
1/4 camca teh halba
1/2 camca teh lada hitam biji*
1 camca teh ketumbar biji*
1/2 camca teh jintan kasar*
1/2 camca teh jintan halus*(*disangai hingga harum dan tumbuk halus)
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
18 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1/2 inci kunyit hidup
3 biji buah keras, bakar dan hiris kecil
3 biji cili merah, buang biji
1/2 inci belacan, dibakar
2 camca besar kelapa parut, disangai hingga perang dan sejukkan

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan dibuang sisik, disiang dan kerat pada 6 bahagian (ikut saiz ikan yang anda guna), perap dengan jus limau nipis 15 minit, kemudian dicuci bersih dan toskan. Sawi jeruk dipotong kecil dan rendam. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 1/3 cawan). Tumis bawang merah kecil hiris, bawang putih hiris, daun kari, serai titik dan halba hingga harum dan bawang perang. Masukkan bahan2 kisar halus dan masak sekejap. Tambah cili kisar dan rempah yang ditumbuk halus tadi, kacau rata dan masak dengan api kecil dan kacau selalu. Masak hingga terbit minyak.
  3. Tambah pes asam jawa, kacau rata dan tuang air secukupnya (anggaran 850ml), dan biar mendidih. Tambah sawi jeruk (toskan dan perah), kacau dan masak sekejap. Tambah ikan dan kiub pati ikan bilis (jika guna). Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau perlahan dan masak sekejap hingga ikan masak. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi dan lauk2 lain..

Thursday, 20 March 2014

SPAGHETTI OLIO TUNA...

rsz_spaghetti_olio_tuna
Assalammualaikum, salam Khamis. Semalam che mat macam cuti masak, jadi takde entri. Hari ni pun che mat masak yang mudah2, jadi tak perlu entri. Rasanya esok dan lusa pun macam hari2 yang sibuk, tapi insha Allah kalau ada masa dan ada resipi, pasti che mat share kat blog tak kesah lah resipi ulang tayang berapa kali sekali pun. Entri kali ini yang mudah saja. Dan telah che mat masak beberapa hari dulu. Spaghetti olio yang mudah dan tidak memerlukan banyak bahan2. Satu yang che mat suka pasal spaghetti olio dari segi rasa yang asli dan penggunaan minyak zaitun amat2 penting. Kalau takde minyak zaitun, bukan spaghetti olio namanya. Che mat guna minyak zaitun jenis biasa, bukan extra virgin olive oil. Tuna pulak anda boleh guna tuna dalam tin. Selain tuna, che mat guna traffic light capsicum, black olive dan beberapa bahan lain sebagai menambah rasa....eh sebelum terlupa, che mat nak syorkan resipi mudah sangat di sini....Jomm kita ber olio pulak!!...

BAHAN-BAHANNYA :-)
200 gram, spaghetti yang belom direbus
1 tin tuna, tos kan
1/4 bahagian traffic light capsicum, didadu
10 biji buah zaitun hitam @ black olive, kerat 2 setiap 1
1 camca teh jeruk capers, cincang halus
2 ekor anchovies, cincang halus
1 camca besar chili flakes
1 biji bawang holland, didadu
3 ulas bawang putih, cincang halus
Garam secukup rasa
Sedikit herba oregano segar, untuk hiasan
Sedikit lada hitam yang baru dikisar

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Rebus spaghetti dalam air mendidih yang ditambah sedikit garam, rebus hingga spaghetti lembut atau anda boleh ikut arahan pada pembungkus spaghetti. Toskan dan simpan sedikit air rebusan untuk kegunaan kemudian.
  2. Panaskan 3 camca besar minyak zaitun dalam kuali (che mat guna non-stick pan). Tumis bawang holland hingga layu, masukkan bawang putih, anchovies dan jeruk capers yang dicincang tadi. Masak sekejap. Tambah tuna, kacau rata.
  3. Masukkan chili flakes, buah zaitun dan traffic light capsicum. Kacau dan masukkan spaghetti, gaul rata dan tambah sedikit air rebusan yang diasingkan tadi. Tambah garam secukup rasa. Masak sekejap dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hias dengan oregano segar dan tabur sedikit lada hitam sebelum dihidangkan.

Tuesday, 18 March 2014

ACAR NYONYA....

rsz_acar_nyonya (1)
Acar menjadi salah satu hidangan masyarakat asia tenggara terutama di Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei. Mungkin juga ada di negeri2 selatan Thai. Che mat sendiri penggemar acar, tak kira lah yang mentah atau yang dimasak. Paling sesuai dihidangkan bersama nasi2 berperisa seperti nasi minyak, nasi beriani dan sebagainya. Makan dengan nasi putih juga tak kalah, masih ok. Yang ni che mat buat semalam. Kan che mat masak kari ikan pari, jadi ngam lah kan makan sama acar. Orang peranakan nyonya antara mereka yang begitu popular membentuk satu masakan unik yang beridentitikan masyarakat mereka. Orang nyonya boleh dikatakan pelopor awal dalam hidangan fusion. Mereka ini unik dan satu golongan masyarat yang semakin berkurangan sekarang ini. Che mat ambik inisiatif berblog sebagai salah satu medium untuk memperkenalkan budaya mereka terutama makanan pada generasi muda. Kalau bukan kita, siapa lagi..... Resipi seperti berikut...

BAHAN-BAHANNYA :-)
2 - 3 biji timun (che mat guna 2 sebab saiz timun agak besar)
1 batang lobak merah saiz besar
2 biji cili merah
2 biji cili hijau
10 biji bawang merah kecil, belah 2 setiap 1
5 ulas bawang putih. belah 2 setiap 1
1 inci halia, mayang halus
1 camca besar cili kisar
1 camca besar rempah kari ikan (Baba's)
1/2 camca teh serbuk kunyit
5 camca besar cuka makan JALEN
1 camca besar bijan, disangai dalam kuali hingga harum
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN TUMIS :-)
1 camca teh penuh biji sawi
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
2 biji buah pelaga
5 kuntum bunga cengkih

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
3 biji buah keras, hiris kecil

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Timun dicuci, kemudian kerat 4 setiap sebiji, belah dua dan buang empulurnya, hiris jejari setiap bahagian. Lobak merah dibuang sedikit kulitnya, kerat 4 bahagian, kemudian hiris  jejar. Cili hijau dan merah dikerat 3, buang biji dan hiris jejari. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali, anggaran 3 camca besar. Masukkan bahan tumis, bawang putih dan halia. Masak hingga harum. Tambah cili kisar, masak hingga cili garing, guna api kecil dan kacau selalu. Masukkan bahan kisar halus serbuk kunyit dan remph kari ikan. Kacau rata dan masak hingga terbit minyak.
  3. Masukkan gula secukup rasa (selalunya acar manis sedikit) dan garam secukup rasa. Masak hingga sebati. Tuang cuka makan, kacau dan masak sekejap. Masukkan bawang merah kecil dan lobak merah, gaul rata dan masak hingga lobak lembut.
  4. Tambah timun, cili merah dan cili hijau. Gaul rata dan masak hingga pekat, dan timun lembut tapi masih rangup. Sesuaikan rasa, akhir sekali masukkan bijan, gaul rata dan matikan api. Hidangkan bersama nasi berperisa atau nasi putih dan lauk2 lain.

Monday, 17 March 2014

KARI IKAN PARI ENCHE BERAHIM...

rsz_kari_ikan_pari_pak_berahim
Assalammualaikum, salam selasa. Untuk entri tengah hari ini che mat berkongsi resipi kari mudah. Kenapa ada nama 'Enche Berahim" pulak?..Yang tu sebenarnya nama Bak atau ayah che mat. Style kari yang Bak selalu makan tak sama dengan apa yang che mat selalu masak. Resipi kari untuk Bak lebih ringkas dan simple, ikut style arwah nenek (mak pada Bak) masak. Karinya agak mudah, hanya guna rempah kari yang dibancuh dengan air. Tiada penggunaan bahan2 kisar, kecuali sedikit cili kisar dan halia yang che mat tumbuk lumat. Penggunaan santan pun agak minima, kurang lebih 1/3 cawan. Kalau tak nak, anda tak perlu letak pun takpe. Selain ikan pari, anda boleh guna ikan merah, senangin, sembilang, ikan duri dan apa2 jua jenis ikan yang banyak isi, ikan kembong besar pun sedap dimasak kari seperti ini. Bila ada kari, boleh lah buat lempeng pekak, memang sesuai dengan kari ikan macam ni, cicah kuah dia....hmmm, tak membazir langsung...Ok resipi kari ikan pari Enche Berahim seperti berikut...

BAHAN-BAHANNYA :-)
800 gram ikan pari
12 batang bendi muda
2 biji tomato
1 biji cili hijau, belah 2 tapi tak putus
1 biji cili merah, belah 2 tapi tak putus
1/2 camca besar pes asam jawa
1 kiub pati ikan bilis Maggi (optional)
4 camca besar rempah kari ikan (Baba's)*
1 cawan air*(*disatukan dan kacau rata)
1/2 camca teh serbuk kunyit
1 camca besar cili kisar
1 inci halia, tumbuk halus
1 batang serai, diketuk
1/3 cawan pati santan
Air secukupnya
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN TUMIS :-)
1 biji bawang besar, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
2 tangkai daun kari, dilurut
1/2 camca teh jintan kasar
1/2 camca teh jintan halus
1/2 camca teh biji sawi
20 biji halba

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan pari dipotong ikut suka, cuci dan perap dengan jus limau nipis selama 15 minit, kemudian cuci bersih dan toskan. Bendi dicuci dan toskan. Tomato dibelah 3 setiap satu. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk, masukkan bahan2 tumis dan tumis hingga harum. Masukkan cili kisar dan masak hingga cili garing, tambah rempah kari yang telah dibancuh tadi. Kacau dan masak hingga rempah garing dan terbit minyak. Guna api kecil dan kacau selalu.
  3. Masukkan pes asam jawa, kacau rata dan tuang air secukupnya (anggaran 1 liter). Kacau dan biar mendidih. Masukkan ikan pari, dan kiub ikan bilis (jika guna). Masak hingga ikan pari bertukar warna, tambah bendi dan masak hingga bendi lembut.
  4. Masukkan pati santan. Kacau rata dan perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Akhir sekali tambah tomato dan cili merah/cili hijau, masak sekejap dan rasa, jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi dan lauk2 lain..

SANDWICH TUNA SESUAI UNTUK SETIAP MASA....

rsz_sandwich_tunaaa
Malam ni entri sandwich saja lah yang sempat. Bila che mat letak entri yang simple, rasa macam tangkap muat, tapi taukah anda, kebanyakkan view pengunjung mereka lebih menumpukan pada resipi2 mudah dan senang dibuat. Kalau entri2 yang agak sukar seperti masakan2 tradisional, bukan semua orang akan buat, kecuali untuk waktu2 tertentu sepeti hujung minggu atau hari2 bercuti, ini kerana resipi2 tradisional seperti gulai dan sebagainya selain memerlukan bahan2 mentah yang boleh dikatakan banyak. Masa untuk memasak juga agak lama. Tapi pada pandangan che mat, zaman sekarang ni semua agak mudah, tak macam zaman tok2 kita dulu, kelapa kena kukur, lepas tu rempah ratus kena tumbuk atau giling, takde blender2 ni semua. Masak pulak guna dapur kayu. Tapi masakan mereka berganda2 sedapnya dari zaman sekarang. Cuma kalau nak ikut cara mereka, rasa macam kurang sesuai lah kan memandangkan kekangan masa mereka2 yang bekerja dan sebagainya....Oleh yang demikian, kita makan sandwich udah leerr.....Jommm...

BAHAN-BAHANNYA :-)
4 keping roti sandwich (sebarang jenama)
Sedikit majerin
Daun salad secukupnya (che mat guna salad jenis 'coral' warna hijau dan ungu)
Hirisan timun secukupnya (guna 8 keping)
Hirisan tomato secukupnya (guna 8 keping)
2 keping cheesdale
1 tin tuna cap Ayam. tos dan hancurkan*
1 biji bawang holland saiz sederhana, didadu kecil*
1 ulas bawang putih, cincang halus*
1 biji jeruk gherkin, dadu kecil*
1/2 camca teh perahan jus lemon*
5 camca besar mayonnaise*
Sedikit lada hitam kisar*(*disatukan dan gaul rata2)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Sapu sedikit majerin pada roti, panggang dalam non stick pan hingga perang dan wangi, ketepikan. Ambil sekeping roti, alas dengan daun salad coral, letakkan salad warna hijau, kemudian lapis dengan salad warna ungu. Lapsikan dengan sekeping keju.
  2. Kemudian susun hirisan timun (4 keping) dan tomato (4 keping). Letak bancuhan ikan tuna dan mayonnaise (bahan yang disatukan), atasnya. Yang ni ikut anda lah nak letak banyak mana, macam che mat untuk resipi ini boleh dapat 3 sandwich.
  3. Tutup dengan sekeping lagi roti, kemaskan. Buat kaedah sama untuk baki roti dan bahan2. Boleh dihidangkan untuk sarapan atau bila2 masa mengikut keinginan anda..Selamat mencuba!!..

TERUNG BERLADO...

rsz_terung_berladoo1
Assalammualaikum, apa khabar anda hari ni?...Che mat dah ok, dah sehat dan rajin pun semacam aje ni. Agaknya hormon rajin tengah ghairah sangat, tengah bergelora...Hari ni selain masak yang biasa2, che mat masak juga terung berlado yang memang biasa2 juga. Bukan apa, ada masa macam tak nak makan lauk yang macam2 (tapi che mat masak 'agak' macam2 juga...grrr). Kenapa terung berlado?..Sebab ia sedap dan satu lagi nak buat punya lah senang...ciken dodol sangat. Janji ada terung lepas tu buat sambal dia, ok, siap dah...time nak makan letak sambal dia dan hidangkan. Cuma che mat suka mempelbagaikan rasa sambal. Ada tu letak daun limau purut dan pernah juga che mat masukkan sedikit hirisan bunga kantan, tambah udang kering dan kali ni guna ikan bilis. Selalunya untuk sambal, kita guna cili hidup. Apa2 pun ikut citarasa anda, dan kalau anda perhatikan ada antara resipi terung berlado yang che mat buat berbeza2 resipi sambalnya...

BAHAN-BAHANNYA :-)
4 biji terung saiz sederhana (che mat guna terung organik)
Sedikit garam
6 biji cili merah
5 biji bawang merah
1 ulas bawang putih
1 genggam ikan bilis, dibersihkan dan rendam sekejap, toskan
3 biji buah keras, hiris
1 camca teh pes asam jawa
2 biji limau kasturi, perah jusnya
Garam dan gula secukup rasa
2 helai daun limau purut

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Terung dicuci, kemudian kerat pada 3 bahagian. Belah 4 untuk setiap bahagian. Buat hingga siap dan gaul dengan sedikit garam. Goreng dalam minyak panas hingga bertukar warna, angkat dan toskan, kemudian letak atas tissue dapur bersih, biar minyak terserap. Susun terung dalam pingga sesuai. Ketepikan. Sekarang kita buat sambalnya pulak..
  2. Kisar bawang merah, bawang putih dan buah keras hingga halus, masukkan ikan bilis dan kisar hingga hancur, tambah cili hidup dan kisar hancur, tak perlu sampai halus sangat. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 1/2 cawan), tumis bahan2 tadi dengan api sederhana hingga terbit minyak, kacau selalu.
  3. Tambah pes asam jawa, perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Masukkan sehelai daun limau purut dan masak sekejap. Akhir sekali tambah jus limau kasturi, kacau rata dan rasa, jika ok boleh matikan api. Tuang sambal atas terung, ratakan dan baki daun limau purut, dimayang halus dan tabur atasnya sebagai hiasan. Hidangkan segera bersama nasi putih dan lauk2 lain.

Sunday, 16 March 2014

GET2GATHER YOUTH DI PLAZA ANGSANA JB...JOMM!!

Selingan sekejap...ehem, bagi mereka2 yang berada disekitar Johor Baharu, jangan lupa luangkan masa anda ke Karnival Get2Gather Youth pada tarikh yang tertera pada gambar....Macam2 aktiviti menarik yang boleh anda sertai... 

...dan bagi mereka2 yang ingin berniaga, ada disediakan ruang2 khas. Untuk sebarang pertanyaan anda boleh hubungi Cik Azila - 013 - 797 6417.......

TIBA - TIBA AKU MENGIDAM KARIPAP....

rsz_karipapp2

Assalammualaikum, salam semua. Bertemu dipetang Ahad. Hari ini bumi Sedenak dibasahi hujan dan hingga sekarang cuaca masih mendung, sujud syukur pada mu ya Allah, atas rahmat yang dikau turunkan hari ini setelah hampir 3 bulan tanah Sedenak ketandusan, alhamdulillah. Dan che mat hari ni memasak dengan begitu selesa. Mula memang nak buat entri makan2, tapi menu amat biasa sangat dan satu lagi ia ulang tayang, jadi tak perlu dijadikan entri pun tak mengapa. Cuma masak asam pedas ikan senangin, bening bayam campur tempe, ikan terubuk pekasam goreng, telur dadar dan sambal sotong kembang baki menu semalam. Kan, biasa2 sangat, kalau buat entri pun macam nak tak nak aje orang masuk, dah selalu nauu.. Maka petang tadi dengan tahap rajin2 malas che mat buat karipap untuk minum petang...

rsz_karipapp1

Karipap yang che mat buat ni kan macam tak senonoh sangat, rupa pun tah macam hapa, tak comey langsung. Tapi kenapa che mat jadikan ia sebagai entri blog?...Sebab ia sedap okehh....Sebab terlalu rajin, che mat buat betul2 10 biji karipap, hahaha, adehh, ada baki doh dengan inti ku simpan dalam peti sejuk. Kalau malam nanti tak boleh tidur, baru buat, tu pun kalau rajin, kalau tak, duduk diam2 lah yea dalam peti sejuk itu. Untuk pastri karipap che mat guna resipi Ros dari blog Jintan Manis. Inti pulak che mat guna kentang dan ikan tuna. Kalau anda buat sampai siap, boleh dibekukan, tapi pastikan jangan ditindih antara satu sama lain ketikan belum keras, nanti melekat. Pastikan dialas dengan plastik....Kalau anda rajin nak buat, che mat share resipi...Jomm...

BAHAN-BAHAN KULIT KARIPAP :-)
400 gram tepung gandum
2 camca besar marjerin
1/2 cawan minyak masak, dipanaskan
1/2 cawan air ais yang dingin*
1/2 camca teh garam*(*disatukan dan kacau rata)

BAHAN-BAHAN INTI :-)
250 gram kentang, dikupas kulit, didadu kecil
1 tin tuna dalam tin, toskan dan hancurkan isinya
1 biji bawang holland, didadu
2 ulas bawang putih, cincang halus
2 camca besar rata rempah kari ikan (Baba's)
1/2 camca teh lada hitam
Garam dan gula secukup rasa
1 cawan air
2 camca besar hirisan daun sup dan daun bawang

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. UNTUK KULIT KARIPAP :- Masukkan tepung ke dalam bekas, tambah majerin dan kacau hingga mendapat tekstur seakan2 serbuk roti. Tuang minyak panas sedikit demi sedikit hingga habis sambil digaul dengan sudu. Kacau rata. Tuang sedikit demi sedikit air ais yang dicampur dengan garam tadi. Gaul hingga adunan menjadi doh yang lembut dan tidak melekat di mangkuk adunan. Bulat2kan dan bungkus dengan plastik. Sejukkan dalam peti sejuk selama 2 jam (che mat sejukkan 1 jam sahaja).
  2. UNTUK INTI KARIPAP :- Panaskan 2 camca besar minyak dalam kuali, tumis bawang besar dan bawang putih hingga harum, masukkan rempah kari, masak sekejap, guna api kecil. Tambah kentang, gaul rata dan tuang air. Bila kentang 1/2 empuk, masukkan ikan tuna dan lada hitam, kacau rata dan masak hingga kentang empuk.
  3. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya. Masak hingga kering. Masukkan hirisan daun sup dan daun bawang, kacau rata dan rasa, jika ok boleh matikan api. Biar inti sejuk sebelum digunakan.
  4. UNTUK KARIPAP KENTANG TUNA :- Keluarkan doh, bagikan kepada 2 bahagian, simpan sebahagian lagi dalam peti sejuk. Bulat2kan doh sebesar saiz syiling 50 sen yang dulu. Canai dan sudukan inti secukupnya, anggaran 1 camca besar (kalau penuh sangat, nanti susah nak kelim), kemaskan tepinya dan kelim untuk mencantumkan karipap. Susun dalam loyang yang dialas plastik bersih. Buat hingga siap (kalau anda nak senang, sila guna acuan karipap).
  5. Goreng dalam minyak sederhana panas dengan api kecil. Balikkan karipap agar masak sekata. Goreng hingga kuning keemasan. Angkat, toskan minyaknya dan letak atas tissue dapur yang bersih. Anda boleh hidangkan panas atau pun sejuk....Selamat mencuba!!!..

Friday, 14 March 2014

SUP AYAM SAMA KETUPAT NASI....

rsz_sup_ayan_sama_nasi_impit

Assalammualaikum, salam Sabtu. Hari ni che mat agak sibuk dan pagi tadi dah mula masak. Dalam masa yang sama juga untuk makan tengah hari, che mat buat sup ayam untuk dimakan dengan ketupat Nona. Ada yang rasa hairan bila che mat kata makan sup ayan sama ketupat, dan mereka ingat ia sama dengan soto. Macam sama tapi tidak sama. Sup ayam yang dimakan bersama ketupat atau nasi impit, lebih ringkas walaupun ia seakan2 soto tapi bahan2 ramuan untuk rempah berbeza dari soto. Tak salah kalau anda nak letak bahan2 pelengkap lain seperti begedil. Tapi che mat buat seringkas mungkin untuk sup ayam. 

rsz_sup_ayam_sama_nasi_impit1

Apa makna sup ayam tanpa sambal kicap, yea tak? Kalau kami di Negeri Johor, ia wajib ada. Selain untuk hidangan2 macam ni, sambal kicap turut disajikan sebagai pelengkap untuk makanan bergoreng seperti pisang goreng, keledek, sukun keladi dan sebagainya. Satu yang che mat suka mengenai sup ayam, selain boleh dimakan bersama ketupat, ia juga sesuai dimakan bersama mi hoon, mi kuning. kue teow atau pun makaroni. Cicah dengan roti pun sedap dan kalau tak nak, boleh makan macam tu saja. Amat sesuai untuk anda yang kurang sehat...ehemmm....Resipi campak2 aje sebenarnya, macam selalu....

BAHAN-BAHANNYA :-)
1  ekor ayam (che mat guna ayam pencen), potong ikut suka dan cuci bersih, toskan
4 biji kentang, kupas, potong 8 setiap 1, rendam
1 bunjut sup tulang ADABI
1 camca besar bawang goreng
1 pokok daun sup, kerat kasar
1 camca teh lada hitam biji, tumbuk halus
1 kiub pati ayam MAGGI (optional)
Air secukupnya
7 biji bawang merah*
3 ulas bawang putih*
1 1/2 inci halia*
1/2 inci kunyit hidup*(*dikisar halus)

BAHAN-BAHAN TUMIS :-)
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
6 kuntum bunga cengkih

BAHAN-BAHAN LAIN :-)
Ketupat, nasi impit atau mi hoon/mi kuning secukupnya
Hirisan daun sup
Hirisan daun bawang
Bawang goreng
Taughe, dibuang ekor, cuci dan toskan
Tauhu, digoreng dan hiris
Sambal kicap secukupnya

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. UNTUK SUP AYAM :- Panaskan 3 camca besar minyak dalam periuk, masukkan bahan2 tumis dan tumis hingga harum. Tambah bahan kisar halus dan masak hingga terbit minyak, guna api kecil dan kacau selalu. Masukkan ayam dan gaul rata, masak sekejap. Tuang air secukupnya (hingga ayam tenggelam), tambah sup bunjut dan lada hitam tumbuk. Kacau dan biar mendidih.
  2. Tambah kiub ayam (kalau guna), 1 camca besar bawang goreng dan daun sup yang dipotong kasar. Kacau dan masukkan kentang, jika kurang kuah, boleh tambah air panas. Masak hingga kentang empuk. Tambah garam secukup rasa, masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api.
  3. UNTUK SUP AYAM SAMA KETUPAT NASI :- Potong ketupat atau nasi impit secukupnya dan masukkan ke dalam mangkuk sesuai. Tuang sup ayam bersama isi2nya sekali. Hias dengan taugeh, daun sup, daun bawang, tauhu goreng dan hidangkan bersama sambal kicap....ehemm...
CATATAN MAT GEBU :- Jika anda gunakan ayam pencen, masukkan kentang bila ayam empuk. Kalau guna ayam daging anda boleh masuk kentang seperti che mat tulis dalam resipi. Anda juga boleh tambah bahan seperti kacang tanah goreng, soo hoon goreng dan begedil jika suka....Selamat mencuba!!..

SAGO GULA MELAKA.....SEMUDAH A . B . C

rsz_sagoo_gula_melaka

Assalammualaikum, salam semua. Cuaca panas dan kering, dan banyak tempat di Johor juga telah melakukan catuan air. Kampung che mat masih ok lagi air paip walaupun agak kecil sedikit, alhamdulillah. Cuaca panas2 macam ni rasa nak makan sesuatu yang sejuk, dan nikmat di tekak. Kalau boleh nak buat yang mudah tapi sedap. Dan sago gula Melaka ialah jawapannya. Pada che mat ia satu resipi yang amat mudah, dan tak perlu banyak kerja. Senang cerita ia semudah A B C. Kenapa che mat kata macam tu, sebab anda hanya perlu beberapa bahan sahaja, sago biji (sago rumbia), santan pekat (atau anda boleh guna susu sejat) dan gula melaka yang dimasak denga gula pasir (kalau malas, boleh guna golden syrup, tapi kurang asli lah kan), sambil2 anda buat kerja dapur pun masih boleh buat...

rsz_sagoo_gula_melaka1
Anda boleh bentukkan guna acuan agar2 atau apa acuan yang anda suka, seelok2nya guna acuan2 yang bersaiz sederhana. Dan ia lebih nampak manis bila anda hidangkan nanti. Sesuai untuk majlis2 sebagai pencuci mulut dan ia nampak amat tradisi dan kemelayuan, che mat suka...ehemm... Kalau nak letak warna hijau pun boleh, nampak menarik juga. Tapi putih amat klasik dan boleh dihidangkan dalam apa2 jua bekas. Bagi anda yang baru berjinak2 ke dapur, resipi ini amat sesuai...nanti cuba ok...Resipi seperti berikut....

BAHAN-BAHANNYA :-)
200 gram biji sago rumbia
300 ml santan pekat + sedikit garam, kacau rata
60 gram gula Melaka, potong kecil*
100 gram gula pasir*
3/4 cawan air*
1 helai daun pandan, disimpul*(*dimasak hingga pekat, tapis dan sejukkan)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Didih 2 liter air, kemudian masukkan biji sago, masak dengan api sederhana sambil dikacau selalu. Masak hingga biji sago kembang dan jernih (tiada lagi biji2 sago bewarna putih). Tapis dan bilis bawah air paip untuk membuang kanji sago. 
  2. Kemudian masukkan ke dalam acuan kegemaran anda (che mat guna acuan apam atau acuan agar2 berbentuk hati). Isi penuh2, buat hingga siap dan simpan dalam peti sejuk hingga sago kental (kurang lebih 30 minit). 
  3. Keluarkan dari acuan (longgarkan tepi2nya dengan hujung pisau) dan letak dalam mangkuk sesuai. Tuang santan secukupnya dan curah sedikit sirap gula melaka atasnya, hidangkan untuk pencuci mulut. Sedap dimakan sejuk.....hmm tak cukup satu lahh.

Thursday, 13 March 2014

WRAPS ALA PIZZA....

rsz_wrapss

Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat memang betul2 tak masak. Cerita dia begini, pagi tadi che mat ke pasar basah untuk beli barang2 dapur dan saja berlambat2..hehe. Dan memang plan tak nak masak, sebab semalam abang che mat ada beli nasi beriani dan kami simpan dalam freezer. Maka hari ni che mat buat pencok nenas dan makan dengan nasi beriani yang telah dipanaskan. Lauk dia pun sedap, kurma ayam dan kambing. Seperti anda sedia maklum, terutama di Johor, nasi beriani Batu Pahat (Nasi Beriani Mat Shah) antara yang popular, selain sedap, ia juga murah. Dan itu lah sebabnya che mat cuti masak. Namun kerja dapur kena buat juga, maklumlah dah kerja kita, tanggungjawab beb!. Petang tadi mulalah gatal2 ke dapur, rasa macam aneh sangat bila tak masak ni, rasa macam otak tak berfungsi, macam bongok aje. Oleh sebab itu, untuk tidak merasa bongok sangat....jommm kita ke dapur...ehemm...

rsz_wrapss1

Nampak macam bess tak?...Memang bess ok, dah lah tu comel pulak. Buat dia senang, che mat guna wrap jenama Mission. Dan untuk inti che mat guna fillet ikan tempura jenama PACIFIC. Guna sekeping fillet ikan tu boleh dalam 4 atau 5 wraps comel macam dalam gambar di atas. Satu nak pesan, anda jangan isi inti banyak sangat, nanti nak bungkus wraps tu jadi susah dan nampak tak comel. Untuk hiasan che mat tikamkan sebiji black olive atau buah zaitun hitam dengan pencungkil gigi bersih (guna yang baru) dan hias dengan sedikit herba thyme segar. Itu semua untuk hiasan, anda tak perlu letak pun takpe. Ni kan untuk entri blog kena lah nampak 'sesuatu'. Oh yea bila sebut tikam2 ni, ada satu kes pasal tikam2 juga...di sini. Ok, kalau anda nak cuba buat che mat cerita macam mana che mat buat ...jommm...

BAHAN-BAHAN INTI :-)
1 keping fillet ikan tempura PACIFIC
1/5 bahagian traffic light capsicum, didadu kecil
1 biji jeruk gherkins, didadu kecil
1 biji bawang besar saiz kecil, didadu
1 biji tomato saiz kecil, didadu

BAHAN-BAHAN LAIN :-)
4 - 5 keping wraps jenama MISSION
Keju mozarella secukupnya
Sos tomato secukupnya
Sos Thousand Island secukupnya

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK INTI :- Fillet ikan tempura dipotong 3 bahagian, kemudian goreng dengan api sederhana hingga kuning keemasan. Angkat dan sejukkan dan potong kecil. Sementara itu, satukan traffic light capsicum, jeruk gherkins, bawang besar dan tomato dalam satu bekas, gaul rata. Ketepikan..
  2. UNTUK WRAPS ALA PIZZA :- Ambil sekeping wraps, panaskan sekejap dalam non-stick pan hingga wraps lembut. Angkat dan letak atas papan pencanai. Sapu 1/2 camca besar sos tomato, kemudian paipkan sedikit sos thousand island. Ratakan. Susun sebahagian fillet ikan yang dipotong kecil tadi, dan sebahagian bahan yang disatukan. Taburkan keju mozarella secukupnya. Kemudian lipat  bahagian kanan dan kiri wraps, kemudian bahagian depannya, buat seperti anda menggulung kuih gulung, kemaskan. Buat hingga siap.
  3. Panggang dalam non-stick pan untuk 2 - 3 minit untuk setiap bahagian, kemudian terbalikkan dan panggang lagi 2 - 3 minit, guna api kecil, kekuningan, seperti dalam gambar. Hias ikut suka dan boleh hidangkan untuk minum petang atau sarapan pagi....ehemm.
CATATAN MAT GEBU :- Kalau anda buat 5, bahagikan fillet ikan tempura yang telah dipotong kecil pada 5 bahagian, begitu juga bahan2 inti yang dicampur, anda bagi pada 5 bahagian juga....Selamat mencuba!!

Wednesday, 12 March 2014

KEK SPAN KEEMASAN @ GOLDEN SPONGE CAKE

rsz_kek_c
Tiba2 semalam che mat teringin nak buat kek, dan kalau dapat nak kek yang mudah dibuat, lembut dan tidak terlalu manis. Masa blog walking ke blog teman2 memasak, che mat tertarik dengan satu resipi kek dari blog Nasi Lemak Lover..kek nya agak mudah disediakan tapi kena ikut cara2 yang agak unik sedikit. Hasilnya cukup memuaskan walaupun rupa kek yang che mat buat tu agak kurang menawan, ini kerana resipi asal guna tin bulat yang dasarnya boleh ditanggalkan berukuran 6.3 inci lebar dan 3 inci tinggi (macam acuan kek chiffon tapi bentuk bulat tanpa tube ditengahnya) tapi che mat guna loaf tin...huhu, jadi lah dari takde. Kalau nak guna loose bottom cake tin yang macam buat cheese cake tu pun boleh, guna saiz 7 inci, tapi kek anda akan rendah sedikit..

rsz_kek_c1
Pertama kali che mat rasa kek ni, ia seakan2 rasa kek keju sikit, dah lah tu lembuttt sangat, betul, nanti kalau anda buat, anda boleh rasa sendiri. Ini mungkin kerana teknik membuatnya yang agak berbeza dari kebiasaannya. Pertama kali che mat tengok diblog beliau, rasa teruja nak mencuba. Yang tu kita cerita nanti. Satu yang che mat perasan, teknik membakarnya juga sedikit berbeza dari biasa. Insha Allah nanti che mat buat lagi dan guna tin bulat seperti yang disyorkan (nampak gayanya kena beli tin kek baru lah kan....besssnyaa!!!...haha). Ok, che mat share resipi seperti dibawah ini, terima kasih sekali lagi pada Sonia, nasi lemak lover... (^__^)

BAHAN-BAHAN A :-)
50 gram mentega
50 gram tepung kek
3 kuning telur (gred A)
55 gram susu segar
1/2 camca teh esen vanilla (che mat tambah)

BAHAN-BAHAN B :-)
3 putih telur (gred A)
50 gram gula kastor
6 gram tepung jagung

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Panaskan oven pada suhu 140C, sediakan tin bulat bersaiz 6.3 inci atau 7 inci yang bahagian bawahnya boleh ditanggalkan, tak perlu disapu dengan mentega. (che mat guna loaf tin dan sebab tin tu bahagian bawahnya tak boleh ditanggalkan, maka che mat alas dengan kertas. Tak perlu disapu dengan mentega). Ketepikan.
  2. Dalam periuk kecil, cairkan mentega dengan api kecil hingga mendidih. Matikan api, kemudian masukkan tepung kek, kacau pantas hingga sebati. Tuang susu dan kacau dengan whishk hingga sebati. Masukkan kuning telur dan esen vanilla, kacau hingga rata dan licin. Ketepikan.
  3. Gaulkan gula kastor dan tepung jagung hingga rata. Putar putih telur hingga berbuih, masukkan bancuhan tepung jagung dan gula sedikit demi sedikit hingga habis. Putar putih telur hingga kental. Ketepikan.
  4. Ceduk 1/3 bahagian putih telur dengan spatula dan gaulkan dengan adunan kuning telur, gunakan kaedah kaup balik hingga sebati. Masukkan baki putih telur, dan gaul hingga sebati. Tuang dalam tin dan masukkan ke dalam oven, di rak bawah.
  5. Bakar selama 25 minit pada suhu 140C, kemudian naikkan suhu pada 170C dan bakar lagi selama 25 minit atau hingga masak. Kemudian keluarkan kek, dan terbalikkan atas redai, biar kek sejuk sepenuhnya dalam keadaan terbalik sebelum anda keluarkan dari tin. Potong dan boleh hidangkan..

Tuesday, 11 March 2014

IKAN BILIS GORENG BERKICAP....

rsz_ikan_bilis_goreng_kicap
Anda malas masak?.. Kalau malas, ok kita geng hari ni. Che mat pun sejak2 lepas baik dari selsema dan sakit tekak ni rasa malas sangat nak ke dapur. Tapi disebabkan tanggungjawab kena lah merajinkan diri. Hari ni che mat kasi resipi termudah di dunia, dah lah termudah, tersedap pulak tu. Mesti anda pernah makan ikan bilis yang digoreng garing, kemudian digandingkan dengan bawang besar dan cili padi, kemudian letak kicap lemak manis JALEN...pengsan okeh, nak2 makan panas sama nasi atau pun bubur nasi, serius yang lain takmo dah. Beriya2 sangat che mat tu bercerita, gamaknya...ecehh, kalau terliur tu cakap ajelah kan senang. Ini anda boleh buat bila2 masa anda suka, janji ada ikan bilis....Ok, bagi yang masih tak jelas, meh sini che mat kasi tulis resipi, jangan risau, mesti boleh punya....

BAHAN-BAHANNYA :-)
80 gram ikan bilis dibersihkan dan rendam 5 minit
1 biji bawang besar hiris
15 biji cili padi, diketuk sedikit
1 camca besar kicap lemak manis JALEN
1 biji limau kasturi, belah 2

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Toskan ikan bilis, perah, kemudian goreng dengan api sederhana hingga garing dan kuning keemasan. Angkat dan toskan. Goreng pula bawang dan cili padi hingga layu, angkat dan toskan.
  2. Keluarkan minyak dari kuali, masukkan kembali ikan bilis goreng, bawang dan cili padi goreng. Gaul rata. Hidupkan api dapur, biar kecil. Masukkan kicap, gaul rata dan matikan api, alihkan ke dalam bekas sesuai. Jika suka boleh perah jus limau kasturi sebelum dihidangkan segera bersama nasi putih atau bubur...
CATATAN MAT GEBU :- Sebab che mat buat awal sikit, maka che mat gaul rata ikan bilis dan bahan2 lain bersama kicap dan panaskan sekejap sambil dikacau hingga rata (tu pasal ikan bilis kelihatan sedikit gelap seperti dalam gambar). Kalau anda nak makan terus, tak perlu buat macam che mat, boleh terus tuang kicap sebelum anda hidangkan....Selamat mencuba!!..


ASAM PEDAS IKAN SENANGIN JAM 5 PETANG...

rsz_asam_pedas_jam_5
Asam pedas ikan senangin jam 5 petang, kenapa pulak macam tu namanya. Ini kerana che mat masak petang tadi. Mula2 memang dah malas nak masuk dapur dah, sebeb sebelum tu che mat ada buat kek (yang tu entri kemudian yea). Che mat guna ikan senangin kurang lebih 500 gram beratnya (seekor). Seperti biasa, che mat tanya dulu nak masukkan apa, terung atau sawi jeruk, dan sawi jeruk menjadi pilihan bonda. Ada masa serius, bosan juga memasak ni, tapi kita kena fikir satu saja, lakukan kerja memasak sebagai salah satu 'tanggungjawab', insha Allah, kita akan rasa tenang. Satu lagi tebiat che mat kalau masak, tak suka ramai2 sangat, sebab jadi kekok dan mula aku lupa macam2...err, biasalah bukan profesional gitu lah...Resipi asam pedas seperti berikut...

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 ekor ikan senangin (kurang lebih 500 gram)
1 pokok sawi jeruk
2 kuntum bunga kantan
1 1/2 senduk nasi cili kisar
1 kiub pati ikan bilis (optional)
3/4 camca besar pes asam jawa
4 biji bawang merah, hiris
2 ulas bawang putih, hiris
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
7 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1/2 inci kunyit hidup
3 biji cili merah
1/2 inci halia
1.2 inci belacan, dibakar

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan senangin dibuang sisiknya, kerat pada 5 bahagian, cuci bersih dan perap dengan jus limau kasturi selama 15 minit, cuci kembali dan toskan. Sawi jeruk dicuci, kerat kecil dan rendam. Bunag kantan dibelah 2 setiap 1. Ketepikan.
  2. Panaskan 1/3 cawan minyak dalam periuk, tumis hirisan bawang merah dan putih hingga harum dan bawang menjadi perang. Masukkan bahan2 kisar halus dan masak sekejap. Tambah cili kisar dan masak hingga terbit minyak. Guna api sederhana dan kacau selalu.
  3. Masukkan pes asam jawa, kacau rata dan tuang air secukupnya (kurang lebih 700ml). Kacau dan biar mendidih. Masukkan kiub ikan bilis (jika guna), sawi jeruk dan bunga kantan. Biar mendidih dan masukkan ikan tadi. Perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula. Kacau perlahan dan masak hingga ikan masak. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi dan lauk2 lain.

Monday, 10 March 2014

THAI GREEN CURRY @ KARI HIJAU THAI

rsz_thai_green_curryy1

Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat bertambah baik, cuma tinggal batuk sikit2 aje. Suara dah jadi lunak balik, pendek kata kalau aku jerit, kueh apam terus merekah, tak sempat nak bantut sebab terkejut..Bila sihat mulalah selera pun ngada2. Ok hari ni che mat buat thai green curry atau kari hijau thai. Pernah buat beberapa kali sebelum ni. Pertama kali dulu che mat buat guna resipi dari blog kak Ida dan che mat masih gunakan resipi yang sama. Anda ada dua pilihan, samada nak guna daging atau pun ayam. Che mat guna ayam dan dalam kari hijau thai ini bahan utama dia mesti ada terung pipit, kalau takde rasa macam kurang lengkap. Kalau ada rebung lagi sedap, tapi che mat takde stok rebung, maka guna apa2 yang ada kat dapur....

rsz_thai_green_curryy
Kari hijau thai tidak pedas tapi kalau anda suka pedas, boleh tambah cili padi. Che mat hanya guna cili hijau saja. Daun selasih bahan wajib ada untuk memberi rasa dan aroma, pendek kata kalau takde daun selasih, bukan lah kari hijau thai. Rempah kari hijau yang akan che mat tulis nanti anda boleh buat lebih dan untuk lebih tahan, anda tumis dengan minyak sampai garing, guna api kecil dan kacau selalu. Kemudian sejukkan dan simpan dalam botol. Bila nak guna ambik rempah secukupnya dan tak perlu tumis, cuma masukkan dalam periuk berisi ayam, masak hingga ayam kecut dan boleh tuang santan dan masak seperti biasa. Sedap dimakan bersama nasi putih...Jomm kita masak...ehemm..

BAHAN-BAHAN REMPAH KARI HIJAU THAI :-)
1 batang serai, hiris halus
4 biji cili hijau (boleh tambah cili padi jika suka pedas)
4 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
1 inci lengkuas
1/2 inci halia
1 pokok daun ketumbar, bersama akarnya dicuci bersih
1 genggam daun selasih
1/2 camca teh serbuk jintan manis
1 camca teh serbuk ketumbar
1/2 camca teh serbuk lada sulah
3 camca besar sos ikan
1 inci belacan, dibakar
2 camca besar jus limau nipis
1 camca besar gula Melaka
4 camca besar santan
Sedikit air

BAHAN-BAHAN KARI HIJAU THAI :-)
1/2 ekor ayam, potong ikut suka, cuci dan toskan
3/4 cawan tepung pipit
1 biji tomato, dibelah 6
1/4 biji traffic light capsicum (merah, hijau dan kuning) didadu besar
2 batang serai, diketuk
4 helai daun limau purut
10 biji cili padi, diketuk
Pes kari hijau secukupnya
300 ml pati santan
Air secukupnya
1 kiub pati ayam (optional)
Jus limau nipis secukup rasa
Sos ikan secukup rasa
Sedikit gula
1 genggam daun selasih

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK PES REMPAH KARI HIJAU THAI :- Kisar halus semua bahan2 untuk rempah kari hijau Thai. Panaskan minyak dalam kuali tumis bahan2 rempah yang dikisar tadi hingga garing dan terbit minyak, guna api kecil dan kacau selalu. Bila rempa garing dan terbit minyak, boleh matikan api. Biar sejuk dan boleh simpan dalam botol untuk kegunaan kemudian..
  2. UNTUK KARI HIJAU THAI :- Panaskan 4 camca besar minyak dalam periuk, tumis serai hingga harum, masukkan pes rempah secukupnya (che mat guna semua sekali). Masukkan ayam dan terung pipit. Gaul rata2 dan masak hingga ayam kecut. Tuang air secukupnya (hingga ayam tenggelam), kacau dan biar mendidih hingga terung pipit dan ayam empuk.
  3. Masukkan traffic light capsium, cili padi yang diketuk dan pati santan. Kacau rata, perasakan dengan sos ikan secukupnya dan sedikit gula. Masukkan jus limau nipis sedikit dahulu, kacau dan rasa jika suka lebih rasa masam, baru ditambah lagi. Biar mendidih dengan api sederhana dan dikacau selalu. Akhir sekali masukkan daun selasih, kacau dan matikan api. Hidangkan bersama nasi putih..